Cari @ Amanz

Huawei Mate 820160418_113010-001Logik akal menetapkan bahawa produk lebih baru dan berkuasa akan dijual pada harga lebih mahal berbanding produk lebih lama. Sekiranya ia produk gantian, produk lama akan diturunkan harga dan produk lebih baru akan mengambil alih slot harga peranti lama. Di dalam kes Huawei Mate 8 logik ini tidak boleh digunapakai. Apabila diumumkan penjualannya di Malaysia bulan lalu, harga jualannya adalah lebih murah berbanding Mate S yang mempunyai skrin lebih kecil dan pemproses yang kurang berkuasa.

Apakah perbezaan paling ketara di antara Mate 8 dengan Mate S? Paling penting sekali adakah peranti ini berbaloi dimiliki apabila dibandingkan dengan beberapa peranti keluaran pesaing yang diperkenalkan tahun ini. Ulasan ini diharap akan membantu anda menjawab kesemua persoalan ini.

Spesifikasi

Huawei Mate  8 Standard
Skrin 6″ IPS NEO LCD (368ppi)
Pemproses 2.3 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 950
GPU Mali-T880 MP4
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0 OIS
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4
Bateri 4000 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi NanoSIM / 4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2099

Mate 8 dilengkapi skrin 6″ IPS NEO LCD dengan resolusi 1080P. Huawei masih enggan menggunakan skrin beresolusi lebih tinggi pada peranti mereka kerana menggunakan kuasa bateri yang tinggi. Satu-satunya peranti mereka dengan skrin QHD ialah Nexus 6P.

Skrin gergasi ini dipadankan dengan pemproses HiSilicon Kirin 950 lapan teras, RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman 32 Gigabyte. Bagi mereka yang memerlukan muatan dalaman lebih besar terdapat edisi Premium dengan muatan dalaman 64 Gigabyte dan sebesar 4 Gigabyte. Kedua-dua model menyokong kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte.

Kemampuan optik pula ialah kamera belakang 16 Megapixel f/2.0 dengan OIS dan PDAF. Kamera hadapan pula ialah sebesar 8 Megapixel f/2.0. Sekali lagi Huawei tidak mengikut trend pasaran kerana resolusi rakaman video tertinggi peranti ini ialah 1080P 60 FPS.

Bateri sebesar 4000 mAh digunakan bagi membekalkan kuasa dan ia turut menyokong pengecasan pantas. Seperti kebanyakan peranti di pasaran sekarang bateri ini tidak boleh ditanggalkan. Menurut Huawei bateri yang besar ini boleh dicas sepenuhnya dalam masa 2.5 jam. Pengecasan selama 30 minit pula adalah mencukupi untuk menggunakannya sehari suntuk.

Rekaan

Sekilas pandang Mate 8 kelihatan seperti sebuah Mate S yang dibesarkan. Perbezaan hanya kelihatan apabila peranti dipusingkan. Rekaan kamera dan pengimbas cap jari Mate 8 adalah berbentuk bulat berbanding empat segi pada Mate S. Kesemua rekaan lain adalah sama tanpa sebarang perubahan. Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi sebelah kanan manakala talam SIM/MikroSD terletak pada sisi kiri. Talam SIM yang digunakan perlu dicucuk untuk dikeluarkan dan menyokong dua SIM bersaiz Nano.

Pada bahagian atas terdapat sebuah bicu audio 3.5mm manakala pada bahagian bawah pula terdapat port pengecasan MikroUSB serta sebuah pembesar suara mono. Seperti pada Mate S, hanya kekisi sebelah kanan mengeluarkan bunyi manakala kekisi sebelah kiri hanyalah hiasan semata-mata. Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam aluminium.

Panel belakang sedikit melengkung bagi memastikan peranti gergasi ini selepas dipegang di dalam telapak tangan. Kemasan panel belakang adalah sedikit kasar bagi menyukarkan ia dari terlepas dari genggaman dengan mudah.

Panel hadapan menggunakan kaca 2.5D yang memastikan pergerakan jari adalah lancar dari permukaan skrin ke bahagian sisi peranti. Bazel sisi skrin adalah nipis dan kesemua butang navigasi dipaparkan di atas skrin. Penggunaan bazel yang nipis serta butang navigasi di atas skrin ni membuatkan peranti mempunyai saiz yang sama dengan Nexus 6P yang mempunyai skrin sebesar 5.7″.

Secara keseluruhan kualiti bahan binaan dan kemasan Mate 8 adalah amat baik dan kelihatan premium. Ianya setanding dengan apa yang kami temui pada Mate S dan Nexus 6P.

EMUI 4.0

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar EMUI 4.0. Seperti biasa EMUI tidak mempunyai sebarang talam aplikasi dan kesemua aplikasi yang dimuat turun dipaparkan pada skrin peranti. Ikon aplikasi boleh dimasukkan ke dalam folder tersendiri mengikut keperluan pengguna. Pelancar rekaan Huawei ini ada membawa beberapa fungsi tambahan yang tidak disertakan pada Android Vanilla. Fungsi tambahan yang disertakan adalah seperti berikut

Knuckle Gesture

  1. Smart Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengetuk skrin sesentuh sebanyak dua kali.
  2. Smart Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan melukis huruf S pada skrin menggunakan buku lima.
  3. Smart Recording – Merakam video paparan skrin dengan melukis huruf “O” pada skrin menggunakan buku lima. Turut boleh diaktifkan dengan menekan butang kuasa dan butang menguatkan suara serentak.
  4. Draw – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera.

Dwi-Tap – Menghidupkan paparan dengan menekan skrin sebanyak dua kali.

Dual Window – Melancarkan dua aplikasi serentak pada skrin dengan menekan butang multi-window selama beberapa saat. Aplikasi yang disokong adalah agak terhad. Terdapat sokongan untuk Instagram, Facebook dan Twitter tetapi tiada pula untuk Chrome.

One Handed UI – Mengecilkan paparan skrin supaya memudahkan akses kepada kesemua elemen antaramuka. Ini dilakukan dengan mentatal dari butang home ke multi-tasking atau home ke back dengan pantas.

Themes – Mengubah tema antaramuka. Hanya terdapat enam tema boleh dipilih. Ini adalah terhad jika dibandingkan apa yang diberikan pada fungsi tema peranti Oppo, Sony, Samsung dan Xiaomi.

Navigation Bar – Menyusun kedudukan empat butang navigasi di bahagian bawah skrin.

Huawei-Mate-8-UI-1 Huawei-Mate-8-UI-2

Huawei-Mate-8-UI-3

Pengimbas Cap Jari

Huawei Mate 8 20160418_112753-004Pengimbas cap jari di panel belakang Mate 8 mempunyai banyak persamaan dengan apa yang kami lihat pada Nexus 6P. Kedua-duanya berbentuk bulat dan terletak di bawah kedudukan kamera.

Secara peribadi kami lebih gemar sistem pengimbas jari yang terletak pada panel belakang peranti. Ia memudahkan proses menyahkunci peranti walaupun ketika dipegang dengan sebelah tangan.

Sistem imbasan cap jari Mate 8 adalah dari jenis sentiasa aktif. Apa yang kami maksudkan di sini ialah ia mengesan cap jari apabila jari diletakkan pada pengesan tanpa perlu ditekan terlebih dahulu seperti yang dilihat pada Galaxy S7 Edge sebelum ini. Ianya pantas tetapi pada hemat kami tidak sepantas yang kami lihat pada Oppo F1 Plus dan iPhone 6S. Ini tidak bermakna ianya perlahan cuma bukan yang terpantas di pasaran. Proses nyahkunci berlaku kurang dari satu saat dan ini pada hemat kami lebih dari memadai.

Panel imbasan cap jari ini mempunyai lebih dari satu fungsi. Ia boleh digunakan untuk mentatal turun talam notifikasi dengan melakukan tatalan ke bawah pada permukaan pengimbas. Kemudian kesemua notifkasi boleh dibuang dengan melakukan aksi dwi-tap. Kerana Mate 8 ialah sebuah phablet yang agak besar, kemampuan mengawal talam notifikasi menggunakan panel imbasan cap jari ini adalah amat menyenangkan pengguna. Ia pertama kali kami lihat digunakan pada Huawei Mate S.

Sistem tatalan ini juga boleh digunakan untuk melihat gambar ketika menggunakan aplikasi Gallery Huawei. Sokongan untuk aplikasi ketiga tidak pula disertakan dan ini kami rasa agak merugikan. Alangkah baiknya jika sistem tatalan ini turut menyokong Chrome, Instagram ataupun Twitter. Pada hemat kami kesemua peranti dengan pengimbas cap jari panel belakang harus menjadikan fungsi ini sebagai piawai.

Kamera

Sensor 16 Megapixel f/2.0 dengan OIS serta pemfokusan PDAF digunakan pada kamera belakang. Pada kamera hadapan sensor 8 Megapixel f/2.4 digunakan untuk mengambil selfie yang beresolusi tinggi. Sistem flash dua tona turut disertakan. Pada resolusi paling tinggi 16 Megapixel, gambar yang diambil adalah pada nisbah 4:3. Untuk gambar bernisbah 16:9 resolusi diturunkan ke 12 Megapixel. Kamera utama mampu mengambil video pada resolusi maksimum 1080P 60 FPS . Ini boleh dianggap sebagai kekurangan kerana pesaing Huawei Mate 8 majoritinya mampu mengambil video pada resolusi 4K.

Huawei-Mate-8-Camera-UI

Sembilan tetapan disertakan iaitu Panorama, Super Night, HDR, Professional, All Focus, Watermark, Slow-Mo, Audio Note dan Document Adjustment. Kesemuanya disertakan bagi memudahkan proses penangkapan gambar. Tidak seperti pada peranti Sony dan Samsung, pratetapan tambahan tidak boleh dibuang ataupun dimuat turun.

Antaramuka aplikasi kamera mudah difahami. Seperti pada Mate S, untuk mengakses fungsi rakaman video tatalan perlu dilakukan. Tiada butang rakaman video dan gambar diletakkan sekali pada antaramuka. Kami tergolong di dalam kategori pengguna yang kurang gemar dengan konfigurasi ala Apple ini. Adalah lebih mesra pengguna untuk meletakkan butang pengatup kamera dan rakaman video serentak.

Kualiti gambar Huawei Mate 8 pada hemat kami adalah baik. Gambar adalah tajam dan tidak mempunyai masalah noise yang ketara walaupun di dalam situasi pencahayaan yang kurang baik. Penghasilan warna adalah sedikit kekuningan dengan blooming dikesan pada sumber cahaya yang terang. Sungguhpun begitu ia tidak begitu ketara seperti yang dilihat pada peranti kelas pertengahan yang pernah kami ulas. Jika dibandingkan dengan raja kamera peranti mudah alih iaitu Galaxy S7 Edge, kualiti gambar Mate 8 adalah sedikit ketinggalan. Kepantasan pemfokusan Mate 8 sedikit perlahan jika dibandingkan dengan S7 Edge. Sungguhpun begitu untuk kegunaan harian kami rasakan kamera Mate 8 adalah lebih dari memadai dan memuaskan.

Huawei Mate 8IMG_20160411_190430

Huawei Mate 8IMG_20160413_225951 Huawei Mate 8IMG_20160319_210517  Huawei Mate 8IMG_20160413_070942 Huawei Mate 8IMG_20160413_071536

Huawei Mate 8IMG_20160318_162709Video

Kualiti rakaman video adalah sebaik rakaman gambar statik. Sistem penstabilan video optikal yang digunakan memastikan rakaman yang stabil walaupun ketika berjalan. Sungguhpun begitu kami menyedari apabila sistem OIS berfungsi,ianya tidak berapa lancar. Malahan ianya nampak terlalu ketara. Juara rakaman video pada peranti pintar masih lagi di tangan S7 Edge dengan Xperia Z5 tidak jauh di belakang.

Penanda Aras

Melalui tiga ujian penanda aras yang kami lakukan, markah yang dicatatkan oleh Mate 8 adalah seperti di bawah. Ianya bukan peranti yang paling berkuasa di pasaran dan seperti yang anda boleh lihat Kirin 950 adalah hampir setanding dengan Snapdragon 810 yang digunakan pada Sony Xperia Z5 Dual. Tidak seperti Xperia Z5 Dual, Mate 8 tidak mempunyai sebarang masalah kepanasan sepanjang tempoh ulasan. Kesemua aplikasi yang kami muat turun mampu digunakan tanpa masalah. Gabungan pemproses yang baik dan saiz yang RAM yang besar memastikan kelancaran peranti. Kami tidak menemui sebarang masalah kronik ataupun sela masa.

Huawei-Mate-8-Bench-3

Huawei-Mate-8-Bench-1


Bateri

Juara ketahanan bateri di Makmal Amanz sebelum ini ialah Sony Xperia Z3. Selepas lebih setahun akhirnya kami menemui peranti dengan ketahanan bateri yang jauh lebih melampau dari apa yang dihasilkan oleh Sony. Ini adalah kerana bateri Mate 8 sebesar 4000 mAh ini mampu bertahan melebihi dua hari. Pada penggunaan paling berat pula ia bertahan lebih daripada 18 jam dengan skrin terpasang selama hampir 8 jam. Pada penggunaan sederhana kami berjaya menggunakan peranti hampir dua hari dengan skrin terpasang melangkaui 10 jam.

Ini ialah piawai baru hayat bateri peranti mulai sekarang dan matrik pemarkahan Amanz akan dikemaskini mengikut piawaian terbaru. Bateri Mate 8 bukan sahaja besar ia turut boleh menjadi power bank kepada peranti lain menggunakan fungsi USB OTG. Pengecasan pantas disokong dan bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa 2.5 jam. Sebagai perbandingan bateri 3600 mAh Galaxy S7 Edge mengecas sepenuhnya dalam masa 185 minit.

 


Pesaing

Berikut ialah spesfikasi Huawei Mate 8 apabila dibandingkan dengan Samsung Galaxy S7 Edge dan Nexus 6P. Kedua-dua peranti ini mempunyai spesifikasi yang tinggi terkini dan mempunyai skrin yang agak besar.

Peranti Pesaing
Huawei Mate 8 Standard Samsung Galaxy S7 Edge Google Nexus 6P
6″ IPS Neo LCD FHD (368 PPI) 5.5″ SAMOLED QHD (534 PPI) 5.7″ AMOLED QHD (518 PPI)
2.3 x 4 + 1.8 X 4 GHz HiSilicon Kirin 950 2.6 x 4 + 1.59 x 4 GHz Exynos 8890 2.0 x 2 + 1.55 x 2 GHz Snapdragon 810
Mali-T880 MP4 Mali-T880 MP12 Adreno 430
3 Gigabyte 4 Gigabyte 3 Gigabyte
32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (200 GB MikroSD) 64 Gigabyte
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0 OIS Kamera Utama 12Megapixel f/1.7 OIS Kamera Utama 12.3 Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4 Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.7 Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4
4000 mAh (Tidak boleh dibuka) 3600 mAH (Tidak boleh dibuka) 3450 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 2099 RM 3099 RM 2698

Kesimpulan

Pasaran sekarang dipenuhi dengan peranti kelas pertengahan dengan harga mampu milik dan peranti kelas tinggi yang dianggap sebagai barangan mewah. Dari segi saiz skrin pula majoriti peranti yang dijual sekarang mempunyai skrin di bawah 5.5″. Mate 8 ialah phablet dengan spesifikasi yang baik tetapi dijual pada harga yang agak kompetitif. Bahan binaan yang digunakan adalah berkualiti tinggi dan sungguhpun agak besar masih lagi selesa digunakan dengan sebelah tangan kerana mempunyai panel belakang yang melengkung. Bezel yang kecil membuatkan Mate 8 mempunyai saiz yang sama dengan Nexus 6P walaupun mempunyai skrin yang lebih besar.

Kemampuan kamera adalah baik. Kualiti gambar adalah tajam dengan penghasilan warna yang baik. Walaupun mempunyai sensor sebesar 16 Megapixel, ia walau bagaimanapun masih belum dapat menandingi apa yang kami lihat pada S7 Edge. S7 Edge telah menetapkan piawaian baru untuk kamera pada peranti mudah alih dan oleh sebab itu kami hanya memberikan 8 markah kepada kemampuan kamera Mate 8. Kekurangan jika dibandingkan  dengan S7 Edge ialah gambar yang kurang tajam, sistem OIS yang tidak berapa lancar, ketiadaan rakaman 4K dan kewujudan blooming pada sumber cahaya apabila gambar diambil pada waktu malam.

Huawei Mate 8IMG_9931Kehebatan sebenar Mate 8 terletak pada kemampuan bateri yang tidak pernah kami lihat sebelum ini. Dengan bateri sebesar 4000 mAh dan Android Marshmallow, peranti ini dapat bertahan melebihi sehari pada penggunaan paling berat. Skrin terpasang melangkaui 10 jam. Ini ialah piawaian baru dan mengalahkan rekod yang dipegang oleh Xperia Z3 hampir dua tahun. Sekiranya anda malas mengecas peranti setiap hari, inilah peranti yang anda nantikan. Sistem pengecasan pantas disokong tetapi kerana saiz bateri yang agak besar ia mengambil masa lebih dari dua jam untuk dicas sepenuhnya.

Mari bercakap tentang kelemahan pula. Ya peranti ini masih menggunakan skrin HD Penuh dan bukannya QHD seperti pesaing. Antaramuka EMUI pula kami rasakan tidak secantik seperti stock Android ataupun TouchWiz dan MIUI. Selepas Huawei mengambil bekas pereka UX Apple, kami mengharapkan perubahan drastik dilakukan pada EMUI namun ini masih belum berlaku. Rekaan antaramuka yang sedikit ketinggalan ini mungkin membuatkan pengguna berfikir dua kali untuk memiliki Mate 8.

Sungguhpun begitu pada harga RM 2099 kami merasakan Mate 8 dijual pada harga yang kompetitif dengan pesaing dengan spesifikasi setanding. Sekiranya anda inginkan phablet yang boleh melakukan majoriti tugasan anda dengan baik dan dengan hayat bateri yang terbaik di dalam kelasnya inilah peranti yang harus anda senarai pendekkan.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan peranti yang premium dengan kualiti kemasan yang tinggi.
  • Pelbagai fungsi tambahan seperti Multi Window, fungsi sebelah tangan dan Knuckle Gesture.
  • Pengimbas cap jari yang pantas.
  • Pengimbas cap jari juga boleh digunakan untuk mengawal peranti.
  • Ketahanan bateri yang amat menakjubkan.
  • Menggunakan Android Marshmallow. Peranti keluaran China yang lain masih banyak menggunakan Lollipop.
  • Tiada rakaman video 4K.
  • Pembesar suara mono.
  • Antaramuka kurang menarik.

Skor-Amanz-Huawei-Mate-8

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd