Carian
Pelan Unifi Advance PRO Dengan Kelajuan 100Mbps Tertiris – Harga Bermula RM329 Sebulan?
March 29, 2016 Aman

Lanjutan daripada semalam, kini sebuah gambar pelan dan pakej yang bakal ditawarkan oleh Telekom Malaysia telah pun tertiris, memperlihatkan pelan baru mereka yang mungkin dikenali sebagai “Unifi Advance Pro” dan menawarkan kelajuan muat-turun sehingga 100Mbps.

Unifi Advance Pro

Daripada pelan yang tertiris ini, ia memperlihatkan pelan 100Mbps daripada Telekom Malaysia akan menawarkan kadar muat-turun pada kelajuan 100Mbps dan muat-naik pada kelajuan sehingga 50Mbps. Disamping itu, mereka turut akan menawarkan panggilan percuma ke nombor tempatan bernilai RM20.

Dari segi harga, pelan jalur-lebar 100Mbps dengan pakej HyppTV asas bernilai RM329 sebulan, sementara HyppTV Jumbo pula berharga RM359 sebulan. Seperti penawaran lain, pihak Telekom Malaysia turut akan menawarkan beberapa produk dan perkhidmatan tambahan, termasuk akses iFlix selama 12 bulan percuma, dan akses kepada HyppTV Everywhere.

Daripada pertanyaan kami kepada pihak Telekom Malaysia, mereka tidak mengeluarkan sebarang komen berkenaan dengannya membuatkan kami masih tidak dapat mengesahkan sepenuhnya sama ada ini adalah versi akhir pakej 100Mbps mereka ataupun sebaliknya.

Telekom Malaysia dijangka mengumumkannya tidak lama lagi, dan masih terdapat kemungkinan untuk mereka membuat beberapa perubahan sebelum melancarkan pakej Unifi Advance Pro ini secara rasminya.


Terima kasih kepada Danniel untuk tips.

Komen