Cari @ Amanz

Sekuriti dan privasi ialah dua isu besar apabila anda menggunakan peranti mudah alih. Namun kami sedari di kalangan rakyat Malaysia ianya dipandang agak enteng. Lihat sahaja maklumat peribadi yang dikongsi dengan mudah oleh kebanyakan pengguna di Malaysia. Mungkin masalah mencuri identiti di negara kita masih belum di tahap kronik dan kita menganggap ia tidak akan berlaku pada diri kita. Untuk yang mementingkannya terdapat Blackphone yang terjual di pasaran tempatan sejak November. Kini muncul pula Solarin yang turut memberikan perkhidmatan yang serupa.

Solarin-3Solarin dihasilkan oleh Sirin Labs, sebuah syarikat yang berpangkalan di Israel. Peranti Android ini dilengkapi sistem penyulitan 256 bit bertaraf tentera. Dari segi spesifikasi ia mempunyai skrin 5.5″ IPS LCD WQHD, pemproses Snapdragon 810, RAM 4 GB dan storan 128 GB. Kemampuan optik ialah kamera utama 24 Megapixel f/2.0 dan kamera hadapan 8 Megapixel f/2.4. Sebuah bateri 4040 mAh disertakan sebagai sumber kuasa dengan sokongan pengecasan QuickCharge 2.0. Terdapat sebuah pengimbas cap jari pada panel belakang peranti. Agak aneh ia masih menggunakan Android 5.1. Peranti ini dijual pada harga £9500 (~RM 57090) sebuah. Sekiranya berminat anda pelanggan perlu ke kedai khas mereka di London ataupun memesannya menerusi Harrods pada penghujung bulan ini.

Solarin-2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd