Jualan jam tangan pintar sepanjang 2015 meningkat dengan mendadak dengan Apple Watch memegang peratusan tertinggi. Menakjubkan sekali jualan tahun lalu melebihi jualan jam tangan mewah buat pertama kali dalam sejarah. Ini adalah sebab mengapa jenama jam mewah ternama seperti TAG Heuer mula mengeluarkan peranti Android Wear mereka bagi mengikut trend semasa. Samsung adalah pengeluar paling awal menghasilkan jam pintar dan tahun lalu Gear S2 dilancarkan dengan jayanya. Kini mereka bekerjasama dengan jenama mewah de GRISOGONO bagi menghasilkan Gear S2 edisi mewah dan terhad.
Samsung Gear S2 by de GRISOGONO ialah Gear S2 42 mm yang diberikan kerangka dan bahan binaan lebih premium. Kerangka jam kini disalut dengan emas ros dan roda bazel yang digunakan untuk navigasi ditempa dari emas tulen. Bagi menyerlahkan lagi kemewahan, 127 butir permata hitam dan putih ditatah pada kerangka jam tangan pintar Tizen ini.
Dari segi spesifikasi ia masih dilengkapi skrin 1.2″ SAMOLED, pemproses 1 GHZ Dua Teras Exynos 3250, RAM sebesar 512 Megabyte dan muatan dalaman 4 Gigabyte. Harga jualan masih belum diumumkan tetapi ia hanya akan dijual pada musim panas ini.