Pada hari ini, kebanyakkan komputer riba memfokuskan permainan dan grafik sering hadir dengan rekaan yang bersaiz tebal dan tidak begitu mudah untuk dibawah ke mana-mana. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa komputer riba memfokuskan gaming yang nipis, dan terkini, Razer Blade Stealth adalah salah satu daripadanya.
Razer Blade Stealth ini hadir dengan skrin bersaiz 12.5-inci dan dilengkapi resolusi QuadHD (2560×1440 pixel). Ia dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Core i7-6500U, memori 8GB RAM, dan ruangan storan sehingga 512GB SSD. Komputer riba ini hadir dengan sokongan Intel HD Graphics yang mana mungkin membuatkan ia bukanlah sebuah komputer riba yang begitu mesra untuk permainan.
Bagi melengkapkan dan menawarkan kuasa grafik tinggi, Razer menyediakan Razer Core. Razer Core boleh dihubungkan kepada komputer riba Blade Stealth menggunakan Thunderbolt 3, membolehkan pengguna menambah sebarang kad grafik yang dikehendaki – termasuk daripada AMD atau NVIDIA. Ini sekaligus membolehkan para pengguna menikmati sokongan grafik tinggi pada komputer riba nipis berkenaan.
Razer Blade Stealth dan Razer Core akan dijual secara eksklusif melalui kedai atas-talian mereka, dan memandangkan Razer sedia mempunyai kedai atas-talian di Malaysia, mungkin kita akan melihatnya tidak lama lagi.