Kita hidup di dunia moden yang membolehkan kita sentiasa dihubungi sepanjang masa. Tidak seperti ibu bapa kita dahulu, mereka jarang sekali diganggu oleh majikan di luar tempat kerja. Pemisahan waktu kerja dan waktu bersama keluarga amat mudah dilakukan. Kami sendiri tidak pernah melihat bapa kami membawa kerja pulang ke rumah. Ini berbeza sekali dengan majikan zaman sekarang yang akan melakukan panggilan telefon walaupun ketika kakitangan bercuti. Penggunaan aplikasi media sosial seperti WhatsApp menurut seorang senator membawa tekanan psikologi ke atas penjawat awam di Malaysia.
Di Perancis mereka menyedari membawa kerja pulang ke rumah ialah masalah yang semakin kronik. Oleh itu kerajaan negara ini bercadang untuk mengharamkan penghantaran emel kerja di luar waktu pejabat. Kerajaan Parti Sosialis ini mahukan hak “untuk tidak dihubungi” diberikan kepada pekerja di luar waktu pejabat. Undang-undang baru yang cuba diluluskan akan mewajibkan syarikat yang mempunyai lebih daripada 50 pekerja untuk menetapkan waktu pekerja dilarang dari dihubungi untuk berbincang hal kerja.
Kami yakin ramai di kalangan pembaca Amanz yang bekerjaya pastinya mahu undang-undang yang sama dilaksanakan di Malaysia. Apabila pekerja dihubungi di luar waktu pejabat, mereka pastinya kehilangan waktu peribadi seterusnya hanya meningkatkan tekanan bekerja.