Carian
Ulasan OnePlus 3 – Semakin Hampir Membunuh Peranti Utama
November 10, 2016 Effi Saharudin

Kali pertama muncul tiga tahun yang lalu, OnePlus angkuh dengan penggunaan moto “flagship killer”. Kempen viral memaksa pengguna yang mahukan OnePlus 1 secara percuma untuk memecahkan peranti yang sedang mereka gunakan. Gimik ini berjaya dan nama OnePlus melonjak naik dengan pantas.

Tetapi realitinya peranti mereka masih belum cukup berkuasa untuk mengalahkan peranti utama. Malahan kerana menjanjikan bulan dan bintang seperti kempen pilihanraya, mereka akhirnya gagal memenuhi janji. Dengan OnePlus 3 mereka banyak mempelajari dari kesilapan baru. Adakah OnePlus 3 akhirnya berjaya menjadi seperti Daud dan akhirnya membunuh gergasi Jalut? Ini ialah ulasan penuh kami.

Spesifikasi

OnePlus 3
Skrin 5.5″ Optic AMOLED HD Penuh (401 ppi)
Pemproses 2.0 X 2.15 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820
Cip Grafik Adreno 530
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte
Kamera Utama 16 Megapixel OIS, PDAF f/2.0
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.0
Bateri 3000 mAh (Pengecasan Pantas)
Kalis Air Tidak
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1/2/3/5/7/8/20/38/40
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1888

Skrin 5.5″ Optic AMOLED dengan resolusi HD penuh digunakan. Ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 6 Gigabyte dan storan 64 Gigabyte. Tiada sokongan kad MikroSD disertakan. Dengan RAM sebesar 6 Gigabyte, ini meletakkan OnePlus 3 sebagai antara peranti dengan saiz RAM terbesar di pasaran. Terdapat beberapa peranti lain dengan RAM setanding tetapi belum memasuki pasaran Malaysia buat masa ini.

Kemampuan optik ialah kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0dengan sokongan OIS dan sistem pemfokusan PDAF. Kamera utama ini mampu merakam video pada resolusi 4K. Pada bahagian hadapan kamera 8-Megapixel f/2.0 digunakan dengan kemampuan merakam pada resolusi 1080P.

Bateri yang digunakan adalah agak kecil iaitu berkapasiti 3000 mAh sahaja. Tetapi ia menyokong pengecasan pantas Dash Charge yang mengecas dengan amat pantas berbanding pengecas pantas lain. Ini dilakukan menggunakan port USB-C pada bahagian bawah peranti.Tidak seperti OnePlus 2, OnePlus 3 menyokong sistem NFC.

OnePlus 3 masih tidak mempunyai kemampuan kalis air ataupun sokongan pengecasan tanpa wayar. Ketiadaan fungsi-fungsi ini mungkin bagi mengurangkan harga peranti. Sekali lagi ingin diingatkan peranti ini dijual pada harga RM 1888. Peranti lain dengan dua fungsi yang kami senaraikan tadi kesemuanya dijual pada harga melebihi RM 3000 sebuah.

Sokongan penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD dan pemancar infra merah juga tiada. Tetapi kami enggan meletakkannya sebagai perkara yang negatif kerana majoriti peranti utama lain keluaran Google dan Apple turut tidak menyertakannya. Kami juga faham ramai juga merasakan ini bukanlah fungsi penting. Secara peribadi sekiranya kami ingin memiliki peranti utama, kesemua fungsi yang disenaraikan di atas harus wujud bagi membezakannya dengan peranti kelas pertengahan dan ke bawah.

oneplus-3-003

oneplus-3-collage-1Rekabentuk

Rekabetuk OnePlus 3 adalah cukup menarik. Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam dengan kemasan matte pada panel belakang. Ini mengurangkan kebarangkalian ianya mengumpul cap jari seperti peranti lain yang kami lihat tahun ini.

Panel belakang yang melengkung membuatkannya selesa dipegang walaupun mempunyai saiz tubuh yang agak besar. Ini ditambah lagi dengan bahagian sisi yang dibulatkan. Satu perkara negatif ialah kerana rekaan seperti ini peranti adalah sedikit licin.

Pada sisi kanan terdapat butang kawalan suara dari jenis rocker yang diperbuat daripada logam.Sebuah butang notifikasi khas turut diletakkan pada sisi yang sama. Butang ini mempunyai tiga tetapan yang membolehkan notifikasi diterima, dimatikan atau memaparkan notifikasi dari pengguna tertentu sahaja untuk dipaparkan. Ini ialah fungsi yang diperkenalkan pada OnePlus 2.

Butang kuasa dan talam untuk dwi-SIM nano terletak pada sisi bertentangan. Sekali lagi butang diperbuat daripada logam.

Bercakap mengenai talam SIM, ia dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk mengeluarkannya. Sekiranya anda kerap bertukar SIM pastikan jarum disimpan sepanjang masa.

Bergerak ke bahagian bawah terdapat bicu audio 3.5mm, pembesar suara mono dan port pengecasan USB-C.

Pembesar suara mempunyai tahap kelantangan yang baik pada tetapan paling tinggi. Bunyi masih lagi sedap didengari pada tetapan ini tanpa ia kedengaran seperti pecah. Kekurangan hanyalah ia masih hanya menggunakan pembesar suara mono.

Secara keseluruhan pakej yang diberikan oleh OnePlus 3 adalah cukup lengkap bagi majoriti pengguna. Ia selesa untuk dipegang, tidak memerangkap cap jari semudah peranti dengan panel kaca dan mempunyai spesifikasi yang berkuasa untuk kegunaan harian.

 

Antaramuka

Android 6.1 digunakan dengan pelancar OxygenOS 3.2.7. Pelancar ini mempunyai rekaan hampir dengan Android Stock dan ini membuatkannya kelihatan minimalis. Tidak banyak perubahan dilakukan dan ini pastinya menggembirakan pengguna yang mahukan rekaan stock tetapi dengan pelbagai fungsi tambahan. Kombinasi rekaan minimalis dan spesifikasi yang tinggi memastikan kelancaran peranti. Sepanjang dua minggu melakukan ulasan, tidak sekalipun kami menemui masalah sela masa. Segalanya berfungsi dengan cukup pantas.

Ketika artikel ditulis, OnePlus sedang bekerja keras menghasilkan kemas kini untuk Android 7.0. Jadi sekurang-kurangnya kemas kini ke versi paling terkini akan diterima. Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan dengan Oxygen OS.

Fungsi Kawalan Jari

  • Fungsi dwi tap untuk menghidupkan skrin.
  • Lakar huruf O untuk melancarkan kamera.
  • Lakar huruf V untuk melancarkan aplikasi lampu suluh.
  • Kawalan jari untuk memainkan muzik dan menukar lagu seterusnya.

Kustomasi Butang Fizikal Dan Di Atas Skrin – Ini ialah fungsi “membunuh” OxygenOS yang sepatutnya diambil oleh Google dan dijadikan fungsi standard pada kesemua peranti Android. Pengguna boleh memilih untuk menggunakan butang navigasi di atas skrin atau butang fizikal pada bahagian dagu. Susunan butang turut boleh diubah mengikut kehendak pengguna.

Dark Theme – Mahukan antaramuka bertema gelap yang kurang menggunakan bateri? Dark Theme mengubah kesemua elemen antaramuka ke warna hitam. Ia bukan sahaja mengurangkan penggunaan bateri tetapi menjadikannya kelihatan lebih seksi pada pendapat kami.

Shelf – Sekiranya anda benci dengan skrin hadapan yang dipenuhi terlalu banyak ikon aplikasi, Shelf akan menyelesaikan masalah ini. Lima aplikasi paling kerap anda gunakan anda terpapar di dalam Shelf secara automatik. Maklumat mengenai Individu yang paling kerap anda hubungi juga akan tertera di sini. Widget aplikasi juga boleh ditambah untuk memudahkan ia diperiksa dengan hanya satu tatalan. Kesemua widget yang dahulunya memenuhi skrin boleh disimpan terus ke dalam Shelf dan kelihatan lebih kemas.

 

oneplus-3-ui-1 oneplus-3-ui-2 oneplus-3-ui-3

 

Kamera

Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0 OIS dipadankan dengan kamera hadapan sebesar 8-Megapixel f/2.0. Kamera utama mengambil gambar pada nisbah 4:3 pada tetapan tertinggi. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi diturunkan ke 12-Megapixel. Pada tetapan tertinggi video boleh dirakam pada resolusi 4K. Terdapat sokongan manual dan juga merakam gambar di dalam format RAW. Selain daripada itu terdapat pilihan untuk mengambil video secara gerak perlahan ataupun pantas.

Tidak banyak fungsi tambahan diberikan oleh OnePlus pada aplikasi kamera. Antaramuka adalah minimalis dan mudah digunakan. Sungguhpun begitu butang gambar dan rakaman video tidak diletakkan pada skrin yang sama. Keperluan menatal ke atas dan ke bawah bagi menukar mod rakaman gambar ke video pada hemat kami adalah kurang mesra pengguna.

oneplus-3-ui-4

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera utama OnePlus 3. Seperti yang anda boleh lihat rakaman di dalam situasi terang menghasilkan gambar yang memuaskan. Tetapi penggunaan lensa f/2.0 membuatkan rakaman pada waktu malam kurang memuaskan. Lihat sahaja foto Kuala Lumpur pada waktu malam di bawah. Gambar langsung tidak tajam dengan noise yang ketara. Ditambah lagi dengan masalah pendedahan berlebihan pada sumber cahaya dan blooming.

Penggunaan lensa dari dua generasi terdahulu ini menjejaskan kemampuan OnePlus 3 merakam gambar dengan baik. Sebagai perbandingan Galaxy S7 menggunakan lensa f/1.7 dan iPhone pula f/1.8.  Jika mereka benar-benar mahu membunuh peranti utama lain, penggunaan lensa yang lebih baik perlu digunakan pada OnePlus 4.

oneplus-3-photos-0001 oneplus-3-photos-0002 oneplus-3-photos-0003 oneplus-3-photos-0005 oneplus-3-photos-0004 oneplus-3-photos-0006

 

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 820 yang digunakan adalah yang paling berkuasa pernah dihasilkan Qualcomm. Apabila digabungkan dengan RAM sebesar 6 Gigabyte, peranti berfungsi dengan lancar. Kami tidak menyedari sebarang masalah melancarkan aplikasi ataupun ia gagal berfungsi secara tiba-tiba. Pendek kata sekiranya anda mencari peranti utama Android yang lancar,  OnePlus 3 mungkin boleh disenarai pendekkan. Berikut ialah markah ujian penanda aras yang kami sempat lakukan. Seperti yang anda boleh lihat markah yang dicatatkan adalah agak baik dan berdaya saing dengan peranti utama lain di pasaran.

oneplus-3-bencies

 

Bateri

Bateri sebesar 3000 mAh yang disertakan boleh dikategorikan sebagai agak kecil bagi sebuah peranti utama 5.5″ dengan pemproses yang cukup berkuasa. Dari awal kami mempunyai kerisauan dengan ketahanan bateri OnePlus 3. Pada penggunaan biasa kami hanya berjaya menggunakan peranti selama 18 jam dengan skrin terpasang sekitar 5 jam 15 minit. Ini ialah jangka hayat yang sederhana sahaja. Juara ketahanan bateri masih lagi iPhone 7 Plus yang mampu bertahan 27 jam dengan skrin terpasang selama 10 jam walaupun dilengkapi bateri 2900 mAh.

Tetapi anda tidak perlu risau kerana OnePlus 3 mempunyai senjata rahsia yang dapat membantu anda apabila kehabisan bateri. Sistem pengecasan pantas Dash Charge disertakan dan ia adalah yang terpantas di pasaran sekarang. Bateri boleh dicas sepenuhnya dari sifar peratus dalam masa hanya 80 minit. Sebagai perbandingan bateri iPhone 7 Plus memerlukan lebih daripada dua jam untuk dicas sepenuhnya. Sistem pengecasan pantas ini sedikit sebanyak mengimbangi kekurangan dari segi ketahanan bateri OnePlus 3.

Pesaing

Berikut ialah perbandingan spesifikasi dan harga OnePlus 3 dengan dua peranti utama yang paling popular di pasaran sekarang. Kami memilih Apple iPhone 7 Plus dan Samsung Galaxy S7 Edge kerana kedua-duanya merupakan peranti utama yang popular di pasaran sekarang. Seperti yang boleh anda lihat OnePlus 3 mempunyai spesifikasi yang baik tetapi dijual pada harga yang lebih mampu milik.

Peranti Pesaing
OnePlus 3 Apple iPhone 7 Plus Samsung Galaxy S7 Edge
5.5″ Optic AMOLED FHD (401 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI) 5.5″ SAMOLED QHD (534 PPI)
2.0 x 2.15 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820 Apple A10 Fusion 2.3 x 4 + 1.6 x 4 GHz Exynos 8890
Adreno 530 Apple M10 Mali-T880 MP12
6 Gigabyte 3 Gigabyte 4 Gigabyte
64Gigabyte 32/128/256 Gigabyte 32 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, OIS PDAF Kamera Utama Dwi-12 Megapixel f/1.8 + f/2.8, OIS, PDAF Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7, OIS, Duo Pixel
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan Kamera Hadapan 7 Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.7
3000 mAh (Pengecasan Pantas) 2900 mAh 3600 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 1888 RM 3799 RM 3099

 

oneplus-3-collage-3Kesimpulan

Adakah OnePlus 3 akhirnya berjaya membunuh peranti utama? Jawapan yang boleh kami berikan ialah masih belum tetapi dengan percubaan ketiga mereka semakin hampir kepada sasaran asal. Dari segi rekaan dan spesifikasi ia setanding dengan majoriti peranti utama 2016. Dari segi kemampuan memproses anda boleh lihat sendiri ini memang sebuah peranti yang cukup berkuasa. Dengan harga yang amat kompetitif ia hanya beberapa ratus ringgit lebih mahal berbanding beberapa peranti kelas pertengahan pengeluar lain.

Terdapat juga beberapa fungsi yang unik pada OnePlus yang tidak wujud pada peranti lain. OxygenOS membolehkan pemilik menggunakan butang navigasi fizikal ataupun di atas skrin. Keduduakan butang juga boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Ini ditambah lagi dengan Dark Theme yang mengurangkan penggunaan bateri. Fungsi Shelf pula mempelajari tabiat pengguna dan meletakkan aplikasi yang paling kerap digunakan secara automatik. Sekiranya anda tidak menggemari skrin hadapan yang dipenuhi ikon aplikasi, Shelf fungsi yang amat membantu.

Tetapi ada beberapa kekurangan yang membuatkannya masih gagal untuk mengalahkan gergasi lain di pasaran. Perkara pertama sekali ialah kemampuan optik yang sedikit di belakang. Kualiti gambar yang terhasil di dalam situasi pencahayaan kurang baik adalah mengecewakan. Terdapat noise dan blooming yang ketara. Pada situasi pencahayaan yang baik gambar yang terhasil adalah baik. Hayat bateri juga tidak setanding peranti utama lain tetapi diimbangi sistem pengecasan pantas yang terpantas.

Kepada mereka yang mahukan sebuah peranti utama tetapi enggan berbelanja lebih, OnePlus 3 ialah peranti yang akan memenuhi kehendak anda. Ia pantas dan cukup berkuasa. Beberapa kelemahan yang kami senaraikan adalah jauh lebih sedikit berbanding kelebihannya. Pada harga jualan RM 1888 sebuah, ini peranti yang berbaloi untuk dimiliki.

Kelebihan Kekurangan
  • Peranti yang cukup pantas,lancar dan berkuasa. Tiada masalah lengah masa pada peranti ini.
  • Oxygen OS membolehkan pengguna memilih sistem navigasi kapasitif ataupun di atas skrin.
  • Rekaan antaramuka yang menghampiri stock tetapi dengan pelbagai fungsi tambahan seperti pelancar pihak ketiga.
  • Rekaan yang selesa dipegang walaupun bersaiz besar.
  • Sistem pengecasan terpantas di pasaran.
  • Ketahanan bateri sederhana.
  • Kemampuan kamera yang juga sederhana.
  • Tiada sokongan kad MikroSD.

skor-oneplus-3

 

Komen