Ini mungkin berita yang sedikit meresahkan mereka yang menantikan filem Assassin’s Creed lakonan Michael Fassbender dan Marion Cotilard. Pat Crowley, penerbit eksekutif filem ini mengesahkan 35% babak akan berlaku di zaman silam (di dalam Animus) dan 65% lagi berlaku di zaman moden. Permainan Assassin’s Creed berbeza kerana boleh dikatakan 90% babak yang dikawal pemain berlaku di zaman silam.
Misi zaman moden di dalam kesemua permainan Assassin’s Creed kerap menerima reaksi negatif kerana membosankan. Tiada siapapun setahu kami menikmati babak yang memaparkan Desmond Miles. Filem ini akan menemui peminat pada 21 Disember akan datang. Michael Fassbender melakonkan watak Callum Lynch di zaman moden dan Aguilar di zaman silam sekitar kurun ke-15. Dari trailer yang diperlihatkan minggu lalu kami rasakan filem ini tidak banyak berbeza dari sumber asal. Terdapat aksi parkour dan lompatan dari tebing tinggi yang sinonim dengan frankais Ubisoft ini. Tetapi sekiranya majoriti babak berlaku di dunia moden ia mungkin merosakkan mitologi Assassin’s Creed.