Cari @ Amanz

Penantian peminat Pokemon yang mahu memainkan Pokemon GO berakhir pagi ini. Anda kini boleh memuat-turun aplikasi popular tetapi penuh kontroversi ini secara rasmi di Malaysia. Kami boleh mengesahkan kesemua elemen permainan berjalan lancar sejak 8 pagi tadi. Selain di Malaysia ia juga telah dilancarkan secara rasmi di Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Papua New Guinea, Fiji, Kepulauan Solomon, Persekutuan Mikronesia dan Palau.

Pokemon Go

Pokemon Go merupakan salah satu permainan yang diperkatakan ramai sejak beberapa minggu lepas – menawarkan kaedah permainan dengan integrasi dunia nyata dan maya, sekaligus memberikan pengalaman permainan yang serba-baru.

Menggunakan aplikasi Pokemon Go ini, ia membolehkan pengguna menangkap pelbagai Pokemon yang terdapat di sekeliling berdasarkan kepada lokasi GPS, disamping turut meletakkannya pada Gym untuk bersaing dengan pasukan lain. Secara tidak langsung, ia juga turut mengalakkan pengguna untuk bergerak dan bersenam dengan berjalan dari satu lokasi ke lokasi yang lain – tetapi seperti biasa, pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati ketika berjalan di luar, serta peka dengan keadaan sekeliling.

Kepada yang ingin memburu Pokemon hari ini kami ingin mengingatkan anda supaya berhati-hati dan tidak menceroboh tempat yang tidak sepatutnya dimasuki. Selamat memburu kepada semua. Gotta Catch ‘Em All!. Seperti apa yang telah dinyatakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, permainan Pokemon Go ini perlu dijauhi sekiranya ia memudaratkan anda dan orang disekeliling.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd