Eksplorasi angkasa lepas semakin mendapat perhatian ramai pihak sejak kebelakangan ini, apatah lagi dengan filem-filem bercirikannya, selain penemuan menarik yang berlaku sejak beberapa tahun ini. Terkini, agensi angkasa Russia, dikenali sebagai Roscosmos mengumumkan perancangan untuk menghantar manusia ke bulan menjelang 2029 kelak.
Menghantar manusia ke bulan merupakan salah satu pencapaian yang tinggi dalam eksplorasi angkasa, dan Russia dilihat merancang perkara tersebut sebagai salah satu matlamat dalam menguruskan stesen mereka di bulan.
Russia sedang membangunkan kapal angkasa untuknya, dan dijangka akan membuat penerbangan pertama pada tahun 2021 kelak. Seterusnya, kapal terbang tersebut akan ke International Space Station (ISS) pada tahun 2023, dan menghantar misi tanpa manusia pada tahun 2025.
Misi tanpa manusia akan dilakukan terlebih dahulu untuk mengenal-pasti persekitaran dan mengumpulkan beberapa data sebelum menghantar angkasawan ke permukaan bulan.
Selain daripada Russia, agensi angkasa Eropah, iaitu European Space Agency turut dijangka akan menyertai misi ini.
Disamping itu, China juga aktif dalam misi eksplorasi angkasa, dimana mereka telah menghantar prob ke bulan pada 2013 yang lepas, dimana ia akan pulang membawa sampel pada tahun 2017 kelak.