Huawei Memperkenalkan Mate 9 – Hadir Dengan Dwi-Kamera Leica, Dan EMUI 5.0

Huawei Memperkenalkan Mate 9 – Hadir Dengan Dwi-Kamera Leica, Dan EMUI 5.0

Diterbitkan pada November 3, 2016 oleh .

Huawei hari ini telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka dibawah keluarga Mate, iaitu Huawei Mate 9. Bersama-sama dengan pengenalannya, Huawei turut mengumumkan sebuah versi khusus, iaitu Huawei Mate 9 Porsche Design.

Huawei Mate 9

Membezakan peranti ini adalah dimana Mate 9 menawarkan paparan biasa, sementara Mate 9 Porsche Design hadir dengan skrin melengkung pada kiri dan kanan. Melalui telefon pintar Mate 9 baru ini, Huawei menekankan mereka cuba mengatasi tiga masalah utama yang sering menjadi fokus ramai pengguna, iaitu keupayaan pemprosesan yang tidak bertahan beberapa tahun, keupayaan kamera dan juga bateri.

Huawei Mate 9

Huawei Mate 9 adalah telefon pintar bersaiz 5.9-inci daripada Huawei, dan dilengkapi dengan cip pemprosesan Kirin 960. Ia turut hadir dengan Mali-G71 untuk GPU yang menawarkan kuasa pemprosesan dan grafik berkali-gada berbanding sebelumnya. Huawei Mate 9 juga turut mengintegrasikan sokongan Vulkan bagi memberikan pengalaman permainan yang lebih baik.

Huawei Mate 9

Huawei Mate 9 juga hadir dengan sistem operasi Android 7.0 Nougat. Berbeza dengan Huawei Mate 9 Porsche Design, ia menggunakan sokongan pengimbas cap jari pada bahagian belakang. Mate 9 juga hadir dengan sokongan realiti-maya DayDream secara terbina.

Huawei turut mengintegrasikan sokongan pembelajaran mesin pada antaramuka EMUI yang membolehkan peranti pengguna kekal beroperasi dengan pantas dari masa ke semasa, selain mengoptimasikan penggunaan memori dan kuasa pemprosesan. Melengkapkan telefon pintar baru daripada Huawei ini adalah sokongan pengecasan pantas yang Huawei menamakannnya sebagai Huawei Super Charge – membolehkan pengecasan sehingga 58% dalam masa 30 minit.

Huawei Mate 9

Huawei Mate 9

Pada bahagian kamera pula, Huawei bekerjasama dengan pihak Leica – dimana kini ia membawakan sensor 12-megapixel RGB dan 20-megapixel Monokrom. Kamera belakang juga kini menyertakan sokongan OIS secara terbina, selain sokongan autofokus lazer dan PDAF. Huawei turut menyertakan sokongan rakaman video 4K melalui telefon pintar ini, selain beberapa mod lain.

Melengkapkan peranti ini juga adalah sejumlah fungsi terbina lain seperti pada telefon Huawei sebelum ini, termasuk antaranya adalah Knuckle Sense, sokongan arahan suara, kemudahan mengimbas kad nama, dan juga kebolehan merakamkan gambar dengan pantas.

Huawei Mate 9

Berbeza dengan Huawei Mate 9 Porsche Design, Mate 9 hanya hadir dengan 4GB RAM dan ruangan storan 64GB. Ia dijual di Eropah pada harga 699 Euro (~RM3239). Ia bakal hadir ke Malaysia pada fasa pertama, namun, tarikh jualan rasminya masih belum dikongsikan.


TIPS & ULASAN