Cari @ Amanz

EMUI adalah antaramuka khusus yang digunakan oleh Huawei ke atas sistem operasi Android pada peranti mereka, sekaligus menawarkan beberapa ciri-ciri tambahan melaluinya. Pada Huawei Mate 9, pihak Huawei telah menyertakan antaramuka terbaru mereka, iaitu EMUI 5.0.

EMUI Pembelajaran Mesin

Salah satu ciri utama yang menjadi fokus pada EMUI 5.0 adalah sokongan integrasi pembelajaran mesin. Melaluinya, ia mempelajari kaedah penggunaan peranti oleh seseorang pengguna dan menawarkan pengoptimasian kuasa pemprosesan dan memori.

Huawei mengatakan melaluinya ia sekaligus membolehkan peranti terus berjalan lancar dan laju untuk tempoh masa yang lebih lama berbanding kebanyakkan peranti yang lain. Daripada salah satu contoh yang dipertontonkan, Huawei memperlihatkan simulasi dimana peranti Mate 9 kekal beroperasi dengan pantas selepas 18 bulan, sementara Samsung Galaxy S7 Edge menjadi agak perlahan untuk membuka aplikasi.

EMUI 5.0 juga menyediakan pemprosesan yang dioptimasikan khusus untuk sesuatu aplikasi bergantung kepada sesuatu masa dan lokasi – berdasarkan kepada data pengguna tersebut sendiri. Huawei mengatakan EMUI bukan sahaja belajar daripada pengguna, tetapi juga daripada perilaku sesuatu aplikasi tersebut sendiri. Pengoptimasian ini dilakukan dalam bentuk masa-nyata.

EMUI 5.0 ini buat masa ini diperkenalkan pada Huawei Mate 9 sahaja, dan mungkin ia turut ditawarkan untuk peranti Huawei lain dalam masa akan datang.

Seperti biasa, kita hanya akan mengetahui keberkesanan pengoptimasian berasaskan pembelajaran mesin ini selepas menggunakan Huawei Mate 9 untuk beberapa bulan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd