Cari @ Amanz

Samsung-Galaxy-S7-Edge-IMG_20160321_141841Setahun telah berlalu sejak kami mengulas Samsung Galaxy S6, peranti yang kami rasakan antara yang terbaik dihasilkan sepanjang 2015. Apa yang kami sukakan tentang S6 ialah pengurangan aplikasi gendut, rekaan yang premium dan kemampuan kamera antara yang terbaik pada peranti mudah alih. Ia hanya mempunyai beberapa cacat cela yang menghentikannya dari dinobatkan sebagai peranti sempurna.

Februari lalu selepas ia diperlihatkan, Samsung Galaxy S7 Edge membawakan beberapa perubahan yang kami rasakan mengujakan. Rekaan diperhalusi, spesifkasi dipertingkat dan akhirnya ia kalis air seperti Sony Xperia Z3 yang secara peribadi adalah peranti paling baik pernah kami gunakan. Adakah Galaxy S7 Edge mampu menggantikan Z3 di hati kami sebagai peranti sempurna? Ulasan ini akan menjawab persoalan ini

Spesifikasi

Samsung Galaxy S7 Edge
Skrin 5.5″ SAMOLED QHD (534 ppi)
Pemproses 2.6 x 4 + 1.59 x 4 GHz Exynos 8890
GPU Mali-T628 MP4
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 200 GB)
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7 OIS
Kamera Depan 5 Megapixel f/1.7
Bateri 3600 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi NanoSIM / 4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 3099

Setahun berlalu dan perubahan yang dilakukan kepada perkakasan adalah agak kecil. Skrin 5.5″ SAMOLED QHD yang digunakan adalah peningkatan dari 5.1″ yang digunakan pada S6 Edge. Pemproses generasi baru Exynos 8890 menggantikan Exynos 7720. RAM dipertingkatkan sebanyak 1 Gigabyte kepada 4 Gigabyte bagi memastikan peranti berfungsi dengan lebih lancar. Kapasiti bateri menerima peningkatan paling ketara dari 2600 ke 3600 mAh.

Tetapi tidak semua spesifikasi S7 Edge adalah peningkatan dari model terdahulu. Model tahun ini dilengkapi kamera 12 Megapixel berbanding 16 Megapixel pada tahun lalu. Sensor baru dengan teknologi Duo-Pixel menurut Samsung mungkin mempunyai saiz lebih kecil tetapi akan menghasilkan gambar yang jauh lebih baik. Lensa f/1.7 yang digunakan sekarang adalah penambahbaikan dari f/1.9. Sistem penstabilan imej secara optikal (OIS) dikekalkan. Kamera hadapan masih lagi 5 Megapixel tetapi menggunakan lensa f/1.7 yang sama seperti kamera utama.

Bersebelahan bonjolan kamera utama ini terdapat pengimbas nadi dan hanya beberapa inci di bawahnya pula diletakkan sistem imbasan NFC. Seperti yang berlaku pada Galaxy Note 5, pemancar infra merah tidak lagi disertakan. Mengapa ini dilakukan tidak kami ketahui. Tetapi mungkin juga ia tidak berapa digunakan oleh majoriti pemilik peranti keluarga Galaxy S sebelum ini.

Kepada yang merindui sokongan kad MikroSD, berita baik bagi anda kerana Galaxy S7 Edge menyokong fungsi ini dengan sokongan sehingga 200 Gigabyte. Seperti yang katakan di awal tadi, perubahan dari segi spesifikasi tidaklah besar tetapi lebih kepada penambahbaikan secara berperingkat berbanding model terdahulu. Taktik penambahbaikan secara kecil kecilan ini nampaknya mengikut jejak langkah Apple yang melakukannya sejak dahulu lagi. Sekiranya ia boleh dilakukan Apple, mengapa ia tidak boleh dilakukan oleh pengeluar lain? Dengan kata lain Galaxy S7 Edge ialah evolusi kepada S6 Edge dan bukannya revolusi yang drastik.

Rekaan

Dari segi saiz, S7 Edge terletak di tengah-tengah S6 Edge dan S6 Edge plus. Kerangka S7 Edge masih lagi diperbuat daripada aluminium dengan rekaan yang lebih bulat. Kerangka juga lebih nipis berbanding S6 Edge kerana panel belakang peranti ini juga mempunyai rekaan dwi lengkung seperti skrin hadapan. Rekaan ini pertama kali kami lihat pada Note 5. Ini membuatkan peranti amat selesa dipegang kerana tidak lagi mempunyai sisi berkotak.

Skrin 5.5″ SAMOLED dengan resolusi QHD yang digunakan mempunyai kualiti paparan terbaik di pasaran dan lebih menjimatkan tenaga berbanding LCD biasa. Kesemua objek yang dipaparkan pada skrin kelihatan tajam, hidup dan dengan kualiti warna yang melangkaui apa yang ditemui pada peranti pesaing. Sejak kebelakangan ini kami gemar menonton siri TV menerusi perkhidmatan penstriman pada peranti pintar. Menonton siri TV noir seperti Daredevil terasa lebih mengasyikkan kerana penghasilan semua warna pada skrin S7 Edge yang terbaik di dalam kelasnya.

S7-Edge-Comparison

Bonjolan kamera kini tidak lagi terkeluar dengan begitu ketara. Apabila diletakkan di atas permukaan meja, peranti tidak akan terjungkit seperti sebelum ini. Ini juga mengurangkan kebarangkalian lensa kamera utama tercalar selepas beberapa kali diletakkan di atas permukaan rata sekiranya pengguna tidak menggunakan kerangka luaran.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang diperbuat daripada logam manakala pada sisi bertentangan terdapat dua butang kawalan suara. Talam SIM berkembar bersaiz nano terletak pada bahagian atas peranti. Talam adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk mengeluarkannya dari slot simpanan. Talam SIM ini adalah dari jenis hibrid dan slot SIM kedua turut berfungsi sebagai slot untuk kad MikroSD. Pada bahagian bawah pula terdapat slot pengecasan MikroUSB, pembesar suara mono dan bicu audio 3.5 mm.

Galaxy S7 Edge masih lagi mengekalkan penggunaan butang navigasi kapasitif. Butang home fizikal dihimpit oleh butang multi tasking pada sebelah kiri dan butang back pada sebelah kanan. Kedua-dua butang adalah berlampu Bercakap tentang butang home, ia mempunyai pengimbas cap jari terbina. Tiada lagi kemasan logam berwarna perak mengelilingi butang ini. Kami lebih menyukai rekaan baru ini kerana ia membuatkan butang home tidak kelihatan terlalu ketara.

Perubahan paling besar tetapi mungkin tidak disedari ialah kemampuan kalis air IP68. Ini meletakkannya setanding dengan Sony Xperia Z5 dan peningkatan dari IP67 pada Galaxy S5. Seperti Z5, pembesar suara, bicu audio dan port MikroUSB tidak ditutup bagi memudahkan penggunaan. Kerana keperluan menjadikan peranti kalis air, kualiti audio dari pembesar suara mono kali ini adalah tidak sebaik pada S6. Pada tetapan paling tinggi ia masih tidak berapa jelas. Selaput yang menutup kekisi audio bagi menghalang air memasuki bahagian dalam peranti berfungsi sebagai peredam bunyi.

Secara keseluruhan rekaan baru ini menjadikan S7 Edge lebih selesa digunakan. Skrin kaca 2.5D yang melengkung pada sebelum tiba ke kerangka aluminium memudahkan pergerakan jari. Rekaan panel belakang yang melengkung pada bahagian sisi juga memudahkan lagi cengkaman di dalam tangan. Di dalam ulasan S6 Edge kami katakan ia adalah peranti yang paling kami takut untuk gunakan kerana amat licin. Beberapa kali ia terjatuh dari genggaman kerana kurang selesa dipegang. Dengan rekaan baru ini ketakutan masih wujud tetapi sekurang-kurangnya kali ini ia terasa lebih selamat di dalam pegangan.

Peranti ini walaubagaimanapun masih lagi mengekalkan masalah tahun lalu iaitu memerangkap kotoran dengan mudah. Panel kaca akan dipenuhi ratusan cap jari selepas digunakan hanya untuk seketika.Berita baik di sini ialah kerana peranti ini kalis air, anda boleh membasuhnya sekiranya ia menjadi terlalu kotor.

Kombinasi permukaan mudah berminyak dan panel kaca yang licin ini adalah kombinasi maut. Kami sarankan pengguna kerangka tahan lasak untuk peranti ini bagi mengelakkan ia terjatuh dan mengakibatkan kerosakan yang teruk kepada akaun bank anda.

Penggunaan Dan Antaramuka Peranti

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar TouchWiz. Sekali lagi elemen antaramuka pelancar rekaan Samsung ini diberikan nafas baru.Talam notifikasi yang dahulunya berwarna biru kini berubah kelabu dengan sentuhan warna biru . Ikon aplikasi yang dahulunya bersegi kini mempunyai sisi lebih bulat. Perubahan yang dilakukan adalah kosmetik dengan tiada banyak fungsi baru ditambah. Fungsi Briefing seakan HTC Blinkfeed kini digantikan dengan Upday, sistem agregasi berita dan media sosial baru mereka. Seperti Briefing, Upday boleh dimatikan sekiranya tidak diperlukan.

Samsung-Galaxy-S7-Edge-UI-1 Samsung-Galaxy-S7-Edge-UI-2 Samsung-Galaxy-S7-Edge-UI-3

Kerana menggunakan TouchWiz, beberapa fungsi klasik dan eksklusif  yang wujud pada versi terdahulu masih lagi disertakan. Berikut adalah fungsi khas TouchWiz yang dikekalkan.

  • Info
  • Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.
  • Info
  • Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.
  • Info
  • Pop Up View – Aplikasi boleh dipaparkan di dalam tetingkap kecil yang terapung pada skrin.

Pop Up Video – Video dimainkan di dalam tetingkap kecil yang terapung pada skrin.

Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.

Easy Mute – Mematikan nadi dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.

Multi WIndow – Memaparkan dua aplikasi serentak dengan skrin terbahagi kepada dua.

Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang home sebanyak dua kali

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali

Themes – Kustomasi tema antaramuka dengan tema yang boleh dimuat turun.

Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5 atau 5×5.

Fungsi Baru Always on Display & Game Launcher

Tiga fungsi baru diperkenalkan kali ini dan kita mulakan dengan Always On Display. Apabila diaktifkan sebahagian skrin akan sentiasa aktif dan memaparkan maklumat tertentu. Pengguna boleh memilih untuk mepaparkan waktu, tarikh, kalendar dan gambar tertentu sepanjang masa. Ini amat berguna bagi mereka yang menggunakan peranti pintar sebagai jam. Tidak perlu lagi menekan butang kuasa terlebih dahulu untuk melihat paparan waktu.

Sebagai seorang bekas pengguna Nokia E7, ini ialah fungsi yang kami mahukan pada peranti Android sejak beralih sistem operasi enam tahun yang lalu. Sekiranya anda terlupa, Nokia mempunyai sistem diberi nama Nokia Sleeping Screen yang merupakan fungsi eksperimen yang boleh digunakan oleh Nokia E7N8, C7, dan C6-01. Fungsi Always On Display adalah serupa seperti Nokia Sleeping Screen cuma pilihan pada versi Nokia lebih meluas. Harus diakui fungsi Always On Display ini seakan gimik tetapi bagi pengguna tua yang merindui Nokia seperti kami, ia mengembalikan nostalgia menggunakan perati Symbian^3.

Game Launcher pula mengumpulkan kesemua aplikasi permainan di dalam hab khas secara automatik. Apabila hab ini ditekan anda diberikan pilihan untuk mematikan kesemua notifikasi peranti sepanjang sesi permainan. Tiada lagi masalah gangguan akan berlaku ketika anda khusyuk berperang di dalam Clash of Kings. Di dalam aplikasi ini terdapat sebuah lagi fungsi diberi nama Game Tools.

Ia membolehkan butang back dan multi tasking dianyahkatif, merakam video permainan dan menangkap paparan skrin dengan menekan sebuah butang. Menarik sekali sambil rakaman video diambil, kamera hadapan boleh diaktifkan bagi menunjukkan wajah pemain. Ini adalah mod yang bagus untuk mereka yang gemar menghasilkan video genre Let’s Play di Youtube.

Samsung-Galaxy-S7-Edge-Extras

Edge Screen

Di dalam ulasan S6 Edge tahun lalu, kami ada mengatakan bahawa fungsi skrin sisi yang disertakan oleh Samsung adalah amat terhad berbanding apa yang dipaparkan pada Note Edge. Dengan S7 Edge, fungsi yang “hilang” pada S6 dikembalikan semula dengan beberapa pembaharuan. Akses pantas kepada individu paling kerap anda hubungi masih dikekalkan dan begitu juga kustomasi warna yang dipaparkan pada skrin sisi apabila mereka melakukan panggilan. Perubahan adalah lebih kepada penabahbaikan untuk menjadikan Edge Screen lebih mudah digunakan.

Saiz tab aplikasi Edge Screen kini lebih besar bagi memaparkan maklumat yang terkandung. Quick Tools Note Edge juga kembali dan saiznya juga lebih besar dengan penambahan aplikasi kompas dan lampu suluh. Dua fungsi ini menggantikan fungsi jam randik dan spirit level yang wujud pada Note Edge. Selain apa yang sudah kami tulis tadi terdapat juga sokongan S Planner, singkatan pautan internet dan ramalan kaji cuaca. Saiz tab (untuk menarik tab keluar dari sisi skrin) dan tahap keterangannya kini juga boleh diubah oleh pengguna.

Dengan penambahan fungsi lama dan kemas kini kepada sistem yang digunakan pada S6, Edge Screen kini lebih berguna berbanding sebelumnya. Adakah ia masih gimik jualan? Secara ikhlas kami merasakan ia masih lagi sebuah gimik tetapi kini dengan pilihan fungsi lebih luas berbanding hanya satu pada model tahun lalu.

Samsung-Galaxy-S7-Edge-Edge-Screen

Pengimbas Cap Jari

Samsung Galaxy S7 Edge IMG_20160321_141757Terdapat tiga konfigurasi pengimbas jari digunakan pada peranti pintar sekarang iaitu hadapan, belakang dan sisi. Samsung meletakkan pengimbas jari pada butang home S7 Edge sejak Galaxy S5.

Dari segi kepantasan, pengimbas jari pada S7 Edge adalah lebih pantas berbanding versi terdahulu. Ia masih lagi dari jenis pasif yang perlu ditekan terlebih dahulu sebelum imbasan dapat dilakukan.

Secara peribadi kami merasakan pengimbas cap jari pada panel belakang adalah rekaan paling mesra pengguna. Ibu jari tidak perlu melakukan aksi akrobatik untuk diimbas apabila peranti berada di dalam genggaman. Jari telunjuk dengan mudah dapat mengakses pengimbas pada panel belakang. Kami bercakap dari pengalaman menggunakan HTC One Max, Huawei Mate S, Mate 8 dan Nexus 6P. Pada keempat-empat peranti ini pengguna hanya perlu menyentuh pengimbas dan peranti akan dinyahkunci. Tiada keperluan untuk menekan pengimbas terlebih dahulu.

Dari segi kepantasan, kami lebih sukakan sistem aktif yang digunakan pada empat peranti yang disenaraikan tadi berbanding yang digunakan pada S7 Edge. Pengimbas cap jari pada panel hadapan mensasarkan golongan yang gemar meletakkan peranti di atas meja dan konfigurasi ini memudahkan nyahkunci tanpa peranti perlu diangkat.

Kamera

Sensor 12 Megapixel f/1.7 dengan OIS serta pemfokusan pantas Duo Pixel digunakan pada kamera belakang. Pada kamera hadapan sensor 5 Mengapixel f/1.7 sudut laber digunakan. Di atas kertas ia kelihatan seperti pengurangan kemampuan kamera S7 Edge berbanding S6. Ya saiz sensor kini lebih kecil tetapi kualiti lensa dan Duo Pixel membuatkan kamera S7 Edge memintas kemampuan S6.

Pada resolusi paling tinggi 12 Megapixel, gambar yang diambil adalah pada nisbah 4:3. Untuk gambar bernisbah 16:9 resolusi diturunkan ke 9 Megapixel. Kamera utama mampu mengambil video pada resolusi 4K. Pada resolusi 1080P, rakaman dilakukan pada kadar 60 FPS.  Seperti tahun lalu, sistem penstabilan imej dan object tracking tidak boleh diaktifkan apabila melakukan rakaman 4K.

Apabila dikeluarkan daripada kotak, terdapat 10 pro-tetapan boleh dipilih oleh pemilik. Ini termasuk mod Pro yang mengambil gambar di dalam format RAW. Lebih banyak pra-tetapan boleh dimuat turun oleh pengguna mengikut keperluan. Antaramuka aplikasi kamera Samsung mungkin adalah yang terbaik pada peranti pintar kerana mempunyai pelbagai tetapan bagi mereka yang menyukai kawalan secara lebih terperinci.

Menarik sekali S7 Edge turut mampu mengambil gambar Live Photo. Mod Motion Photo ini perlu diaktifkan dan seperti pada peranti iOS, klip video pendek sebelum dan selepas gambar diambil akan dirakamkan. Untuk memainkan semula video pengguna hanya perlu ke galeri dan menekan ikon yang terpapar pada skrin. Tidak seperti Live Photo, muat naik gambar Motion Photo ke Facebook masih belum disokong.

Bagi golongan profesional kesemua parameter yang biasa digunakan untuk mengambil gambar menggunakan DLSR boleh ditemui pada aplikasi kamera S7 Edge. Sekiranya anda buta fotografi seperti kami, mod automatik kamera ini boleh diandalkan untuk mengambil gambar yang sempurna setiap masa.

Samsung-Galaxy-S7-Edge-Camera-UITahun lalu dengan S6 Samsung pada pendapat kami mempunyai kamera peranti mudah alih terbaik di pasaran. S7 Edge dengan mudah mengambil alih takhta ini dari S6. Penghasilan warna yang lebih tepat, gambar lebih tajam, objek latar belakang lebih jelas, tiada masalah softening yang ketara pada sumber cahaya dan di dalam situasi pencahayaan rendah masalah noise hampir tidak wujud. Kamera S7 Edge ialah kamera yang perlu ditandingi peranti lain yang muncul sepanjang 2016.

Samsung Galaxy S7 Edge20160319_210558

Samsung Galaxy S7 Edge 20160313_140912 Samsung Galaxy S7 Edge 20160313_135409 Samsung Galaxy S7 Edge 20160313_140922 Samsung Galaxy S7 Edge 20160313_141459Samsung Galaxy S7 Edge 20160310_222433

Video

Kualiti rakaman video adalah sebaik rakaman gambar statik. Sistem penstabilan video optikal yang digunakan memastikan rakaman yang stabil walaupun ketika berjalan. Tidak seperti pada Xperia Z5,video yang distabilkan pergerakannya kelihatan lebih semula jadi dan tidak terlalu mekanikal. Tiada masalah rolling shutter dikesan. Kualiti rakaman audio juga memuaskan. Mod rakaman perlahan 240FPS pula pada resolusi 720P kelihatan lebih baik berbanding kualiti rakaman 1080P beberapa peranti yang kami ulasa sebelum ini. Video yang dirakam di dalam mod ini juga amat lancar.

Penanda Aras

Di Malaysia S7 Edge diperkasakan oleh pemproses lapan teras Exynos 8890 dan bukannya empat teras Snapdragon 820. Apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah seperti berikut. Seperti yang anda boleh lihat Exynos 8890 memintas Exynos 7720 yang sebelum ini menjuarai carta pemproses paling berkuasa makmal Amanz.

Di atas kertas memang ianya berkuasa tetapi bagaimana pula dalam penggunaan dunia sebenar? Peranti ini memang pantas dan boleh menjalankan aplikasi permainan tanpa sebarang masalah. Masalah kepanasan tidak berapa ketara dan kami hanya menyedarinya berlaku ketika peranti sedang dicas.

Tetapi tidak seperti pada S6, kami ada menemui masalah sela masa dan peranti gagal berfungsi semasa ulasan dilakukan. Ia berlaku dua kali dalam masa 10 hari dan menyebabkan peranti melakukan reboot secara tiba-tiba. Ini adalah mengecewakan kerana masalah ini sudah diselesaikan pada S6. Apabila kami bertanya kepada beberapa pemilik S7 Edge di media sosial, tidak ada yang merungut tentang masalah ini. Jadi besar kemungkinan masalah ini adalah spesifik kepada peranti yang kami ulas kerana ianya antara unit paling awal dan diterima dua minggu sebelum pelancarannya di Malaysia.

Galaxy-S7-Edge-Bench-2


Bateri

Peranti yang berkuasa dan kelihatan premium tidak bermakna tanpa bateri yang baik. Bateri 3600 mAh yang disertakan menjamin penggunaan sepanjang hari. Hayat bateri purata sepanjang tempoh ulasan ialah sekitar 13 jam dengan skrin aktif melebihi empat jam. Ini adalah tempoh penggunaan yang baik dengan sistem Always On Display digunakan sepanjang masa. Doze, sistem kawalan penggunaan bateri Android Marshmallow memastikan tahap bateri berkurangan sebanyak 3 peratus sahaja apabila kami tidur selama 7 jam setiap malam.

Sistem pengecasan pantas Adaptive Fast Charging yang disokong mengecas bateri sepenuhnya dalam masa 84 minit. Sekiranya anda mahu memanjangkan hayat bateri, sistem pengecasan AFC ini boleh dimatikan menerusi skrin tetapan.

 


Pesaing

Berikut ialah spesfikasi Samsung Galaxy S7 Edge apabila dibandingkan dengan Huawei Mate 8 Premium dan LG G5. Kedua-dua peranti ini mempunyai spesifikasi yang tinggi terkini dan setanding dengan S7 Edge,

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy S7 Edge Huawei Mate 8 Premium LG G5
5.5″ SAMOLED QHD (534 PPI) 6″ IPS Neo LCD FHD (368 PPI) 5.3″ IPS LCD QHD (54 PPI)
2.6 x 4 + 1.59 x 4 GHz Exynos 8890 2.3 x 4 + 1.8 X 4 GHz HiSilicon Kirin 950 2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820
Mali-T880 MP12 Mali-T880 MP4 Adreno 530
4 Gigabyte 4 Gigabyte 4 Gigabyte
32 Gigabyte (200 GB MikroSD) 64 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (200 GB MikroSD)
Kamera Utama 12Megapixel f/1.7 OIS Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0 OIS Kamera Utama 16 + 8  Megapixel f/1.8 + 2.4
Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.7 Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4 Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0
3600 mAH (Tidak boleh dibuka) 4000 mAh (Tidak boleh dibuka)
2800 mAh (Boleh dibuka)
RM 3099 RM 2399 RM 2552*

Kesimpulan

Samsung Galaxy S7 Edge memperbaiki kelemahan ketara S6 Edge iaitu kapasiti bateri yang kecil, bonjolan kamera yang besar, tiada kemampuan kalis air dan kerangka yang kurang selesa dipegang. Perubahan kecil yang diberikan ditambah lagi dengan peningkatan kemampuan kamera, penambahan fungsi Edge Screen, sokongan kad MikroSD, Game Launcher dan Always On Display. Sekiranya anda sudahpun memiliki sebuah S6 Edge ataupun S6 Edge Plus, penambahbaikan yang kecil ini tidak akan membuatkan pembelian S7 Edge berbaloi. Tetapi sekiranya anda seorang pengguna peranti lain, S7 Edge mungkin adalah peranti Android terbaik di pasaran sekarang.

Samsung-Galaxy-S7-Edge-IMG_20160321_141115Ia dengan mudah menggantikan Xperia Z3 sebagai peranti terbaik yang pernah kami ulas kerana melangkaui hampir kesemua kemampuan peranti utama Sony ini. Satu-satunya kelebihan Xperia Z3 ialah ketahanan bateri yang sehingga kini terbaik di dalam kelasnya.

Dengan harga jualan RM 3099 ramai yang bertanyakan soalan sama ada S7 Edge berbaloi untuk dimiliki. Sekiranya anda mahukan peranti tercantik di pasaran dengan keperincian pada setiap kemasan ia memang berbaloi. Kualiti kemasan dan keperincian pada peranti ini tidak dapat ditandingi oleh peranti pintar yang wujud di pasaran sekarang. Ini dipadankan pula dengan spesifikasi perkakasan yang tinggi dan kamera peranti mudah alih terbaik di pasaran sekarang. Jika anda mahukan yang terbaik, anda seharusnya membayar lebih.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan peranti yang tercantik di pasaran. dengan kemasan kaca dan logam premium.
  • Spesifikasi tinggi. Pemproses berkuasa tinggi dan saiz RAM yang besar.
  • Kamera terbaik pada peranti mudah alih di pasaran sekarang.
  • Sokongan kad MikroSD dikembalikan.
  • Pelbagai fungsi tambahan seperti Multi Window, fungsi sebelah tangan dan mod khas aplikasi permainan.
  • Hayat beteri yang amat baik. Turut menyokong pengecasan pantas.
  • Kalis air dan debu.
  • Pembesar suara mono. Kualiti audio kurang memuaskan kerana tertutup dengan sistem kalis air.
  • Peranti mudah kotor. Memerangkap cap jari dengan mudah.
  • Tubuh amat licin kerana penggunaan kerangka logam dan panel kaca.
  • Tidak menyokong piawai pengecasan pantas terkini. Masih lagi menggunakan piawai tahun lalu.

Skor-Samsung-Galaxy-S7-Edge

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd