Cari @ Amanz

 google-pixel-xl-007Dengan Pixel Google mahu dilihat lebih serius dalam menghasilkan peranti mereka. Kawalan ke atas sistem operasi digabungkan dengan kawalan secara menyeluruh dari segi spesifikasi. Tidak melampau untuk mengatakan Google Pixel dan Pixel XL ialah Google mengikut langkah Apple dalam penghasilan peranti pintar. Dengan kawalan lebih menyeluruh produk yang lebih berkualiti sepatutnya dapat dihasilkan.

Semasa di Google Adventure Japan minggu ini kami berpeluang menggunakan sebuah Pixel XL untuk melengkapkan beberapa cabaran seumpama The Amazing Race. Berikut ialah pandang pertama kami mengenai peranti yang dinobatkan sebagai peranti Android terbaik pernah dihasilkan.

Spesifikasi

Google Pixel XL
Skrin 5.5″ AMOLED QHD (534 PPI)
Pemproses 2.15 x 2  +   1.6 x 2 GHz Snapdragon 821
Cip Grafik Adreno 530
RAM 4 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 32/128 Gigabyte
Kamera Utama 12.3 Megapixel f/2.0, EIS
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4
Kalis Air IP 53
Bateri 3450 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni SIM Nano
Jalur LTE 1/2/3/4/5/7/8/12/13/17/18/19/20

21/26/28/32/38/39/40/41

NFC Ya
Infra Merah Tiada

Google Pixel XL ialah mempunyai saiz skrin yang lebih besar berbanding Pixel. Skrin 5.5″ AMOLED yang digunakan mempunyai resolusi QHD. Ini ialah jauh lebih tinggi berbanding HD penuh yang digunakan pada skrin 5″ Pixel.

Ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 821, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan 32/128 Gigabyte. Seperti Nexus, Pixel XL tidak menyokong sebarang penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD. Ini membuatkan pilihan Google untuk tidak menghasilkan storan 64 Gigabyte sedikit aneh.

Kamera 12.3-Megapixel f/2.0 diletakkan pada bucu kiri atas panel belakang peranti. Sistem penstabilan imej secara elektronik digunakan dan bukannya OIS seperti pada peranti utama lain. Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2.4. Di atas kertas lensa yang digunakan adalah tidak sebaik yang wujud pada iPhone 7 dan Galaxy S7 Edge. Tetapi Google mengatakan sistem pemprosesan gambar yang digunakan masih boleh menghasilkan imej yang menyaingi apa yang boleh diambil oleh dua peranti dengan kemampuan kamera yang terbaik ini.

Bercakap tentang kemampuan kamera. Kamera Pixel XL boleh merakam video pada resolusi 4K 30 FPS dan 1080P 120 FPS.  Kepada yang gemar merakan video pada resolusi UHD ini, storan 32 Gigabyte adalah tidak mencukupi. Ini sekali lagi membuatkan ketiadaan sokongan kad MikroSD dan storan 64 Gigabyte semakin aneh.

Akhir sekali bateri 3450 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas USB-PD. Ini dilakukan menerusi slot USB-C.  Tidak seperti iPhone 7 dan Lenovo Moto Z, Google mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Walaupun dihasilkan dengan kerjasama HTC, Pixel XL tidak mempunyai sistem audio stereo pada panel hadapan. Sebaliknya pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah dan panel hadapan seperti yang dilihat pada HTC 10 sebelum ini.

Sebuah pengimbas cap jari berbentuk bulat terletak pada panel belakang yang diperbuat daripada kaca dan di sini juga terletak sistem NFC. Sungguhpun begitu tiada pemancar infra merah disertakan.

 

Rekabentuk

google-pixel-xl-vert-1Sekiranya sebuah HTC 10 mengawan dengan sebuah iPhone 4S hasilnya ialah Pixel XL. Kami katakan begini kerana rekaan hadapannya memang menyamai peranti keluaran Apple dengan perbezaan tiadanya butang home fizikal.

Bezel skrin yang agak tebal juga amat menyerupai sebuah iPhone. Rekaan “dahi” dan “dagu” peranti yang agak besar ini sebenarnya sudah agak ketinggalan. Sedikit mengejutkan Google menghasilkan peranti pertama dengan penjenamaan “Made by Google” tetapi kelihatan seperti di pinjam dari Palo Alto.

Pengimbas cap jari pada panel belakang membuatkan panel hadapan kelihatan lebih kemas berbanding HTC 10. Lokasi pengimbas cap jari di belakang ini juga memudahkan proses menyahkunci dengan sebelah tangan.

Pada bahagian sisi pula ia bersegi seperti sebuah HTC. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Butang kuasa mempunyai tekstur kasar bagi memudahkannya dibezakan dari butang suara pada waktu malam.

Pada sisi bertentangan hanya terdapat talam untuk SIM bersaiz nano. Bergerak ke bawah terdapat slot pengecasan USB-C dan pembesar suara. Tidak seperti Lenovo dan Apple, Google mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5 mm yang terletak di bahagian atas.

Walaupun mempunyai saiz yang agak besar, peranti ini terasa agak ringan jika dibandingkan dengan peranti utama lain dengan saiz sama. Bergantung kepada pengguna ini boleh dianggap positif ataupun negatif. Kami sebenarnya lebih menggemari peranti utama yang sedikit berat kerana terasa lebih premium.

Panel belakang dengan dua bahan binaan berbeza adalah sedikit unik. Pada Nexus 6P ia terlebih dahulu dilakukan tetapi panel kaca pada peranti ini adalah kecil berbanding pada Pixel XL. Dengan penggunaan bahan logam sekurang-kurangnya ia mengurangkan masalah memerangkap cap jari. Apa yang kami sukakan pada Pixel XL ialah lensa kamera tidak terkeluar dari tubuh. Ini memudahkan ia diletakkan di atas meja tanpa risau lensa akan tercalar seperti pada HTC 10 dan iPhone 7 Plus.

Google Pixel XL ialah sebuah peranti yang mempunyai rekaan yang kemas. Tetapi kami akan berbohong sekiranya kami mengatakan ia mempunyai rekaan yang menarik. Pengeluar lain seperti Samsung sudahpun menggunakan skrin lengkung. iPhone pula mempunyai sisi bulat yang meningkatkan keselesaan. Apabila diletakkan bersebelahan dua peranti di atas, rekaan Pixel XL adalah agak membosankan. Sisi dengan chamfer yang diambil dari HTC 10 membuatkannya sedikit tajam dan kurang selesa dipegang, Ini ialah percubaan pertama Google dan diharap pada model seterusnya kekurangan ini dapat diperbaiki.

Antaramuka

Pixel XL ialah peranti pertama menerima Android Nougat 7.1. Ramai yang terasa aneh apabila LG V20 menjadi peranti pertama menerima Android Nougat 7.0. Misteri terjawab kerana Pixel XL menggunakan pelancar baru Pixel Launcher yang baru serta fungsi pembantu realiti maya Google Assistant. Apakah pembaharuan pada Pixel Launcher berbanding Google Launcher sebelum ini?

Pertama sekali ialah tiada lagi butang khas untuk talam aplikasi. Ini digantikan dengan melakukan tatalan dari bawah ke atas skrin. Kesemua aplikasi terpasang anda dipaparkan dengan teratur. Tatalan senarai aplikasi hanya boleh dilakukan dari atas ke bawah seperti pada pelancar HTC Sense. Kami sudah terlalu biasa dengan melakukan tatalan ke sisi untuk melihat senarai aplikasi dan perubahan ini membuatkan kami terasa sedikit canggung pada awalnya. Tetapi penggunaan sistem tatalan ke atas ini sebenarnya jauh lebih mudah berbanding sistem butang sedia ada.

Seterusnya ialah sokongan menggunakan dua aplikasi secara serentak. Fungsi yang diperkenalkan pada Samsung Galaxy Note enam tahun yang lalu akhirnya muncul secara terbina pada Pixel XL. Pengguna perlu menekan butang multi tasking selama beberapa saat untuk melancarkan mod Split View ini. Pilihan aplikasi yang disokong bergantung kepada aplikasi apakah yang telah dilancarkan oleh pengguna. Ini amat berbeza dengan sistem senarai ikon aplikasi yang digunakan oleh Samsung. Kami merasakan sistem Multi Window Samsung adalah lebih berguna daripada sistem Split View setakat ini.

google-pixel-xl006

Fungsi paling menarik peranti Pixel pastinya pembantu maya Google Assistant. Ia eksklusif buat Pixel dan tidak akan disertakan di dalam kemas kini Android 7.1.1 untuk peranti Nexus. Pembantu maya dengan kecerdasan buatan ini akan memberikan jawapan yang lebih tepat mengikut konteks yang betul. Ia mampu mengenali objek di dalam gambar yang diambil menggunakan kamera. Ketika di Jepun salah satu cabaran yang diberikan ialah mengenalpasti nama bangunan dari gambar yang disertakan. Google Assistant dengan mudah memberikan jawapan yang dikehendaki.

Penggunaan pembantu maya pada peranti pintar masih lagi agak rendah. Dengan Google Assistant, Google berharap penggunaan akan meningkat dan meletakkan mereka di hadapan di dalam dunia pembangunan kecerdasan buatan.

Berikut ialah beberapa lagi fungsi tambahan yang disertakan pada Pixel XL

“3D Touch” – Seperti pada iPhone 6S dan 7, sesetengah ikon boleh ditekan untuk beberapa saat untuk memberikan pintasan pantas. Sebagai contoh tekan butang Chrome dan anda diberikan pilihan membuka tab baru ataupun tab incognito

Mentatal Talam Notifkasi Dengan Pengimbas Cap Jari – Seperti pada peranti Huawei, Pixel menyokong fungsi menatal talam aplikasi dengan menggunakan pengimbas cap jari.

Google Support – Sistem bantuan 24/7 membolehkan anda berhubung secara panggilan suara ataupun teks dengan Google bagi menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi dengan peranti

Night Light – Apabila diaktifkan ia mengurangkan keterangan skrin apabila digunakan pada waktu malam.

Daydream VR – Peranti pertama yang menyokong platform realiti maya Daydream yang dihasilkan oleh Google

Kemas Kini Pantas – Kerana ia peranti Google, kesemua kemas kini akan diterima paling pantas dengans sokongan sehingga dua tahun.

Pengecasan Pantas – Sistem pengecasan pantas USB-PD disokong.

Melancarkan Kamera Dengan Pantas – Melancarkan kamera dari skrin terkunci dengan pantas hanya dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali

Memilih Kamera Dengan Pergerakan Pergelangan Tangan – Mahu mengambil selfie? Putarkan pergelangan tangan dan kamera utama akan diubah kepada kamera hadapan. Tiada keperluan untuk menekan skrin. Putarkan pergelangan tangan sekali lagi untuk kembali ke kamera belakang.

google-pixel-xl-screen-1 google-pixel-xl-screen-2 google-pixel-xl-screen-3

 

Kesimpulan

Adakah ini peranti Android terbaik pernah dihasilkan? Dari segi rekaan ia masih lagi di belakang apa yang mampu dihasilkan oleh Samsung. DNA HTC 10 pada Pixel XL jelas kelihatan dengan bahagian sisi yang bersegi. Rekaan bezel yang tebal serta bahagian dagu serta dahi yang besar membuatkannya kelihatan seperti sebuah iPhone. Rekaan ala iPhone ini pada hemat kami sudah ketinggalan zaman. Bagi sebuah peranti yang melancarkan jenama “Made by Google” kami mengharapkan rekaan yang lebih terkini. Sesuai dengan imej Google sebagai pelopor teknologi masa hadapan.

Walaupun mempunyai saiz yang agak besar, peranti ini terasa sedikit ringan. Kami tidak tahu apakah pendapat anda mengenai peranti yang berat.Secara peribadi kami merasakan peranti utama dengan rekaan premium harus terasa sedikit berat seperti yang kami alami setiap kali memegang iPhone 7 Plus dan S7 Edge. Rekaan kaca dan logam di bahagian panel belakang juga terasa sedikit aneh dari segi estetik. Tetapi estetik ini subjektif, mungkin ada yang merasakan rekaan ini berlainan dan membuatkannya menarik untuk dimiliki.

google-pixel-xl-006

Kelebihan Pixel XL terletak sepenuhnya pada perisian Android Nougat 7.1 dan sistem pembantu maya Google Assistant. Peranti ini memang terasa cukup pantas berbanding kesemua peranti Android utama yang kami ulas sepanjang 2016. Mungkin terasa sedikit lebih pantas dari iPhone 7 Plus yang baru sahaja diulas bulan lalu. Penukaran aplikasi berlaku sekelip mata. Paling penting akhirnya fungsi menggunakan dua aplikasi serentak dengan sistem split screen akhirnya disokong. Ini memaksimumkan penggunaan skrin yang besar.

Secara ikhlas kami terasa sedikit kecewa dengan Pixel XL. Rekaannya ketinggalan zaman dan kurang inovatif jika dibandingkan dengan pesaing. Kekuatan Pixel XL dikatakan terletak pada kamera tetapi kami tidak sempat mencubanya dalam pelbagai situasi untuk memberikan pendapat yang adil. Dari segi sistem operasi ianya peranti Android terpantas pernah kami cuba. Masalahnya ialah fungsi tambahan berbentuk pembantu maya mungkin tidak digunakan oleh kesemua pengguna. Kami menanti pelancaran Pixel dan Pixel XL di Malaysia untuk mengulas peranti ini secara penuh.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd