Cari @ Amanz

Moto 360 20160314_113218Pejam celik kita sudah memasuki generasi kedua jam tangan pintar Android Wear. Motorola Moto 360 2015 ialah salah satu daripada beberapa jam tangan pintar generasi kedua yang kini boleh dimiliki pengguna tempatan. Dari segi rekaan perubahan tidak banyak kelihatan. Spesifikasi juga lebih kurang sama dengan edisi 2014. Adakah ini sudah mencukupi untuk membuatkan anda perlu memiliki jam tangan pintar ini?

Spesifikasi

Motorola Moto 360 2015
Skrin 1.37″ IPS LCD (263 PPI)
Pemproses 1.2 GHZ Empat Teras Snapdragon 400
RAM 512MB
Muatan Dalaman 4 Gigabyte
Bateri 300 mAh/ Tiada pengecasan pantas
SIM/Telefoni Tiada
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1399

Spesifikasi Moto 360 edisi 2015 ini tidak banyak berbeza dengan edisi tahun sebelumnya. Saiz skrin edisi biasa ialah sebesar 1.37″ IPS LCD dengan kepadatan pixel 263 PPI. Ini berkurangan dari 1.56″ yang digunakan pada versi sebelum ni. Kepada yang mahukan saiz skrin yang besar, Moto 360 edisi 46mm ialah model dengan saiz skrin 1.56″.

Rekaan “tayar pancit” pada bahagian bawah skrin dikekalkan kerana ia digunakan untuk meletak pengesan cahaya pada bahagian hadapan peranti. Motorola mengekalkan rekaan tayar pancit ini kerana mahu memastikan rekaan bazel jam tangan yang nipis. Jika diletakkan sebelah menyebelah, jelas kelihatan Gear S2 mempunyai bazel yang lebih tebal berbanding Moto 360.

Pemproses Snapdragon 400 empat teras digunakan kali ini berbanding TI Omap. Saiz RAM dan muatan dalaman masih sama iaitu 512 Megabyte dan 4 Gigabyte. Saiz bateri pula ialah 300 mAh berbanding 350 mAh pada versi sebelum ini. Jelas sekali perbezaan di antara model lama dan baru adalah amat kecil.

Rekaan

Spesifikasi mungkin tidak mengalami perubahan mendadak tetapi berbeza pula pada rekaan peranti. Tubuh jam masih lagi diperbuat daripada logam dengan penyambung tali terletak di luar tubuh jam. Ini adalah kerana Moto 360 2016 menyokong sistem penggantian tali yang pantas. Tali boleh ditanggalkan dengan menggerakkan sebuah laras kecil pada bahagian ia bersambung dengan tubuh jam. Ini berbeza dengan sistem tali sebelum ini memerlukan besi pengikat dikupil dengan alat khas. Tali jam biasa juga boleh digunakan bagi menggantikan tali jam yang sudah rosak. Tiada lagi keperluan membeli tali rekaan khas dari Motorola.

Rekaan penyambung yang terbuka ini juga membuatkan Moto 360 2015 kelihatan lebih menyerupai sebuah jam tangan biasa. Kepada mereka yang kurang menggemari rekaan jam yang agak futuristik Samsung Gear S2 dan Apple Watch, rekaan lebih tradisional ini Moto 360 pastinya akan lebih sesuai dengan citarasa anda. Jam yang kami ulas dilengkapi tali yang diperbuat daripada kulit. Ianya lembut dan selesa dipakai sepanjang hari jika dibandingkan dengan tali silikon.

Motorola ada menjual tali tambahan yang diperbuat daripada logam dan silikon sekiranya anda tidak menggemari tali kulit. Bercakap tentang tali kulit ini, kami menyedari ia mudah berkedut dan rosak. Dalam tempoh hanya dua hari selepas dipakai, kedutan pada tali sudah jelas kelihatan. Ini sedikit sebanyak merosakkan estetik jam ketika dipakai.

Pada sisi sebelah kanan terdapat butang kuasa bagi menghidup atau mematikan jam. Terdapat logo “M” Motorola terukir pada butang ini. Pada bahagian bawah pula terdapat pengimbas nadi.

Android Wear

Sistem operasi Android Wear 1.03 disertakan tetapi kemas kini Android Wear 1.04 sudah boleh dimuat turun pada hari pelancarannya di Malaysia. Dengan Android Wear 1.04, fungsi mengesan pergerakan pergelangan tangan disertakan. Pengguna boleh membaca paparan notifikasi tanpa menyentuh skrin peranti. Memusingkan pergelangan tangan ke atas akan memaparkan notifikasi seterusnya. Memusingkan pergelangan tangan ke bawah pula akan memaparkan notifikasi sebelumnya. Dari apa yang dipaparkan pada skrin, pengguna boleh menggerakkan tangan ke bawa untuk membaca notifikasi. Ini adalah sama seperti menyentuh skrin.

Jam tangan pintar ini boleh digunakan peranti yang menggunakan sekurang-kurangnya Android 4.3 dan iOS 8.2. Sepanjang tempoh ulasan kami berjaya menambat Moto 360 kepada kesemua peranti Android dan iOS yang kami miliki tanpa sebarang masalah. Proses menambat juga pantas dengan hanya memerlukan kami memuat turun aplikasi Android Wear. Ini berbeza dari proses memuat turun aplikasi Samsung Gear Manager yang sedikit melecehkan.

Moto-360-2015-UI-1

Penggunaan

Penggunaan jam tangan pintar ini adalah agak mudah. Tatalan atas dan ke bawah digunakan untuk membaca kesemua notikasi dan peringatan yang dipaparkan pada skrin. Untuk membaca pengguna perlu mentatal ke kiri dan beberapa pilihan lain boleh dipilih. Untuk menghilangkan notifkasi, tatalan ke kanan dilakukan. Apabila notifikasi sudah dibaca pada Moto 360, ia tidak lagi muncul pada peranti pintar anda. Setiap notifikasi diterima akan disertai dengan gegaran pada peranti. Gegaran adalah sederhana dan tidak terlalu mengganggu.

Untuk mengubah muka jam pengguna perlu menyentuh skrin selama beberapa saat. Kemudian pilihan muka jam akan dipaparkan pada skrin. Hampir kesemua muka jam boleh diubah mengikut keperluan pengguna. Pilihan yang diberikan ialah warna latar belakang, warna paparan nombor dan juga mengaktifkan tarikh. Muka jam juga boleh diubah dengan lebih pantas menerusi aplikasi Android Wear ataupun Motorola Connect.

Kerana menggunakan platform Android, pengguna tidak perlu risau untuk mendapatkan aplikasi untuk jam tangan pintar ini. Jumlah aplikasi yang boleh dimuat turun adalah jauh lebih banyak berbanding yang kami temui pada platform Tizen. Ini ialah kelebihan kedua Android Wear berbanding Tizen yang digunakan pada Gear S2.

Moto-360-2015-FACES-2

Tetapi kelebihan terhenti di sini sahaja. Kami menyedari antaramuka Moto 360 2015 ini tidak selancar seperti yang kami temui pada Gear S2. Tatalan kadang kala tidak lancar dan skrin menjadi tidak responsif terutamanya apabila peranti menerima banyak notifikasi. Untuk melihat kesemua aplikasi terpasang juga tidak semudah pada Gear S2. Pada Gear S2 senarai aplikasi terpasang dengan mudah diakses dengan menekan butang Home untuk seketika dan 8 aplikasi akan kelihatan. Sistem roda pada bazel juga mempercepatkan proses mencari aplikasi berbanding mentatal pada Moto 360.

Dua butang fizikal home dan back pada Gear S2 juga mempercepatkan proses menggunakan peranti. Moto 360 hanya mempunyai satu butang yang digunakan untuk mengembalikan pengguna kepada muka depan. Bandingkan ini dengan butang back fizikal pada Gear S2 yang membolehkan pengguna kembali satu langkah ke belakang dari skrin yang dipaparkan. Pada pendapat kami Gear S2 dengan Tizen lebih mesra pengguna berbanding Moto 360 dengan Android Wear buat masa ini.

Seperkara lagi yang ingin kami sentuh ialah tentang skrin. Moto 360 2015 menggunakan teknologi paparan sentiasa aktif. Skrin paparan berwarna akan berubah kepada paparan hitam putih selepas beberapa saat. Waktu akan sentiasa terpapar pada muka jam tetapi menggunakan tenaga yang rendah. Dengan sistem “Always On” ini tiada masalah muka jam lambat diaktifkan dan pemakai harus menunggu skrin menyala untuk mengetahui waktu.

Satu-satunya perkara negatif yang boleh kami katakan mengenai skrin Moto 360 2015 ialah ia sukar dibaca di bawah cahaya matahari yang terang. Pada tetapan skrin paling terang sekalipun kami perlu menutup skrin dengan telapak tangan bagi membolehkan kami melihat paparan skrin. Ini ialah kelemahan menggunakan skrin dari keluarga LCD.

Telefoni Dan SMS

Android Wear 1.04 mengaktifkan fungsi panggilan telefon tetapi Moto 360 tidak menyokong fungsi ini kerana tidak dilengkapi pembesar suara. Apabila panggilan diterima peranti akan bergetar dan notifkasi akan terpapar  Panggilan hanya boleh dijawab pada peranti mudah alih pengguna. Khidmat pesanan ringkas pula boleh dijawab dengan menggunakan fungsi Google Now. Sepanjang tempoh ulasan kami mendapati sistem pengesanan suara Google Now untuk menaip pada jam tangan pintar ini tidak berfungsi dengan baik. Ia kerap gagal mengesan apa yang kami sebutkan.

Di dalam kes paling teruk, sistem Google Now tidak boleh dilancarkan walaupun kami bercakap dengan kuat pada jam. Tidak seperti pada Gear S2, papan kekunci tidak disertakan bagi membolehkan pengguna menaip pada skrin Moto 360. Jadi bolehlah kami katakan fungsi menjawab SMS dan menghantar mesej WhatsApp pada Moto 360 tidak berfungsi seperti dengan baik.

Kustomasi

Sebanyak 17 muka jam disertakan pada peranti apabila ia dihidupkan untuk pertama kali. Pilihan adalah agak luas dengan rekaan klasik seakan jam sebenar, rekaan moden jam digital dan juga rekaan muka jam abstrak. Sekiranya anda mahukan lebih banyak muka jam, terdapat puluhan muka yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.  Kebanyakan muka jam yang menarik perlu dibeli. Rekaan percuma yang kami muat turun disokong oleh penggunaan iklan. Iklan ini akan muncul dengan agak kerap sehingga menjengkelkan.

Tips yang kami boleh berikan ialah membaca ulasan untuk setiap muka jam terlebih dahulu sebelum memuat turun. Pengguna yang telah mencuba kerap kali memberikan amaran sekiranya muka jam percuma yang ingin anda muat turun akan menyebabkan serangan iklan yang bertubi-tubi.

Moto-360-2015-FACES

Bateri & Pengecasan

Bateri  300 mAh disertakan dan ini menurut Motorola adalah lebih dari mencukupi untuk penggunaan sehingga 1.5 hari.  Ini adalah 50 mAh lebih kecil berbanding yang digunakan pada Moto 360 generasi pertama. Umum diketahui jam tangan pintar tersebut mempunyai hayat bateri yang kurang baik. Bagaimana pula dengan model terkini ini? Pada penggunaan berat dengan skrin aktif sepanjang masa, peranti berjaya bertahan sekitar 30 jam. Pada penggunaan lebih ringan dan  skrin tidak aktif sepanjang masa pula, peranti mampu bertahan selama hampir dua hari. Ini adalah lebih baik berbanding versi terdahulu. Ianya juga setanding dengan Samsung Gear S2 yang kami ulas sebelum ini.

 

Pengecasan dilakukan menerusi pengecas tanpa wayar. Masa pengecasan yang diambil ialah adalah hampir satu jam. Bagi sebuah bateri yang kecil, ini adalah tempoh pengecasan yang perlahan. Ini adalah masalah yang melanda kesemua jam tangan pintar di pasaran sekarang. Pengecas tanpa wayar yang disertakan mempunyai pendakap magnetik yang memastikan jam melekap kemas di dalamnya. Pengecas ini juga lebih besar berbanding yang digunakan pada Gear S2. Sepanjang tempoh mengecas muka jam akan menyala untuk menunjukkan peratusan pengecasan. Di dalam mod “dok” ini, pengguna boleh menetapkan warna muka jam yang dipaparkan menerusi aplikasi Motorola Connect.

Kesimpulan

Moto 360 2015 ialah generasi kedua jam tangan Android Wear di pasaran. Seperti pada tahun 2014 persoalan yang kerap didengari ialah adakah anda perlu memiliki sebuah jam tangan pintar? Sekiranya anda mahukan jam yang boleh memberikan notifikasi dari peranti, kerap mahu melihat tahap kesihatan dan mahukan jam yang mampu melakukan perkara yang tidak boleh dilakukan jam biasa, sekarang adalah masa yang baik untuk memilikinya.

Apakah perkara positif yang boleh kami katakan tentang Moto 360 2015? Pertama sekali rekaan model terkini ini diperbaiki dari rekaan asal. Ia kini boleh menggunakan tali jam biasa yang boleh dibeli di mana-mana kedai jam biasa. Perisian juga dipertingkat dengan penambahan fungsi baru. Paling penting sekali hayat bateri kini lebih bertahan lama. Pada penggunaan sederhana ia boleh bertahan selama dua hari walaupun kami menggunakan sistem skrin yang sentiasa aktif. Pada pengguna lebih intensif ia boleh mencecah sehingga 38 jam.

Moto 360 20160314_112827

Dengan kemas kini Android Wear 1.0.4, jam tangan ini juga boleh mengesan pergerakan pergelangan tangan bagi membolehkan anda berinteraksi dengan jam tanpa menyentuh skrin. Ini memudahkan pengguna membaca notifikasi ketika memandu ataupun menaip tanpa perlu berhenti terlebih dahulu. Kerana penggunaan sistem operasi Android Wear, ia juga dengan mudah dipadankan dengan peranti Android dan juga iOS. Pilihan aplikasi yang boleh digunakan juga lebih besar berbanding yang kami lihat pada platform Tizen Samsung

Jam tangan ini juga kelihatan seperti sebuah jam tangan biasa bukan sebuah jam yang kelihatan seperti peranti fiksyen sains. Ini adalah penting kerana beberapa rekaan jam tangan pintar lain yang kami ulas menggunakan bahan “moden” yang tidak selesa digunakan. Contoh terbaik Samsung Galaxy Gear yang kami ulasan dahulu yang mempunyai tali yang keras kerana keperluan meletakkan modul kamera di dalamnya.

Kekurangan yang paling jelas ialah harga yang tidak sepadan dengan spesifikasi. Ia hanya dilengkapi pemproses Snapdragon 400, RAM sebesar 512 Megabyte dan muatan dalaman 4 Gigabyte tetapi harga jualan melebihi harga phablet Xiaomi Redmi Note 2 dengan spesifikasi lebih jauh tinggi. Kelemahan kedua ialah kemasan pada bahagian tali. Model yang kami ulas menggunakan tali kulit yang mula berkedut selepas dua hari digunakan. Kami ada beberapa jam tangan analog bertali kulit yang sudah berusia beberapa tahun tetapi tidak mengalami masalah ini.

Di pasaran sekarang ada beberapa jam tangan pintar yang boleh anda miliki. Sekiranya anda mahukan jam tangan pintar yang mempunyai rekaan yang premium, sokongan aplikasi yang baik, kemudahan menambat kepada peranti pintar (iOS dan Android) dan selepas dipakai,  Moto 360 boleh diletakkan di dalam senarai pendek anda.

Kelebihan Kekurangan
  • Kualiti binaan premium dan kemas
  • Android Wear memastikan terdapat banyak sokongan aplikasi.
  • Mudah ditambat kepada peranti Android ataupun iOS.
  • Menyokong tali jam biasa.
  • Hayat bateri yang baik.
  • Tali kulit yang disertakan mudah rosak.
  • Sela masa wujud dari masa ke semasa.
  • Pengecasan yang lambat walaupun bateri berkapasiti kecil.
  • Harga kurang kompetitif.

Skor-Moto-360-2015

 

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd