Tarikh pelancaran Pokemon GO di Malaysia masih lagi samar tanpa sebarang maklumat dari Niantic. Sungguhpun begitu reaksi dari pelbagai pihak mengenai permainan memburu haiwan aneh digital ini sudah menjadi isu negara. Sebelum ini mufti Pulau Pinang menyarankan supaya fatwa dikeluarkan bagi mengharamkannya. Laporan polis juga sudah dikeluarkan kerana pelapor risau pemain Pokemon GO akan berubah menjadi kartun.
Setelah berbincang dan mengambil kira pelbagai perkara, Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan permainan Pokemon Go boleh dijauhi sekiranya ia memudaratkan. Berikut merupakan kenyataan penuh Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan permainan Pokemon Go:
Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.
Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat. Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku, membawa kepada:
- Bahaya dari segi pengintipan pihak luar
- Pencerobohan ruang peribadi
- Faktor keselamatan seperti kemalangan
- Kelalaian
- Ketagihan melampau terhadap gajet
- Kehilangan fokus terhadap realiti sekeliling
- Gangguan emosi seperti mudah marah akibat kekalahan.
- Membawa kepada akhlak yang buruk
- Ancaman kepada pekerjaan dan pelajaran.
Kami syorkan pilihlah bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, dan juga tiada unsur khurafat yang mengarut.
Perkara ini mungkin dijangka ramai memandangkan terdapat pelbagai kes telah kedengaran, termasuk pemain Pokemon Go dirompak kerana tidak peka terhadap keadaan sekeliling ketika memainkannya, disamping turut memainkan ketika memandu dan sebagainya. Pihak Niantic sendiri telah mengemaskini permainan mereka baru-baru ini dalam memaparkan pelbagai amaran ketika mula memainkan permainan Pokemon Go ini.