Paten difailkan oleh individu dan juga syarikat bagi memastikan harta intelek mereka terpelihara sebelum menghasilkan produk. Paten yang dihasilkan kemudian boleh dilesenkan kepada pihak yang mahu menggunakan teknologi yang dicipta. Samsung mempatenkan rekaan skrin dwi-lengkung dua tahun sebelum mengeluarkan Galaxy S6 Edge. Apple pula mempatenkan papan kekunci magnetik boleh tanggal sebelum melesenkannya kepada Microsoft untuk Type Cover Surface. Apabila Smart Keyboard dihasilkan untuk iPad Prom, ramai menuduh Apple meniru Type Cover tanpa menyedari siapakah pemilik paten asal.
Tidak semua paten yang difailkan menjadi produk. Kadang kala paten yang generik difailkan hanya sekadar untuk memeras wang dari syarikat lain di masa hadapan. Penggunaan paten hanya untuk menyaman ini diberikan nama jolokan toyol paten (patent troll). Apple kini diarahkan membayar paten bernilai $625 Juta (~RM 2.6 Billion) kepada VirnetX kerana didapati bersalah menggunakan paten VPN mereka pada aplikasi Facetime dan iMessage. Syarikat ini menyaman Apple sejak 2010 dan keputusan hanya diumumkan hari ini. Apple masih enggan mengaku kalah kerana VirnetX ialah syarikat yang tidak pernah menghasilkan produk dari paten yang mereka failkan. Mereka akan melakukan rayuan kerana mempunyai bukti teknologi yang digunakan untuk Facetime dan iMessage dihasilkan sendiri oleh mereka tanpa sebarang peniruan. Sekiranya rayuan Apple gagal, syarikat lain juga besar kemungkinan akan disaman oleh VirnetX kerana menggunakan “paten” milik mereka.