Akhir Ogos lalu kami ada menulis mengenai masalah skrin sesentuh iPhone 6 dan 6 Plus yang gagal berfungsi selepas melepasi tempoh jaminan. Pada kesemua peranti ini skrin akan mula berkelip-kelip dan selepas beberapa ketika terus gagal mengesan sentuhan jari pengguna. Masalah berlaku kerana rekaan cip Touch IC skrin sesentuh yang kurang baik sehingga menyebabkannya tertanggal dari papan induk. Lebih 10000 pengguna di Amerika Syarikat kini bertindak mengemukakan saman ke atas Apple keran masalah “Touch Disease” ini.
Saman dikemukakan kerana mereka mendakwa Apple mengetahui mengenai masalah ini tetapi tidak pernah mengemukakan sebarang kenyataan rasmi atau mengakui kewujudannya. Pengguna pula terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki peranti sedangkan ia adalah kesilapan rekaan yang dilakukan oleh pihak Apple. Sekiranya anda memiliki salah satu daripada kedua-dua model peranti di atas, pakar mengatakan Touch Disease hanya menanti untuk berlaku kerana kesemuanya mempunyai rekaan papan induk yang bermasalah.
Tiga firma guaman di Amerika Syarikat kini mencari lebih banyak pengguna bagi mengukuhkan kes. Berdasarkan komen dari artikel asal yang kami tulis Ogos lalu, ramai juga pengguna di Malaysia yang terpaksa membayar kos yang tinggi untuk membaiki Touch Disease. Malang sekali kes saman ini nampaknya hanya terbuka kepada warga Amerika Syarikat sahaja buat masa ini.