Kumpulan pencetak rompak video terkemuka arena web YIFY sudah secara rasminya menghentikan operasi mereka sejak beberapa minggu yang lalu. Seperti yang kami laporkan sebelum ini penghentian operasi berkemungkinan besar adalah kerana mereka mula diburu oleh pihak berkuasa dan pemegang harta intelek filem yang dicetak rompak. Kehilangan YIFY berlaku serentak dengan penghentian operasi PopcornTime atas sebab yang sama. Ramai yang nampaknya masih enggan menerima hakikat YIFY kini sudah berkubur. Ini membuatkan ramai yang cuba menyamar menjadi YIFY di arena web.
Pagi ini kami menerima tips dari pembaca bahawa YIFY kembali beroperasi dengan laman baru di YTS.ag. Malang sekali menurut laporan TorrentFreak ini hanyalah laman palsu yang mencetak rompak rekaan laman rasmi YTS.to. Laman palsu ini dihasilkan oleh kumpulan yang sama yang menggodam EZTV pada awal tahun ini. Laman palsu ini wujud kerana ramai mengetahui “jenama” YIFY yang terkenal dengan kualiti video yang tinggi pada saiz yang kecil. Situasi yang berlaku sekarang adalah sangat kelakar kerana pencetak rompak kini menjadi mangsa cetak rompak oleh pihak yang mahu berkongsi populariti.