Qualcomm sebelum ini telah hadir dengan beberapa teaser berkaitan dengan cip pemprosesan Snapdragon 820, dan hari ini mereka memperkenalkannya secara rasmi. Dengan pengenalan cip pemprosesan berkuasa tinggi menggantikan Snapdragon 810 ini, kita mungkin akan melihat peranti menggunakannya hadir tidak lama lagi.
Snapdragon 820 menggunakan CPU Kyro yang baru daripada Qualcomm, menawarkan kuasa pemprosesan dan lebih dua kali ganda efisyen berbanding dengan Snapdragon 810. Qualcomm turut mengatakan penggunaan teknologi Qualcomm Hexagon 680 DSP menawarkan penjimatan kepada penggunaan tenaga bateri oleh cip pemprosesan ini.
Snapdragon 820 turut menyokong LTE Cat 12 yang menawarkan kadar muat-turun sehingga 600Mbps, menjadikan ia menawarkan sokongan rangkaian yang lebih pantas berbanding Snapdragon 810 sebelum ini. Rangkaian WiFi pada peranti menggunakan cip Snapdragon 820 juga dijangka lebih dua ke tiga kali ganda pantas.
Dari segi grafik pula, Snapdragon 820 dijana menggunakan Adreno 530 GPU yang merupakan GPU paling berkuasa daripada Qualcomm pada hari ini, menawarkan grafik yang sangat realistik melaluinya.
Snapdragon 820 turut menawarkan sokongan kepada kamera sehingga 28 megapixel. Qualcomm sebelum ini turut telah berkongsi mengenai sokongan pengecasan pantas yang disokong olehnya, iaitu Qualcomm Quick Charge 3.0 yang menjadikan ia mengecas dengan lebih 4 kali ganda pantas berbanding kebiasaan.
Peranti pertama yang akan menggunakan cip pemprosesan ini masih menjadi tanda tanya. Mungkin dengan pengumuman cip Snapdragon 820 ini, kita akan mendengar pengeluar peranti mula mengumumkan peranti baru mereka tidak lama lagi menggunakan cip pemprosesan ini.