Huawei Ingin Memintas Apple Sebagai Pengeluar Peranti Kedua Terbesar Dalam Masa Dua Tahun

Huawei Ingin Memintas Apple Sebagai Pengeluar Peranti Kedua Terbesar Dalam Masa Dua Tahun

Diterbitkan pada November 4, 2016 oleh .

Huawei kini di tempat ketiga di dalam senarai pengeluar peranti terbesar di dunia. Dengan pegangan pasaran sebesar 9%, ia kini di belakang Apple (12%) dan Samsung (20.1%). Perbezaan yang tidak berapa jauh di antara Huawei dan Apple ini meniupkan semangat mereka mensasarkan tempat kedua dalam masa dua tahun. Ini diumumkan sendiri oleh Richard Yu, ketua eksekutif perniagaan pengguna Huawei di dalam sebuah temuramah bersama Reuter semalam.

Huawei-Logo

Beliau menambah Huawei mempunyai kelebihan di dalam teknologi kecerdasan buatan, realiti maya dan AR berbanding Apple. Kelebihan ini akan dijadikan batu loncatan untuk memintas Apple kelak. Pada suku ke-tiga yang baru berakhir Huawei berjaya menjual 33.6 Juta peranti. Apple pula berjaya menjual 45.5 Juta peranti. Tidak seperti Huawei, jualan iPhone dan iPad semakin menurun tahun demi tahun. Tahun lalu mereka mensasarkan untuk menjadi pengeluar peranti terbesar di dunia dalam masa lima tahun.

Sasaran yang ditetapkan oleh Richard Yu ini mungkin menjadi bahan ketawa sesetengah peminat Apple. Tetapi kita harus ingat hanya sepuluh tahun yang lalu Nokia, Blackberry dan Motorola adalah triniti terbesar dunia pengeluaran peranti mudah alih. Kini mereka sudah tidak wujud, nazak atau sedang bersedia untuk Phoenix bangkit.

 


TIPS & ULASAN