Carian
Samsung Disaman Di Belanda Kerana Lambat Memberikan Kemas Kini Keselamatan
January 20, 2016 Effi Saharudin

Kemas kini sistem operasi adalah penting bagi memastikan tahap keselamatan peranti adalah sentiasa terjaga, Seperti yang kami pernah tulis sebelum ini, tahun lalu Android didapati mempunyai beberapa masalah sekuriti kritikal seperti Stagefright. Kegagalan pengeluar menutup kerentanan pada peranti akan menyebabkan data pengguna boleh dicuri. Di Belanda Samsung akan disaman oleh persatuan pengguna Consumentenbond kerana kegagalan mereka memberikan kemas kini dengan pantas.

samsung-logo

Sebelum ini Consumentenbond telah melakukan pertemuan dua mata dengan Samsung bagi menyelesaikan masalah ini. Mereka hanya menyaman Samsung selepas mereka dikatakan gagal memperbaiki masalah kemas kini yang lambat tiba dan kerap kali langsung tidak diterima pada peranti lama. Mereka mendapati 82% peranti Samsung di Belanda tidak menerima kemas kini sistem operasi terkini walaupun sudah di pasaran selama dua tahun. Pada waktu yang sama jadual bilakah kemas kini akan diberikan juga tidak menunjukkan tarikh yang muktamad. Tidak diketahui berapakah jumlah saman yang bakal diminta oleh Consumentenbon. Masalah sistem operasi tidak terkini dan kelewatan kemas kini keselamatan ini adalah epidemik yang melanda platform Android. Sehingga kini peratusan pengguna Marshmallow masih belum mencecah 1%. Bandingkan ini dengan pengguna iOS 9 yang sudah digunakan lebih 75% peranti Apple.

Komen