Carian
LG
LG V20 Dilancarkan – Peranti Pertama Dengan Android Nougat
September 7, 2016 Effi Saharudin

Peranti dengan dwi kamera kini mula memasuki pasaran. Huawei, LG sudah melancarkannya awal tahun ini dengan Apple diuar-uarkan akan turut mengikuti langkah yang sama. Tetapi LG nampaknya mahu menjadi pelopor kepada penggunaan teknologi lebih hebat. LG V20 akhirnya dilancarkan dan ia dilengkapi tiga kamera (satu di hadapan dan dua di belakang) serta dwi-skrin pada bahagian hadapan. Pada waktu yang sama LG V20 ialah peranti pertama menggunakan Android Nougat.

LG  V20 1

Teknologi dwi-skrin ini terlebih dahulu diperlihatkan pada LG V10. Terdapat sebuah skrin mini di atas skrin utama yang sentiasa terpasang. Ia akan memaparkan notifikasi dan boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi dengan pantas ketika skrin utama tidak aktif.

Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin 5.7″ Quantum IPS QHD, pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan 64 Gigabyte. Penambahan storan menggunakan kad MikroSD sehingga 2 Terabyte disokong. Kamera belakang berkembar dilengkapi lensa 16-Megapixel f/1.8 dan 8-Megapixel f/1.8 . Kamera 8-Megapixel dilengkapi lensa sudut lebar 138 darjah. Sistem pemfokusan PDAF, laser dan contrast digunakan bagi menghasilkan gambar yang lebih tepat. Kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel dengan lensa sudut lebar 120 darjah. Tidak seperti ura-ura yang didengari, sistem dwi-kamera hadapan LG V10 tidak disertakan.

LG V20 1 2

Selain kemampuan kamera yang tinggi, V20 juga direka untuk penggemar audio. Sistem Hi-Fi Quad DAC 32-Bit disertakan dengan sokongan Bang & Olufsen Play bagi memberikan tetapan audio terbaik. Bateri 3200 mAH yang boleh ditanggalkan menjadi sumber kuasa dengan sokongan pengecasan pantas Quick Charge 3.0 menggunakan port USB-C. Tiada sokongan komponen modular seperti LG G5 dan hanya panel belakang aluminium V20 boleh ditanggalkan untuk memberi akses kepada bateri.

Peranti ini tidak kalis air tetapi memenuhi piawaian tahan hentakan MIL STD 810G. Bahan polikarbonat digunakan pada bahagian atas dan bawah peranti untuk menyerap hentakan sekiranya terjatuh.  Harga masih belum diumumkan tetapi Ia akan memasuki pasaran Korea Selatan terlebih dahulu pada penghujung bulan ini.

https://www.youtube.com/watch?v=u8gf32H1WOs

Komen