Carian
Pandang Pertama : Samsung Gear S3
December 1, 2016 Effi Saharudin

gear-s3-002Jumlah jualan peranti boleh pakai merudum pada tahun ini sehingga memaksa Google menangguhkan kemas kini Android Wear mereka. Pengeluar juga tidak menghasilkan model terkini untuk jam tangan pintar mereka tahun ini. Samsung masih belum berpatah arang dan melancarkan Gear S3 di IFA September lalu. Jam tangan pintar yang menggunakan sistem operasi Tizen ini akan dilancarkan di Malaysia minggu hadapan. Ini ialah pandang pertama kami untuk Samsung Gear S3 Frontier.

Spesifikasi

Samsung Gear S3
Skrin 1.3″ SAMOLED 360 x 360 Pixel
Pemproses 1 GHz Dua Teras Exynos 7270
Cip Grafik Mali T-720
RAM 768 Megabyte
Muatan Dalaman 4 Gigabyte
Kamera Utama Tiada
Kamera Depan Tiada
Kalis Air IP 68 , MIL-STD 810G
Bateri 380 mAh (Pengecasan Tanpa Wayar)
SIM/Telefoni Tiada/ Panggilan Melalui Tambatan Bluetooth
Sensor Pengimbas Nadi, GPS, Barometer,

Girometer,Accelerometer

NFC Ya
Infra Merah Tiada

Spesifikasi jam tangan pintar ini tidak menunjukkan peningkatan yang mendadak berbanding Gear S2 tahun lalu. Perubahan drastik dilakukan pada rekaan luar. Gear S3 Frontier yang kami ulas nampak lebih ranggi, tahan lasak dan agresif. Ia kelihatan seperti jam tangan biasa apabila dibandingkan dengan Gear S2 yang lebih menyerupai sebuah jam tangan mainan.

Skrin sesentuh SAMOLED lebih besar 1.3″ digunakan dengan resolusi 360×360 pixel. Tahun lalu skrin hanya sebesar 1.2″. Kaca Corning Glass SR+ digunakan bagi memastikan ia tahan calar dan pecah ketika digunakan.

Skrin ini menyokong paparan Always On Display. Skrin akan menjadi sedikit malap apabila ia aktif tetapi masih menunjukkan muka jam. Ia akan menyala semula apabila mengesan pergerakan tangan. Ini memberikan Gear S3 fungsi setanding Always On yang digunakan pada peranti Android Wear seperti Moto 360 2015.

Pemproses Exynos 7270 dipadankan dengan RAM sebesar 786 Megabyte dan storan 4 Gigabyte. Storan ini adalah bagi memasang aplikasi dan menyimpan fail muzik MP3. Pada hari pertama, lebih 2 Gigabyte telah digunakan untuk fail sistem jadi pengguna hanya mempunyai sekitar 1.5 Gigabyte storan yang boleh digunakan.

Bateri 380 mAh digunakan dan ini merupakan peningkatan berbanding 250 mAh pada Gear S2. Sistem pengecasan tanpa wayar dengan tempat pengecasan khas dikekalkan. Saiz pengecas juga meningkat jika dibandingkan dengan model tahun lalu. Sambungan kepada pengecas mengekal port MikroUSB.

Tahun ini ia dilengkapi sistem NFC untuk pembayaran Samsung Pay, GPS, Barometer, Girometer, dan Accelerometer Bagi yang mahu menjejak kesihatan, pengimbas nadi optikal terletak pada bahagian panel bawah jam.

Sokongan panggilan suara dikembalikan. Apabila ditambat kepada jam tangan pintar, panggilan boleh dilakukan dan diterima terus dari Gear S3. Bagi yang mahu mendengar muzik,  sebuah pemain muzik terbina juga disertakan.

Rekabentuk

gear-s3-montage-1Rekabentuk jam yang lebih ranggi, tahan lasak dan agresif sesuai dengan nama Frontier yang mensasarkan golongan yang gemar melakukan aktiviti luar. Dua butang pada sisi kanan digunakan sebagai butang home merangkap butang kuasa dan butang back seperti pada peranti Android biasa.

Kedua-dua butang diperbuat daripada logam dengan tekstur kasar bagi memudahkan ia dibezakan dari tubuh Stainless Steel peranti yang licin.

Sistem bezel berputar digunakan untuk melakukan navigasi pada antaramuka Tizen. Dengan sistem ini pengguna tidak perlu sentiasa menyentuh bahagian skrin sekaligus mengurangkan kekotoran.

Tahun lalu perkara yang mengecewakan mengenai Gear S2 ialah roda bezel yang terasa agak longgar. Tahun ini perkara yang sama berulang. Kelonggaran ini sedikit sebanyak mencacatkan ke-premium-an yang cuba diketengahkan oleh Samsung.

Tahun ini perubahan besar turut dilakukan pada tali jam. Sebarang tali jam 22 mm boleh digunakan oleh pemilik sekiranya tali jam yang diperbuat daripada silikon tidak memenuhi citarasa mereka.

Dengan setiap pembelian, dua saiz tali jam silikon disertakan. Tali jam yang disertakan selesa untuk dipakai dan agak tebal. Ini diharap dapat menyelesaikan masalah tali jam yang terlalu mudah putus pada Gear S2.

Kerana rekaannya yang lebih besar dan ranggi, Gear S3 juga jauh lebih berat. Ini kami rasakan membuatkan Gear S3 akan lebih menarik minat kaum lelaki berbanding wanita.

Antaramuka

Gear S3 menggunakan sistem operasi Tizen Wearable 2.3.2. Dari segi rupa ia tidak membawa sebarang perubahan berbanding yang digunakan pada Gear S2. Melayari antaramuka jam tangan pintar ini agak mudah. Butang home ditekan untuk melihat senarai kesemua aplikasi terpasang. Bezel diputar bagi bagi memilih aplikasi yang dimahukan. Tekan skrin untuk membuka aplikasi. Sekiranya mahu pulang semula ke pilihan aplikasi, tekan butang back yang berada di atas butang home.

Menukar muka jam dilakukan dengan menekan skrin. Gunakan bezel sekali lagi untuk memilih muka jam yang diingini. Sebanyak 15 muka jam disertakan dan berpuluh lagi boleh dimuat turun menerusi Galaxy Apps Store.

Dari muka jam, putaran bezel melawan arah jam akan menunjukkan kesemua notifikasi dari peranti pintar. Pengguna mempunyai pilihan membaca mesej terus dari skrin jam atau membukanya pada peranti pintar. Putaran mengikut arah jam muka mengakses fungsi widget. Antara widget yang disertakan ialah untuk jumlah langkah, cuaca semasa, kalori dibakar, kalendar peringatan acara, melakukan panggilan telefon dan juga skrin kawalan pemain muzik. Aturan paparan widget boleh diubah terus dari Gear S3 atau menggunakan aplikasi Samsung Gear.

Aplikasi Samsung Gear telah dikemaskini bagi memudahkan lagi melihat maklumat yang diperlukan. Ia akhirnya menunjukkan tahap bateri serta anggaran hayat peranti, ruangan storan dan penggunaan RAM. Melakukan kustomasi muka jam juga jauh lebih mudah menerusi aplikasi ini.

Bercakap tentang aplikasi kekurangan tahun lalu masih tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Sokongan aplikasi pada platform Tizen Wearable masih lagi rendah jika dibandingkan dengan WatchOS dan Android Wear.

 

gear-s3-screen-1 gear-s3-screen-2 gear-s3-screen-3

 

Kesimpulan

Samsung nampaknya mendengar rungutan pengguna mengenai Gear S2. Dengan Gear S3 rekaan seakan jam tangan mainan digantikan dengan rekaan klasik jam analog mewah. Ia juga lebih besar, tahan lasak dan kelihatan agresif. Sistem butang dan bezel berputar dikekalkan. Kami secara peribadi merasakan sistem yang digunapakai Samsung ini adalah yang paling mesra pengguna pasaran. Pengguna tidak perlu selalu menyentuh skrin sehingga mengotorkan muka jam. Sekiranya kotor sekalipuan Gear S3 adalah kalis air IP68 dan pemilik tidak perlu risau ia akan mengalami kerosakan.

gear-s3-001Tetapi Tizen Wearable OS 2.3.2 masih mempunyai kekurangan dari segi aplikasi jika dibandingkan dengan Watch OS. Majoriti aplikasi yang ditawarkan adalah aplikasi muka jam. Aplikasi terpasang sedia ada adalah lebih dari mencukupi untuk melihat notifikasi pelbagai aplikasi serta menjejak kesihatan pengguna. Antaramuka juga tiada perbezaan berbanding tahun lalu. Sekiranya anda tidak sukakan Tizen Wearable OS sebelum ini, Gear S3 tidak akan mengubah pendapat anda tentang platform peranti boleh pakai Samsung ini.

Setakat ini kami menggemari apa yang kami lihat. Gear S3 mudah dan selesa digunakan. Antarmuka mudah difahami dengan sistem navigasi mesra pengguna. Tiada masalah sela masa seperti yang kami temui pada Android Wear.  Nantikan ulasan penuh Samsung Gear S3 dalam masa beberapa minggu dari sekarang.

Komen