Sony Malaysia bakal melancarkan siri keluarga peranti Xperia X pada minggu ini secara rasminya, tetapi seperti biasa, mereka telah terlebih dahulu menerbitkan penawaran mereka melalui laman jualan rasmi, Sony Store Malaysia.
Melalui apa yang disenaraikan, Sony dilihat akan menjual Sony Xperia X pada harga RM2499 untuk pasaran tempatan.
Sony Xperia X hadir dengan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan HD penuh, dijana menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 650, kamera belakang 23-megapixel dengan PDAF, dan juga kamera hadapan 13-megapixel.
Beberapa ciri-ciri menarik dari Sony turut disertakan pada peranti ini, termasuk penggunaan antaramuka yang tidak keterlaluan seperti pengeluar lain, dan juga ketahanan bateri sehingga 2 hari lamanya.
Melalui penyenaraian pada laman Sony Store Malaysia, pengguna yang membuat pra-tempahan sebelum 14 Jun 2016 dilihat akan menerima beberapa perkara secara percuma, termasuk kad memori, pelindung skrin dan juga kerangka luar tambahan.
Pada harga RM2499, boleh dikatakan ia agak mahal berbanding dengan beberapa peranti lain – dan apatah lagi dengan penjanaan hanya menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 650 sahaja. Mungkin kita boleh nantikan sehingga pelancaran rasminya dalam beberapa hari untuk melihat maklumbalas daripada pihak Sony, dan sama ada pihak Sony mungkin mengubah harga jualannya ataupun tidak.