Cari @ Amanz

Uncharted 4 : A Thief’s End ialah permainan terakhir di dalam siri quadrologi Uncharted. Selepas empat kali ditangguh ia akhirnya hadir di tangan peminat 10 Mei yang lalu. Sukacita dimaklumkan permainan ini memenuhi kesemua jangkaan dan harapan peminat. Malahan kami berani mengatakan ia adalah yang terbaik di dalam siri ini. Paling menarik permainan ini menggabungkan kesemua elemen yang digemari dari Uncharted 4 dengan gaya penceritaan yang menyentuh jiwa The Last of Us. Sekiranya anda memiliki PlayStation 4, anda PERLU membeli permainan ini untuk melihat kemampuan grafik konsol terkini dari Sony.

Jalan Cerita

Di akhir Uncharted 3, Nathan Drake and Elena Fisher menyedari diri mereka saling mencintai sungguhpun kerap berantakan. Di dalam Uncharted 4 kita melihat kehidupan mereka sebagai suami isteri dan Nathan cuba menjalani hidup sebagai insan biasa, jauh dari pengembaraan yang berbahaya. Kesemuanya berubah setelah Samuel Drake, abang Nathan yang disangka telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba selepas 15 tahun. Kami tidak kan melakukan spoiler ke atas jalan cerita dan plot twist yang muncul di suku ke-empat permainan ini. Apa yang boleh kami katakan garapan cerita dan dialog dari Naughty Dog adalah yang antara yang terbaik di dalam industri.

Plot permainan diceritakan menggunakan animasi yang bukan sahaja kelihatan cantik tetapi kelihatan amat hidup. Secara pergerakan air muka dan tubuh adalah tepat. Ia hampir kelihatan seperti sebuah animasi CG dari filem Hollywood. Ini adalah tidak mengejutkan kerana Naughty Dog menggunakan kombinasi motion capture dan facial capture seperti yang digunakan di dalam filem Avatar.  Sebelum ini mereka hanya menggunakan sistem MoCap di dalam The Last Us yang pada hemat kami turut mempunyai kualiti animasi yang amat menakjubkan.

Uncharted 4 Uncharted 4_ A Thief’s End™_20160513215239Sepanjang permainan emosi anda akan turun naik seperti gelombang Sin. Konflik serta interaksi di antara Nate, Elena dan Sam dilakonkan dengan baik sekali. Malahan ada beberapa babak di dalam permainan ni yang amat menyentuh perasaan. Secara keseluruhan jalan cerita Uncharted 4 adalah yang terbaik kerana memberikan pemain lebih baik cerita latar belakang Nathan semasa masih di awal remaja.

Kami ada membaca beberapa ulasan awal yang mengatakan suku ke-empat permainan ini bergerak terlalu perlahan dan membosankan. Kami kurang bersetuju dengan pendapat ini kerana selepas berpuluh kali gagal melepasi serangan musuh (kami bermain pada tetapan Hard), segmen yang santai dan perlahan ini membolehkan kami berehat sebentar. Tiga bab akhir yang dikatakan “terlalu panjang” kami rasakan adalah keputusan yang diambil selepas Uncharted 3 dikritik kerana berakhir secara tiba-tiba. Kerana ini permainan terakhir Uncharted, kami juga tidak kisah sekiranya cerita terlalu panjang. Bab epilog yang turut dikritik kerana terlalu “drama melayuu” juga kami rasakan adalah pengakhiran yang menarik untuk siri spin-off Uncharted di masa hadapan.

Komen negatif yang ingin kami katakan ialah Uncharted 4 ialah Star Wars The Force Awakens versi permainan komputer. Ia banyak mengitar semula elemen dari Uncharted 2 yang dianggap permainan terbaik di dalam siri ini. Selepas Uncharted 3 mengecewakan (seperti trilogi prekuel Star Wars), Naughty Dog kembali ke formula yang berjaya Uncharted 2 (seperti The Force  Awaken mengitar semula elemen A New Hope).

Kawalan Permainan

Grafik dan jalan cerita yang baik tidak bermakna sekiranya sistem kawalan permainan kurang memuaskan. Pembaca Amanz yang pernah bermain Assassin’s Creed pastinya bersetuju dengan ayat yang kami tulis tadi. Assassin’s Creed mempunyai masalah kawalan yang tidak diperbaiki dari permainan pertama sehinggalah ke Syndicate.

Uncharted 4 meneruskan kelancaran yang kami lihat pada Uncharted 2 dan 3.  Tiada banyak perubahan dilakukan dari kekunci asal. Yang berbeza ialah kini aksi reload dilakukan dengan menekan butang tiga segi dan bukan lagi R1. R1 kini digunakan untuk melontar bom tangan. L1 yang dahulunya digunakan untuk melontar bom pula kini digunakan untuk melontar tali cangkuk.  Tali cangkuk ini ialah mekanisme baru yang membolehkan Nathan melompat lebih jauh dan menyelamatkan diri dari terjatuh dari jurang tinggi.

Permainan Uncharted memang terkenal dengan sistem mendaki yang mencabar. Kali ini cabaran dipertingkatkan lagi dengan permukaan batu yang licin serta piton untuk mendaki. Piton yang ditemui pada penghujung permainan ini berfungsi seperti kapak mendaki (climbing axe) di dalam permainan Tomb Raider (2013) . Ini kami rasakan menarik kerana Uncharted mendapat ilham daripada Tomb Raider asal. Kemudian Tomb Raider menjalani reboot kerana harus bersaing dengan Uncharted. Kini sekali lagi Uncharted meminjam elemen dari Tomb Raider untuk menjadikannya lebih menarik.

Elemen permainan paling menarik bagi kami ialah aksi setpieces yang menyaingi apa yang dilihat di dalam filem HollywoodSelain tali cangkuk, permainan kali ini turut membenarkan Nathan memandu kenderaan secara bebas. Seperti di lama pandang pertama yang kami tulis bukan lalu, sebuah kenderaan panduan empat roda boleh dikawal untuk meneroka peta permainan yang amat besar. Kenderaan ini juga digunakan untuk menyelesaikan beberapa teka-teki yang menguji minda. Pada waktu yang sama kenderaan ini turut dilengkapi dengan sistem takal bagi menarik objek pada situasi tertentu. Ia tidak jauh berbeza dari sistem takal Batmobile di dalam Batman Arkham Knight.

Uncharted 4 Uncharted 4_ A Thief’s End™_20160513164728

Bagaimana pula dengan A.I musuh? Kami rasakan AI kali ini jauh lebih mencabar berbanding edisi terdahulu. besar kemungkinan A.I dari The Last of Us diperincikan lagi bagi membolehkan musuh mencari sudut paling baik untuk membunuh Nathan. Anda gemar menyorok di belakang dinding? Musuh akan melontar bom tepat pada kaki anda bagi memaksa anda mencari tempat menyorok baru. Sekiranya lebih dari seorang menyerang, satu watak akan mencari posisi flanking sementara seorang lagi melakukan serangan bertalu-talu bagi membuatkan anda tidak menyedari musuh menembak dari belakang.

Elemen permainan paling menarik bagi kami ialah aksi setpieces yang menyaingi apa yang dilihat di dalam filem Hollywood. Masihkah anda ingat aksi kereta api bergerak, bangunan meletup di Nepal, dan melompat dari kenderaan ke kenderaan di dalam Uncharted 2? Kesemua ini akan kelihatan seperti animasi kelas bawahan apabila dibandingkan dengan aksi lasak penuh debaran Uncharted 4. Sekali lagi tiada spoiler akan kami berikan dan apa yang anda dapat lihat di dalam permainan ini AKAN DITIRU oleh filem Hollywood di masa hadapan. Sama seperti aksi kapal terbang kargo Uncharted 3 menjadi ilham kepada filem Furious 6.

Pada tetapan HARD kami mengambil masa 18 jam untuk menghabiskan Uncharted 4. Ada beberapa kawasan di dalam permainan ini membuatkan kami mahu menumbuk skrin dan melontar PlayStation 4 ke luar tingkap kerana musuh yang amat sukar dikalahkan. Ini bukanlah tahap kesukaran tertinggi yang diberikan. Terdapat juga tetapan Crushing dan Brutal. Pihak Naughty Dog mengatakan sepanjang tempoh pembikinan, hanya seorang sahaja yang pernah menghabiskan permainan ini pada tetapan Brutal.

Grafik

Uncharted 4 Uncharted 4_ A Thief’s End™_20160512225605Jika kami dibenarkan membeli 11/10 untuk markah grafik kami pasti memberikannya untuk Uncharted 4. Kualiti grafik yang dipaparkan permainan ini adalah yang terbaik pernah kami lihat dan menyaingi kualiti grafik pada PC berkuasa tinggi. Animasi watak dan musuh nampak realistik. Kesan khas hujan, ribut, air ,lumpur, ombak , lopak dan letupan juga terbaik pada konsol generasi semasa. Agak sukar untuk mempercayai Uncharted 4 ialah sebuah konsol dengan kad grafik AMD yang sudah berusia hampir 4 tahun dan RAM sebesar 8 gigabyte.

Sebagai analogi Uncharted 3 ialah Neelofa, Last of Us ialah Nelydia Senrose dan Uncharted 4 ialah Fazura. Kami menghabiskan masa bermain Uncharted Collection seminggu sebelum permainan ini mula dijual. Kami merasakan kualiti grafik versi remastered ini adalah cantik. Tetapi secara tanpa sebarang hiperbola kami katakan kualiti grafik Uncharted 4 adalah sama seperti melihat perbezaan di antara Uncharted 1 : Drake’s Fortune dengan Uncharted 3 :  Drake’s Deception edisi PlayStation 4.

Sebagai analogi Uncharted 1 ialah Diana Danielle, Uncharted 2 ialah Nora Danish, Uncharted 3 ialah Neelofa, Last of Us ialah Nelydia Senrose dan Uncharted 4 ialah Fazura.

Uncharted 4 Uncharted 4_ A Thief’s End™_20160513174756

Kesemua watak mempunyai jumlah poligon lebih tinggi. Tekstur nampak lebih tajam. Sistem fizik lebih realistik dan babak cutscenes yang menggunakan in-game engine adalah hampir fotorealistik. Kualiti grafik yang di luar jangkaan ini membuatkan kami tidak sabar untuk melihat apakah yang bakal dilakukan oleh Naughty Dog di masa hadapan. Sedikit terliur membayangkan kualiti grafik yang pastinya bertambah baik dengan The Last of Us 2 yang turut dikatakan sedang dalam pembikinan.

Grafik yang cantik ini memaksa Naughty Dog melakukan sesuatu yang kurang diminati iaitu meletakkan had kepada jumlah frame sesaat. Permainan ditetapkan pada resolusi 1080P 30 FPS untuk mod perseorangan manakala pada mod multiplayer pula ia ditetapkan pada 900P 760 FPS. Setelah membiasakan diri dengan grafik 1080P 60FPS Uncharted Collection, perbezaan amat dirasai pada Uncharted 4. Pergerakan tidak selancar seperti yang kami mahukan. Pada kawasan yang mempunyai banyak letupan, jelas kelihatan animasi sedikit tersekat-sekat. Paling menjengkelkan kerana framerate yang lebih rendah, kemampuan membidik musuh juga menjadi sukar.  Ia menjadi semakin jengkel apabila anda bermain pada tetapan kesukaran lebih tinggi yang memerlukan anda menembak dengan pantas dan tepat sepanjang masa.

Sungguhpun begitu kami yakin apabila Sony PlayStation Neo hadir kelak, pasti Naughty Dog akan mampu menetapkan permainan ini pada resolusi 1080P 60 FPS bagi memberikan kepuasan sebenar kepada pemain.

Audio

Sistem audio 7.1 disokong dan apabila digabungkan dengan grafik yang realistik benar-benar membuatkan anda terasa seperti di dalam dunia Nathan Drake. Dentuman letupan bom tangan memekakkan telinga. Perbezaan bunyi di antara senjata yang digunakan juga ketara. Kicauan fauna di dalam hutan membuatkan anda terasa seperti di tengah hutan tropika. Keperincian yang ditemui pada grafik juga wujud pada sistem audio. Sekiranya anda mempunyai sistem audio yang baik, bersedia untuk menikmati halwa telinga.

Mod Tambahan Dan Bonus

Kekurangan paling ketara berbanding edisi Uncharted sebelum ini ialah ketiadaan Theatre Mode yang membolehkan pemain melihat semula kesemua cinematicsSelepas menghabiskan mod perseorangan apakah mod tambahan yang bonus disertakan? Seperti The Last of Us terdapat banyak dialog tambahan yang perlu dikumpul yang hanya diperoleh selepas melakukan aksi tertentu. Lakaran dan kandungan jurnal yang dibawa Nathan juga perlu dikumpul. Seperti mainan terdahulu terdapat ratusan harta karun yang turut perlu diburu. Sekiranya anda seorang pemburu PlayStation Trophy kesemua ini pasti anda mahukan.

Render Mode kembali yang membolehkan rupa permainan diubah. Uncharted 4 boleh berubah menjadi sebuah permainan Cell Shaded, 8 Bit (lengkap dengan audio 8 bit), hitam putih, mirror world, psychadelic dan banyak lagi. Model 3D setiap watak di dalam permainan juga boleh dibeli menggunakan kredit yang dikumpul di dalam mod perseorangan dan multiplayer.

Bercakap tentang multiplayer, anda mungkin akan menghabiskan masa yang agak lama di dalam mod ini untuk melihat tahap kepakaran anda berbanding pemain lain. Secara peribadi kami tidak berapa menggemari permainan atas talian kerana ia kerap menimbulkan kemarahan.

Kekurangan paling ketara berbanding edisi Uncharted sebelum ini ialah ketiadaan Theatre Mode yang membolehkan pemain melihat semula kesemua cinematics. Ketiadaan mod ini terasa agak canggung kerana ia wujud pada versi sebelum ini. Sebab utama ia tiada kali ini ialah kerana hampir kesemua  cinematics menggunakan in game engine dan bukannya fail video. Bonus tambahan pembikinan juga tidak disertakan. Kami cukup meminati video pembikinan di dalam Uncharted 2 kerana boleh melihat perbezaan lakonan MoCap pelakon sebenar dengan animasi yang dihasilkan.

Kesimpulan

Selamat tinggal kepada siri Uncharted. Keputusan Naughty Dog untuk tidak lagi menghasilkan sisi permainan ini adalah mengecewakan tetapi kami faham mengapa ia perlu dilakukan. Tomb Raider dan Assassin’s Creed adalah dua contoh permainan yang terus mempunyai sambungan tetapi mengalami pengurangan kualiti dengan setiap iterasi baru. Dari membiarkan Uncharted menjadi basi, siri ditamatkan dengan cara yang terbaik. Kami cukup puas hati dengan pengakhiran siri ini walaupun konfrontasi musuh terakhir adalah sedikit anti klimaks.

Uncharted 4 Uncharted 4_ A Thief’s End™_20160514121736Apa yang kami suka? Grafik terbaik yang pernah kami lihat pada konsol dan PC.  Amat menakjubkan melihat kualiti grafik yang melangkaui apa yang kami rasakan mampu dihasilkan pada sebuah konsol. Sistem permainan yang amat mencabar pada tetapan tinggi akan membuatkan anda bermain dengan bijak. Sebijak sistem A.I yang pandai mencari cara paling keji memburu anda tidak mengira di manakah anda menyorok.

Secara keseluruhan kami merasakan Uncharted 4 : A Thief’s End ialah permainan yang terbaik di dalam siri ini. Ya seperti kami katakan di awal ulasan ia mengitar semula elemen menarik di dalam Uncharted 2 tetapi ini bukanlah perkara negatif. Jika anda hanya membeli sebuah permainan PlayStation 4 tahun ini, Uncharted 4 harus anda miliki sekarang. Ia akan menjadi permainan klasik yang menjadi piawai ke pada permainan pengembaraan aksi lain mulai sekarang.

Skor-Amanz-Uncharted-4

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd