Permainan video adalah membazir masa. Permainan video tidak berfaedah. Permainan video membuatkan anda lembik. Ini adalah tiga ayat klise yang kami dengari semasa masih muda remaja. Ribuan jam kami habiskan bermain permainan video dan ia dianggap aktiviti yang tidak mempunyai masa depan. Kita ketahui sekarang sekiranya anda bermain secara profesional anda boleh menjadi jutawan seperti ChuaN, salah seorang dari 10 pemain DoTA terkaya di Malaysia. Kini sekiranya anda cekap bermain FIFA, anda mungkin diikat sebagai “pemain” oleh pasukan bola sepak sebenar.
Inilah yang berlaku kepada David Bytheway (22) yang berasal dari Wolverhampton England. Beliau adalah antara pemain FIFA terbaik di dunia dan mewakili England di kejuaraan FIFA Interactive World Cup. Beliau diikat oleh Wolfsburg secara profesional dan akan memakai jersey pasukan Bundesliga ini setiap kali menyertai pertandingan dan melakukan penstriman. David adalah pemain pertama FIFA yang disunting pasukan bolasepak profesional bagi mewakili jenama mereka di dalam acara e-sukan. Beliau percaya selepas ini pasukan profesional lain juga akan menurut langkah Wolfsburg dan mencari atlet FIFA untuk mewakili kelab mereka. Tahniah buat David Bytheway.