Bateri Peranti Samsung, Apple & Microsoft Dihasilkan Dari Sumber Yang Menggunakan Buruh Kanak-Kanak

Bateri Peranti Samsung, Apple & Microsoft Dihasilkan Dari Sumber Yang Menggunakan Buruh Kanak-Kanak

Diterbitkan pada Jan 19, 2016 oleh .

Ketika zaman Revolusi Perindustrian Britain dahulu, buruh kanak-kanak dipaksa bekerja di kilang tekstil, sektor pembinaan dan juga lombong arang batu. Kanak-kanak semuda empat tahun dipaksa bekerja bagi membantu keluarga mereka. Mereka diambil bekerja kerana murah (hanya 10% gaji seorang dewasa) dan tiada undang-undang yang menghalang. Kemajuan ekonomi Britain pada kurang ke-18 dibina di atas kerahan tenaga buruh bawah umur yang dilayan seperti hamba. Amalan mengambil buruh kanak-kanak hanya dihentikan pada tahun 1833 dengan Akta Kilang yang mengharamkan kanak-kanak di bawah umur 9 tahun bekerja. Mereka yang berumur di antara 9-16 tahun pula hanya boleh bekerja selama 16 jam sehari.

Cobalt-Amnesty-International

Alangkah baiknya jika penggunaan buruh kanak-kanak ini hanya tinggal sebagai lipatan sejarah hitam tamadun manusia. Malang sekali walaupun sudah di abad ke-21, masalah penggunaan buruh kanak-kanak masih wujud di negara dunia ketiga. Industri elektronik ialah antara industri yang masih belum mampu membersihkan mereka dari dosa menggunakan buruh kanak-kanak. Amnesty International melaporkan 16 konglomerat ternama seperti Apple, Samsung, Microsoft, Sony, ZTE, Huawei dan Lenovo bersalah menggunakan bahan mentah yang dilombong oleh buruh kanak-kanak. Kesemua syarikat ini mendapatkan cobalt untuk menghasilkan bateri dari Zhejiang Huayou Cobalt Ltd. Syarikat ini mempunyai sebuah lombong cobalt di Congo yang mengambil 40000 buruh bawah umur. Menurut laporan yang sama buruh di lombong ini dibayar $2 sehari untuk bekerja selama 12 jam. Keadaan keselamatan di lombong ini juga menyedihkan dengan 80 kematian dilaporkan sejak September 2014. Amnesty International kini menggesa syarikat besar ini untuk mencari sumber yang lebih berperikemanusiaan untuk peranti buatan mereka.

Sekiranya anda merasa bersalah memiliki peranti yang dihasilkan menggunakan buruh kanak-kanak anda mungkin boleh memiliki Fairphone. Kesemua sumber bahan mentah dan proses pemasangan peranti ini disahkan dari sumber yang berperikemanusiaan. Pekerja dibayar gaji yang adil dengan had waktu bekerja mematuhi piawaian hak asasi manusia.

Amnesty Bateri Buruh 1


TIPS & ULASAN