Apple Disaman Kerana Menggunakan Teknologi Haptik Tanpa Kebenaran Pada Sistem 3D Touch

Apple Disaman Kerana Menggunakan Teknologi Haptik Tanpa Kebenaran Pada Sistem 3D Touch

Diterbitkan pada Feb 12, 2016 oleh .

Hari Jumaat ialah hari yang mulia kerana ianya pengulu segala hari. Tetapi di dalam kes Apple hari ini membawa pelbagai berita buruk. Mereka kini dalam proses disaman kerana peranti gagal beroperasi selepas menerima Error 53. Mereka juga nampaknya akan disaman kerana menggunakan teknologi gegaran haptik tanpa kebenaran pada sistem 3D Touch, Force Touch dan Taptic Engine. Ketiga-tiga sistem timbal balas haptik ini boleh ditemui pada iPhone 6S, 6S Plus, MacBook 2015 dan Apple Watch.

Macbook Pro Force Touch

Apple disaman oleh Immersion, syarikat yang memegang dua paten timbal balas haptik pada peranti mudah alih. Kedua-dua paten ini ( U.S. Patent No. 8,619,051 dan 8,773,356) difailkan oleh mereka pada tahun 2001 dan 2007. Tiada nilai ganti rugi dinyatakan oleh Immersion. Tidak seperti kes saman ke atas Apple oleh VirnetX minggu lalu, Immersion bukanlah sebuah syarikat toyol paten. Mereka sudah menghasilkan sistem timbal balas haptik selama 20 tahun. Sebelum Apple, mereka berjaya menyaman Sony kerana menggunakan teknologi gegaran haptik mereka tanpa kebenaran pada pengawal permainan DualShock 2 untuk PlayStation 2. Mereka dianugerahkan ganti rugi bernilai $92 Juta. Pada awalnya pengawal PlayStation 3 tidak akan menyokong sistem gegaran haptik kerana kes mahkamah belum selesai. Hanya selepas ianya diselesaikan, pengawal permaina DualShock 3 diumumkan untuk PlayStation 3. Teknologi Immersion kini terus digunakan oleh Sony pada DualShock 4. Kesemua kes saman ke atas Apple ini hanya muncul selepas mereka melaporkan peningkatan keuntungan tahunan dan memegang status syarikat paling bernilai di dunia 2015. Maka benarlah kata-kata mendiang Notorious Big dahulu, lebih banyak wang kita ada semakin banyak masalah akan kita lihat.


TIPS & ULASAN