Cari @ Amanz

Planking, Batmaning dan Teabowing ialah tiga perkara gemar dilakukan oleh orang ramai sekitar lima tahun yang lalu. Lama-kelamaan perkara “popular” ini akan mula dilupakan dan digantikan perkara baru yang lebih “menghiburkan” pengguna media sosial.

Selfie ialah kegilaan yang muncul sekitar empat tahun yang lalu. Tetapi tidak seperti Planking, Batmaning dan Teabowing kami tidak nampak petanda ia akan dilupakan. Sebaliknya pengambilan selfie semakin popular dan kini boleh digunakan sebagai ganti sistem kod kad kredit dan menyahkunci peranti pintar anda.

Oppo F1 Plus ialah peranti yang mensasarkan golongan yang mempunyai obsesi mengambil selfie. Oleh sebab itu tidak seperti konfigurasi peranti biasa, F1 Plus mempunyai kamera hadapan yang lebih besar berbanding kamera bahagian belakang. Lensa yang digunakan juga jauh lebih baik pada kamera hadapan. Jadi adakah kemampuan selfie ini satu-satunya gimik F1 Plus ataupun terdapat pelbagai lagi fungsi menarik disertakan di dalam pakej yang menarik untuk pengguna? Ini ialah pandang pertama kami untuk F1 Plus

 

Spesifikasi

Oppo F1 Plus
Skrin 5.5″ AMOLED FHD
Pemproses 2.0 GHz Lapan Teras MediaTek Helio P10
Cip Grafik Mali-T860MP2
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel PDAF f/2.2
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.0
Bateri 2850 mAh (Tidak boleh taggal)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano+Mikro
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1898

Oppo F1 Plus dilengkapi skrin 5.5″ AMOLED dengan resolusi HD penuh. Ini adalah peningkatan dari 5″ IPS LCD 720P yang digunakan pada F1. Pemproses dipertingkatkan kepada MediaTek Helio P10 dengan lapan teras pada kelajuan 2.0 GHz. RAM sebesar 4 Gigabyte disertakan dan ini memastikan kelancaran semasa pengguna dan melakukan pertukaran aplikasi.

Pilihan muatan dalaman hanya 64 Gigabyte dengan sokongan penambahan memori dalaman sehingga 128 Gigabyte menggunakan kad MikroSD. Talam kad MikroSD ini berkongsi dengan talam untuk SIM bersaiz nano yang disertakan. Jika anda mahu menggunakan kad MikroSD anda tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggunakan penyesuai nano ke mikro untuk kad SIM anda.

Kemampuan optik ialah penekanan yang diberikan oleh pihak Oppo pada peranti siri F. Oleh itu kamera belakang dengan sensor 13 Megapixel f/2.2 dan sistem pemfokusan PDAF disertakan. Kamera hadapan pula ialah sebesar 16 Megapixel f/2.0. Seperti yang kami katakan pada bahagian awal tadi, jelas sekali F1 Plus mementingkan kemampuan selfie berbanding kamera bahagian belakang.

Melengkapi spesfikasi peranti ialah bateri sebesar 2850 mAh. Saiz bateri yang boleh dikategorikan sebagai kecil mengikut trend semasa. Pengguna tidak perlu risau kerana sungguhpun kecil ia boleh dicas dengan amat pantas kerana sokongan pengecasan VOOC.

Kekurangan yang kami sedari ialah tiadanya fungsi NFC dan juga pemancar infra merah.

Rekaan

Sekilas pandang peranti ini memang kelihatan seperti sebuah iPhone. Dari bucu tepi yang bulat hinggalah panel belakang logam serta lensa kamera yang terjojol keluar dari panel belakang.  Tetapi umum diketahui rekaan ini amat selesa dipegang. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Kedua-duanya diperbuat daripada logam. Sisi kiri pula mempunyai talam SIM/Kad MikroSD yang memerlukan akan menggunakan alat khas untuk mengeluarkannya. Pada bahagian bawah pula terdapat bicu audio 3.5mm, slot pengecasan MikroUSB dan pembesar suara mono.

Pada bahagian depan kaca 2.5D digunakan bagi memastikan pergerakan jari yang lancar dari skrin ke bahagian tubuh peranti. Butang navigasi kapasitif pula terletak pada bahagian dagu. Tidak seperti pada F1, kali ini kedua-dua butang Back dan Multitasking mempunyai sokongan lampu. Ya akhirnya sebuah peranti Oppo dengan butang Multi Tasking dan bukan lagi Menu yang sudah ketinggalan zaman. Kedua-dua butang ini menghimpit butang Home yang mempunyai pengimbas cap jari terbina.

Sistem imbasan cap jari yang digunakan adalah amat pantas. Ianya pada hemat kami lebih pantas berbanding sistem yang digunakan pada Galaxy S7 Edge dan Huawei Mate 8. Nyahkunci berlaku tanpa sebarang sela masa dan hampir sekelip mata.

Secara keseluruhan Oppo F1 Plus mempunyai rekaan yang kemas dan selesa untuk dipegang. Dari penggunaan selama sehari kami tidak mempunyai sebarang perkara negatif mengenai rekaannya. Masalah utamanya hanyalah ia terlalu menyamai peranti Apple iPhone 6S.

ColorOS 3.0

Berita buruk disini ialah F1 Plus masih menggunakan Android 5.1.1. Tidak ada lagi peranti Oppo yang menggunakan Marshmallow setakat ini. Kekecewaan ini sedikit terubat dengan penggunaan ColorOS 3.0. Ini ialah iterasi paling terkini pelancar rekaan mereka dan ia tidak mengecewakan.

Sebelum ini kritikan utama kami mengenai ColorOS ialah estetik dan UX yang terperangkap di tahun 2012. Rekaan antaramuka, ikon, skema warna dan penggunaan Color OS 3.0 yang lebih mengikut trend semasa amat kami hargai. Ia seakan hibrid antaramuka iOS 9 dan MIUI 7. Segalanya kemas, ceria, cerah dan paling penting sekali minimalis. Tiada lagi set ikon yang menyakitkan mata. Paling penting sekali ialah antaramuka ColorOS 3.0 adalah amat pantas. “Selancar mentega” jika kami dibenarkan menggunakan perumpamaan Bahasa Inggeris. Tiada lagi skrin khas untuk pemain audio ataupun fungsi seakan Polaroid yang sebelum ini wajib disertakan pada setiap versi ColorOS. Kami tidak pernah peduli dengan dua fungsi ini dan kehilangannya tidak kami tangisi.

Fungsi-fungsi klasik ColorOS yang memudahkan lagi penggunaan peranti masih lagi dikekalkan. Senarainya adalah seperti di bawah.

Draw Gesture  – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “O” untuk melancarkan kamera.

Dwi-Tap – Menghidupkan paparan dengan menekan skrin sebanyak dua kali.

Eye Protection – Warna skrin berubah pada waktu malam bagi mengurangkan kesakitan mata dan tidak menghalang anda dari tidur.

Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin panjang secara menegak. Pengguna hanya perlu menekan butang kuasa dan menaikkan suara untuk mengaktifkan fungsi ini. Fungsi ini diperkenalkan pada Oppo R7.

Theme Store – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dan set ikon boleh dimuat turun.

One Handed Mode – Mengecilkan saiz paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan.

Oppo-F1-Plus-UI-1 Oppo-F1-Plus-UI-2

Oppo-F1-Plus-UI-3

Kesimpulan

Oppo  F1 Plus ialah sebuah lagi peranti yang mementingkan kualiti selfie yang tinggi di pasaran. Jelas sekali mereka mensasarkan golong tertentu sahaja. Dari segi rekaan peranti ini ialah antara peranti yang mempunyai rekaan menarik dan selesa untuk dipegang. Spesifikasi juga agak baik dengan pemproses Helio P10 yang berkemampuan sederhana tinggi, RAM sebesar 4 Gigabyte, muatan dalaman 64 Gigabyte dan kamera hadapan 16 Megapixel.

Oppo F1 Plus 20160407_122254Perubahan paling besar dan membezakan F1 Plus dari peranti Oppo yang lain ialah penggunaan ColorOS 3.0. Elemen antaramuka kini lebih selari dengan arus semasa. Paling penting sekali antaramuka ini tidak menunjukkan sebarang masalah sela masa. Aplikasi dapat dibuka dan diubah hampir sekelip mata. Ini ialah perkara yang tidak kami kaitkan dengan peranti Oppo sebelum ini.

Cabaran bagi Oppo F1 Plus harga jualannya yang agak mahal apabila dibandingkan dengan pesaing di pasaran. Terdapat beberapa peranti di pasaran sekarang yang mempunyai spesifikasi setanding dan lebih baik tetapi dijual pada harga yang lebih kompetitif. Teruskan membaca Amanz untuk membaca ulasan penuh peranti “pakar selfie” ini dalam masa beberapa minggu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd