Cari @ Amanz

BlackBerry sering memfokuskan kepada ciri-ciri keselamatan, sekuriti dan privasi melalui penawaran peranti mereka. Terkini, lanjutan daripada beberapa gambar tertiris pada petang ini, pihak BlackBerry kini secara rasminya telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka, BlackBerry DTEK50.

BlackBerry DTEK50

BlackBerry DTEK50 merupakan telefon pintar kedua daripada BlackBerry yang berasaskan sistem operasi Android. Ia turut hadir dengan integrasi pelbagai perisian dan ciri-ciri keselamatan daripada BlackBerry.

Peranti ini membawakan rekaan skrin sentuh sepenuhnya, dan menyertakan papan kekunci pintar maya daripada BlackBerry yang boleh mempelajari gaya pengguna berdasarkan kepada input mereka.

BlackBerry DTEK50 ini berkongsi spesifikasi dan rekaan sama seperti Alcatel Idol 4. DTEK50 ini turut menyertakan sebuah butang fizikal pada bahagian tepi yang dinamakan BlackBerry Convenience Key. Dengan menekannya, pengguna boleh mengakses kepada aplikasi dan tugasan yang sering digunakan.

BlackBerry Neon

DTEK50 ini hadir dengan skrin bersaiz 5.2-inci pada resolusi 1080p, dijana menggunakan cip Snapdragon 617, memori 3GB RAM, kamera belakang 13-megapixel, dan dikuasakan bateri berkapasiti 2610mAh. Peranti ini menjalankan Android 6.0 Marshmallow dan turut hadir dengan ciri-ciri popular BlackBerry seperti BlackBerry Hub, BlackBerry Calendar dan sebagainya.

BlackBerry DTEK50 ini boleh dipra-tempah di Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali dan Netherlands. Buat masa ini, tidak diketahui lagi bilakah peranti ini akan memasuki pasaran tempatan. BlackBerry DTEK50 ini membawakan tanda harga $299 (~RM1220).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd