Sehingga kini boleh dikatakan terdapat kurang dari 10 filem animasi yang telah dihasilkan oleh studio animasi tempatan. Bermula dengan Silat Lagenda sebagai filem animasi pertama tempatan, disusuli dengan filem animasi lain seperti Putih, Geng: Pengembaraan Bermula, War of The Worlds: Goliath dan bermacam lagi telah diterbitkan. Pada Khamis yang lalu, Boboiboy The Movie telah memulakan tayangannya di seluruh negara setelah melalui fasa pembangunan selama hampir 4 tahun.
Menariknya belum cukup seminggu dari tarikh tayangannya, pihak Animonsta menerusi perkongsian di halaman Facebook Boboiboy berkongsi kemaskini terkini kutipan tayangan filem animasi tersebut. Untuk tiga hari pertama dari tarikh tayangan yang bermula pada Khamis lalu, mereka telah memperoleh sejumlah RM 2 Juta. Perkara ini boleh dikatakan sebagai sesuatu yang memberangsangkan, memandangkan filem ini baru sahaja ditayangkan selama tiga hari.
Sewaktu menemuramah Nizam Razak, pengarah filem animasi Boboiboy: The Movie, beliau tidak mengatakan sebarang sasaran kutipan filem ini. Apapun mungkin mereka bakal memperoleh kutipan yang lebih tinggi apabila filem animasi ini tamat ditayangkan, dan sekaligus meletakkan tanda aras yang tinggi bagi industri animasi tempatan. Jika anda masih berkira-kira untuk menonton Boboiboy: The Movie, tonton video dibawah dan buatlah keputusan yang terbaik.
Kemaskini 8:35 PM: Pengarah Filem Animasi BoBoiBoy, Nizam Razak berkata: Sasaran kutipan mereka adalah sekitar RM 12-13 Juta untuk tayangan di Malaysia & Brunei, manakala RM 12-13 Juta untuk tayangan di Indonesia, menjadikan jumlah besar RM 25 Juta untuk ketiga-tiga negara ini.