Cari @ Amanz

Xiaomi Mi 5Peranti utama pada kebiasaannya dijual pada harga melangkaui RM2000. Ini dapat dilihat pada Samsung Galaxy S7 Edge, HTC 10, OnePlus 3 dan iPhone 6S. Tetapi sejak Xiaomi mula memasuki arena penghasilan peranti mereka menunjukkan bahawa peranti dengan spesifikasi tinggi tidak semestinya dijual pada harga yang juga tinggi melangit. Xiaomi Mi5 ialah peranti utama mereka untuk 2016 dan dilancarkan di MWC Februari yang lalu. Spesifikasinya hampir setanding dengan HTC 10 tetapi harga jualannya adalah hampir separuh lebih murah (RM 2779 vs RM 1399). Apakah rahsia di sebalik harga jualannya yang murah? Paling penting sekali adakah ia berbaloi untuk dimiliki?

Spesifikasi

Xiaomi Mi 5
Skrin 5.15″ IPS LCD FHD (428 ppi)
Chipset Qualcomm Snapdragon 820
CPU 1.8 GHz Kryo Dua Teras

1.36 GHz Kryo Dua Teras

GPU Adreno 530
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (Tiada sokongan MikroSD)
Kamera Utama 16 Megapixel OIS, f/2.0, PDAF
Kamera Depan 4 Megapixel f/2.0
Bateri 3000 mAh (Tidak boleh tanggal)
SIM 2 x Nano SIM
Jalur LTE 1, 3, 7, 38, 39, 40, 41
NFC Ya
Infra Merah Ya
Harga Jualan RM 1399

Seperti yang kami katakan pada perenggan sebelum ini, spesifikasi Mi 5 adalah setanding HTC 10 yang kami ulas sebelum ini. Ia dilengkapi skrin 5.15″ IPS LCD HD penuh, diperkasakan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Skrin mungkin sedikit kecil bagi lelaki bertubuh besar seperti kami. Oleh sebab itu penggunaan skrin HD penuh dan bukannya QHD tidak begitu ketara. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan peranti dengan skrin QHD, kami tidak merasakan penggunaan skrin HD penuh ni sebuah masalah besar.

Ketiadaan sokongan kad MikroSD ini sedikit memilukan. Kesemua peranti utama yang kami ulas tahun ini melainkan Nexus 6P menyokongnya. Di Malaysia saiz storan yang disertakan terhad kepada 32 Gigabyte sahaja. Pada hemat kami ini ialah saiz yang kecil bagi peranti yang mampu merakam video pada resolusi 4K.

Bercakap tentang video, ia dirakam menerusi kamera utama sebesar 16 Megapixel f/2.0 dengan sokongan pemfokusan PDAF dan sistem OIS 4 paksi. Kamera selfie hadapan pula hanya sebesar 4 Megapixel f/2.0. Di sini kita mula melihat dimanakah kos penghasilan Mi 5 dilakukan. Kamera utama dengan lensa f/2.0 ini adalah ketinggalan jika dibandingkan dengan apa yang digunakan pada S7 Edge (f/1.7) dan HTC 10 (f/1.8). Ini bermakna kemampuan merakam gambar di dalam situasi agak gelap pasti sedikit bermasalah.

Dari segi bateri pula ia dilengkapi bateri 3000 mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C. Terdapat sokongan NFC dan pemancar Infra Merah. Mi 5 adalah antara peranti utama terakhir yang masih menyokong pemancar infra merah. HTC dan Samsung kedua-duanya merasakan ia tidak perlu lagi disertakan.

Rekaan

Kami sedikit kecewa dengan rekaan Xiaomi Mi 5. Peranti utama pada kami bukan sahaja perlu mempunyai spesifikasi yang tinggi tetapi menggunakan bahan yang premium. Ini membuatkannya terasa selesa dipegang dengan kemasan yang rapi. Sekali lagi penjimatan dilakukan pada bahan binaan Mi 5. Panel belakang diperbuat daripada kaca tetapi ia mengeluarkan bunyi yang kurang enak didengar apabila diketuk dengan jari. Panel belakang terasa seperti mempunyai ruang kosong. Kerangka logam yang digunakan pula mempunyai kemasan matte yang tidak licin dipegang. Ini memudahkan pengguna memegang peranti tetapi ia tidak membuatkannya kelihatan cantik untuk dilihat. Ini dipadankan dengan butang suara dan kuasa pada sisi kanan yang agak tajam.

Skrin hadapan Mi 5 mempunyai permukaan yang rata. Ini berbeza dengan trend terkini menggunakan kaca 2.5D bagi memudahkan jari bergerak dari skrin ke bahagian sisi. Kami sudah terlalu dimanjakan dengan rekaan kaca 2.5D ini dan ketiadaannya membuatkan penggunaan terasa sedikit canggung.

Pada sisi kiri pula terdapat talam untuk dwi-SIM bersaiz nano. Bergerak ke bahagian atas terdapat bicu audio 3.5 mm dan pemancar infra merah. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat slot pengecasan USB-C dan sebuah pembesar suara mono. Sungguhpun mempunyai dua kekisi pada kiri dan kanan USB-C, hanya kekisi pada sebelah kanan mempunyai pembesar suara. Kekisi kiri hanya wujud sebagai hiasan kosmetik

Panel belakang yang melengkung pada bahagian sisi mengikut kontur telapak tangan. Namun begitu kerana kemasan logam pada kerangka yang agak tajam, ia membuatkan peranti tidak berapa selesa untuk dipegang. Pada waktu yang sama panel kaca pada bahagian belakang adalah amat licin. Beberapa kali peranti terjatuh dari meja apabila menerima panggilan telefon di pejabat. Bagi sebuah peranti utama Mi 5 adalah agak ringan. Gegaran dari sistem motor apabila telefon berdering yang kuat serta panel belakang yang licin membuatkannya “berjalan” sehingga terjatuh dari mana ia diletakkan. Sekiranya anda mahu memilikinya, kami sarankan pembelian sebuah kerangka tahan lasak.

Apa yang kami tulis di atas berbunyi seperti kritikan yang agak melampau. Tetapi apabila mengulas peranti utama, kualiti binaan dan kemasan harus diambil kiri. Jelas sekali dari dua aspek ini Xiaomi masih perlu banyak memperbaiki keperincian kemasan dan kualiti bahan binaan yang digunakan. Ini mungkin disengajakan bagi mengurangkan kos produksi.

Xiaomi Mi 5

MIUI 7

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar MIUI 7. Bulan ini MIUI 8 akan dilancarkan dengan pelbagai lagi fungsi baru. Seperti biasa antaramuka MIUI adalah antara pelancar pihak ketiga yang paling kemas. Segalanya berjalan dengan lancar dan paling penting antaramukanya mudah difahami. Pilihan warna ikon juga baik walaupun dipengaruhi iOS. Masih tiada sokongan talam aplikasi tetapi ini dengan mudah dapat diselesaikan dengan memuat turun pelancar lain dari Google Play. Kami tidak mempunyai komen negatif mengenai MIUI. Tiada sela masa ditemui dan terdapat beberapa penambahan fungsi yang tidak disertakan oleh stock Android.

Mi5-UI-1 Mi5-UI-2 Mi5-UI-3

Dwi-Tap – Menghidupkan skrin peranti dengan menekan skrin sebanyak dua kali.

Child Mode – Menghalang akses aplikasi tertentu dari digunakan kanak-kanak.

Reading Mode – Mod khas yang mengurangkan cahaya biru pada skrin untuk mengurangkan kesakitan mata ketika membaca teks pada skrin.

One Handed Mode – Skrin 5.2″ yang digunakan adalah agak kecil tetapi sekiranya ia masih dirasakan terlalu besar pengguna boleh mengecilkannya. Terdapat pilihan mengecilkan saiz paparan kepada skrin 3.5″, 4″ dan 4.5″. Ini dilakukan dengan mentatalkan jari dari butang navigasi kanan ke home atau butang navigasi kiri ke home dengan pantas.

Navigation Button – Mi 5 masih menggunakan butang navigasi fizikal. Butang home merangkap pengimbas cap jari dihimpit dua butang navigasi kapasitif. Melalui fungsi Navigation Button pengguna boleh memilih untuk menetapkan konfigurasi butang multi tasking dan back pada dagu peranti.

Themes – Kurang gemar dengan rekaan antaramuka yang disertakan? Puluhan tema baru boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma.

Mi5-UI-4

Kamera

Kamera utama 16 Ultrapixel f/2.0 dengan OIS dan sistem pemfokusan PDAF dipadankan dengan kamera selfie 4 Megapixel f/2.0. Penggunaan lensa f/2.0 dan bukannya f/1.8 seperti yang digunakan pada peranti utama lain adalah cara Xiaomi mengurangkan kos menghasilkan Mi 5. Pada tetapan tertinggi 16 Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi kamera dikurangkan ke 12 Megapixel.  Terdapat sembilan pra-tetapan disertakan untuk mengambil gambar seperti Manual, Panorama, Beautify, Tilt Shift, HHT dan Fish Eye. Untuk rakaman video pula terdapat pilihan merakam video pada resolusi 4K, HD Penuh 30 FPS, HD dan SD. Antaramuka aplikasi kamera mudah difahami dengan rekaan cukup minimalis.

Camera-UI-Xiaomi-Mi-5

Kelemahan utama kebanyakan peranti Xiaomi yang kami sedari ialah kemampuan kamera yang kurang memuaskan. Gambar yang diambil mempunyai masalah dedahan berlebihan apabila terang dan agak gelap di dalam situasi pencahayaan yang kurang memuaskan. Pada situasi pencahayaan yang mecukupi gambar yang diambil kamera utama Mi 5 adalah agak baik. Ini dapat dilihat pada gambar langit yang jelas menunjukkan awam di bawah. Pada Redmi Note 3 sebelum ini keseluruhan langit hanya kelihatan putih.

Penghasilan semula warna juga memuaskan. Penggunaan lensa f/2.0  mula menunjukkan kekurangan berbanding peranti utama lain dalam situasi pencahayaan kurang memuaskan. Gambar yang diambil jelas lebih gelap dari yang diambil menggunakan HTC 10 (f/1.8) dan Galaxy S7 Edge (f/1.7). Sistem pemfokusan PDAF yang digunakan juga memuaskan walaupun tidak sepantas pesaing. Kamera Mi 5 bukan yang terbaik di kalang peranti utama tetapi bagi majoriti pengguna kami percaya ianya lebih dari memadai untuk perkongsian di media sosial.

Xiaomi Mi 5IMG_20160730_121958-006

Xiaomi Mi 5IMG_20160722_221557-004 Xiaomi Mi 5IMG_20160728_185004-005  Xiaomi Mi 5IMG_20160730_123942-007 Xiaomi Mi 5IMG_20160801_122615-008 Xiaomi Mi 5IMG_20160801_122642-001Xiaomi Mi 5selfie-002

Penanda Aras

Pemproses Qualcomm Snapdragon 820 yang digunakan ialah antara pemproses paling terkini dihasilkan oleh Qualcomm. Oleh itu markah yang berjaya dicatatkan oleh Mi 5 pada aplikasi penanda aras adalah tinggi. Pada Quadrant ia mencatatkan 36665 markah, Antutu 116317 markah dan Futuremark pula 24959. Ini meletakkan Mi 5 selesa di belakang Samsung Galaxy S7 Edge dan HTC 10.

Kombinasi pemproses yang berkemampuan tinggi dan RAM yang besar memastikan Mi 5 dapat digunakan dengan lancar. Kami tidak mengalami sebarang masalah sepanjang tempoh ulasan. Peranti juga tidak mempunyai masalah kepanasan melampau. Pendek kata dari segi kemampuan memproses ianya setanding dengan peranti-peranti utama lain yang kami ulas tahun ini.

xiaomi-mi-5-benchies

 


Bateri

Bateri sebesar 3000 mAh yang digunakan boleh dianggap standard bagi peranti utama dengan skrin sebesar 5.2″. Pada penggunaan biasa peranti mampu berfungsi hampir 22 jam dengan skrin terpasang selama 5 jam 53 minit. Ini ialah tempoh penggunaan yang baik bagi sebuah peranti utama. Cip pemprosesan terkini digabungkan dengan sistem Doze Android Marshmallow memperbaiki masalah hayat yang pendek peranti utama generasi sebelum ini. Malahan menemui peranti yang mampu berfungsi melebihi 24 jam dengan skrin terpasang hampir 9 jam kini dianggap standard. Ini kami temui pada Huawei Mate 8 dan Xiaomi Redmi Note 3.

Sistem sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 disokong dan memastikan bateri peranti dapat dicas sepenuhnya dari sifar dalam masa 90 minit. Ini ialah sebab mengapa sistem pengecasan USB-C harus digunakan dengan meluas mulai 2017.

 


Pesaing

Kami membandingkan Xiaomi Mi 5 dengan HTC 10 dan Huawei P9 kerana ketiga-tiganya mempunyai saiz skrin yang setanding. Ketiga-tiganya juga adalah peranti utama yang dihasilkan oleh pengeluar pada tahun 2016. Perbezaan paling ketara nyata terletak pada harga jualan.

Peranti Pesaing
Xiaomi Mi 5 HTC 10 Huawei P9
5.15″ IPS LCD FHD (428 PPI) 5.2″ Super LCD5 QHD (565 ppi) 5.2″ IPS NEO FHD (423 PPI)
1.8 x 2 + 1.36 x 2 GHz Snapdragon 820 2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820 2.5 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 955
Adreno 530 Adreno 530 Mali-T880 MP4
3 Gigabyte 4 Gigabyte 3 Gigabyte
32 Gigabyte 32 Gigabyte (2 TB MikroSD) 32 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 12Ultrapixel f/2.0,OIS, Laser Kamera Utama 12 Ultrapixel f/1.8, OIS, Laser Kamera Utama Dwi 12 Megapixel f/2.2, PDAF
Kamera Hadapan5 Megapixel f/2.0, Kamera Hadapan 5 Megapixel, f/1.8, OIS Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4
3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 3000 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 1399 RM 2799 RM 2099

Kesimpulan

Dengan harga jualan RM 1549, Xiaomi Mi 5 ialah peranti utama paling mampu milik di pasaran. Spesifikasinya setanding dengan peranti utama yang lain dan pada waktu yang sama masih menyertakan pemancar infra merah yang kini kian pupus. Dari segi kuasa memproses, kelajuan pemproses yang dikurangkan tidak menunjukkan perbezaan yang besar dengan HTC 10 yang menggunakan Snapdragon 820 pada kelajuan lebih tinggi. Peranti berfungsi dengan amat lancar sepanjang tempoh ulasan. Penukaran aplikasi berlaku dengan pantas dan kesemua aplikasi yang dimuat turun tidak pernah tertutup dengan sendiri. Sela masa juga tidak kami sedari. Pendek kata ia mungkin peranti utama termurah, tetapi untuk kegunaan harian ia berfungsi sebaik peranti utama lain.

Xiaomi Mi 5Jadi di manakah kekurangan peranti ini? Pasti ada sebab mengapa ia mampu dijual jauh lebih murah. Pengurangan kos jelas dilihat pada kemasan dan bahan binaan yang digunakan. Ia tidak terasa se-premium yang ditemui pada HTC 10 dan Samsung Galaxy S7 Edge. Panel kaca pada bahagian belakang menghasilkan bunyi yang agak aneh apabila diketuk. Butang kuasa dan suara yang digunakan pula terasa tajam apabila disentuh. Perkara “remeh” seperti ini tidak kami hiraukan pada peranti kelas pertengahan tetapi pada peranti utama keperincian pada kemasan ialah antara faktor yang perlu diambil kira. Kemasan kaca pada panel belakang juga membuatkannya menjadi peranti yang amat licin untuk dipegang. Pernah beberapa kali Mi 5 yang diulas ini terjatuh dari meja kerana gegaran motor setiap kali menerima notifikasi. Pastikan kerangka tahan lasak  dibeli sekiranya anda membeli Mi 5.

Kemampuan kamera adalah baik dan pada hemat kami setanding dengan yang ditemui pada HTC 10. Penghasilan warna adalah baik walaupun gambar sedikit gelap dari situasi sebenar. Tiada masalah dedahan berlebihan dan kamera menangkap gambar dengan pantas.

Adakah ini peranti utama paling berbaloi untuk dimiliki? Dari segi harga jualan dan kemampuan memproses kami boleh mengatakan ya. Sekiranya anda tidak berapa peduli tentang kualiti kemasan yang kurang memuaskan, Xiaomi Mi 5 ialah peranti yang harus disenarai pendekkan. Sekali lagi Xiaomi membuktikan anda tidak perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan peranti yang berkemampuan tinggi.

Kelebihan Kekurangan
  • Kemampuan memproses yang tinggi dan berfungsi dengan cukup lancar.
  • Pemancar infra merah disertakan.
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Bateri mengecas dengan pantas.
  • MIUI 7 memberikan pelbagai fungsi tambahan dan pilihan kustomasi.
  • Peranti utama paling mampu milik di pasaran sekarang.
  • Kemasan peranti tidak sebaik peranti utama yang lain.Tidak terasa premium apabila dipegang
  • Terlalu licin kerana panel kaca melengkung pada panel belakang.
  • Tiada sokongan MikroSD.

skor-amanz-xiaomi-mi-5

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd