Cari @ Amanz

Samsung Gear S220151116_152831_001Jam tangan pintar semakin popular sejak tiga tahun kebelakangan ini. Jam pintar era moden pertama ialah Samsung Galaxy Gear yang dilancarkan serentak dengan Galaxy Note 3. Dengan penghasilan jam tangan ini kesemua pengeluar mula berlumba-lumba untuk menghasilkan jam tangan pintar mereka sendiri. Pasaran peranti boleh pakai dijangka akan mencecah nilai $13 Billion menjelang 2020. Tidak menghairankan pengeluar mahu mendominasi pasaran baru ini untuk keuntungan peribadi.

Agak mengejutkan sebenarnya penghasilan jam pintar bukanlah perkara baru. Ia mula menjadi popular kerana digunakan oleh watak komik Dick Tracy pada tahun 1946. Jam tangan pintar detektif popular ini mampu melakukan panggilan radio yang memudahkan beliau menangkap penjenayah. Beberapa jam tangan pintar fiksyen diperkenalkan di dalam siri The Jetson, Star Trek dan juga Knight Rider. Namun jam tangan pintar yang dijual secara komersial mula dijual pada dekad 80an dengan Seiko Data 2000. Jam tangan ini dilengkapi papan kekunci dan membolehkan pemindahan data ke sebuah komputer desktop. Ia hanya mampu menyimpan 2000 huruf dan angka pada satu-satu masa. Ia digunakan oleh pemilik untuk menyimpan nombor telefon secara digital.

Samsung Galaxy Gear S2 ialah model terkini jam tangan pintar dari Samsung. Jam tangan generasi ke empat ini adalah jam tangan pertama dari mereka yang menggunakan skrin berbentuk bulat. Adakah perubahan rekaan ini mampu memikat hati pengguna dan seterusnya menjadikan Samsung Gear S2 antara jam tangan pintar terbaik di pasaran sekarang? Untuk mengetahui jawapannya sila baca ulasan ini.

Spesifikasi

Samsung Gear S2
Skrin 1.2″ SAMOLED (302 PPI)
Pemproses 1 GHZ Dua Teras Exynos 3250
RAM 512MB
Muatan Dalaman 4 Gigabyte
Bateri 250 mAh/ Tiada pengecasan pantas
SIM/Telefoni Tiada
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1399

Setahun sudah berlalu sejak pertama kali kami menggunakan jam tangan pintar keluaran Samsung. Agak mengejutkan hanya dalam masa dua tahun Samsung kini sudah menghasilkan empat generasi jam tangan pintar yang menggunakan sistem operasi Android, Android Wear dan Tizen. Gear S2 meneruskan apa yang dilakukan pada Gear S dan mengekalkan sistem operasi Tizen.

Di dalam ulasan Samsung Galaxy Gear kami merungut hayat jam tangan ini terlalu pendek, tali jam yang tidak selesa, antaramuka kurang mesra pengguna dan ia tidak boleh ditambat kepada peranti bukan Galaxy. Tidak mengejutkan jualan jam tangan pintar ini tidak berapa memberangsangkan. Kekurangan teknologi pada waktu itu menjadikan peranti pelopor ini gagal memenuhi impian pengguna. Kami mahukan sebuah komputer mini pergelangan tangan seperti Pip Boy Fallout. Yang kami terima ialah jam tangan mahal dengan fungsi terhad dan hayat penggunaan terlalu pendek.Tidak melampau untuk mengatakan Galaxy Gear adalah produk yang gagal memenuhi kehendak majoriti pengguna.

Dengan Gear S2 kami mendapati hampir kesemua masalah ini dapat diselesaikan. Kali ini ia dilengkapi skrin bulat 1.2″ SAMOLED dengan resolusi 320×320 pixel. Diperkasakan pemproses 1GHz dua teras Exynos 3250, RAM sebesar 512 Megabyte dan muatan dalaman 4 Gigabyte.Tiada sokongan kamera tetapi peranti dilengkapi sistem Bluetooth 4.1, NFC, WiFi, pengimbas nadi, accelerometer, gyrometer dan barometer. Dari segi bateri pula ia dilengkapi bateri sebesar 250 mAh. Ia turut mempunyai ketahanan kalis air IP68. Sistem operasi Tizen dikekalkan penggunanya sama seperti pada Gear S asal.

Di atas kertas tiada perubahan yang besar dilakukan dari segi rekaan dalaman. Kesemuanya hampir serupa dengan Gear S tahun lalu. Perubahan kali ini lebih kepada rekaan luaran dari skrin gergasi empat segi kepada bulat dengan sistem kawalan bezel yang berputar.

Rekaan

Gear S2 ialah jam tangan pintar pertama Samsung dengan skrin bulat. Tidak seperti jam tangan pintar berskrin bulat yang lain, Gear S2 mempunyai sistem kawalan bezel yang berputar. Ini ialah jawapan Samsung kepada sistem punat berputar yang digunakan pada Apple Watch. Keseluruhan bazel berputar seperti roda untuk memudahkan anda mengakses aplikasi, menu dan juga melihat notifikasi pada peranti.

Peranti dibuat menggunakan gabungan bahan logam dan plastik. Tubuh diperbuat daripada logam aluminium manakala tali jam dan bazel berputar diperbuat daripada plastik. Dua pasang tali jam disertakan dengan pembelian Gear S2. Satu bersaiz besar dan satu lagi bersaiz kecil. Penukaran tali dilakukan sepuluh saat kerana anda hanya perlu menolak pengunci plastik di bahagian belakang peranti.

 

Pada bahagian kanan Gear S2 terdapat dua butang fizikal. Butang pertama yang lebih kecil adalah butang home yang mengembalikan anda kepada paparan jam dari mana-mana skrin. Butang kedua yang lebih besar berfungsi sebagai butang back untuk mengembalikan anda kepada menu sebelumnya. Pilihan pada skrin dilakukan dengan menyentuh skrin seperti menggunakan peranti pintar biasa.

Kami sudah menggunakan Gear S2 selama dua minggu dan kami merasakan ianya jam tangan pintar Samsung yang paling selesa pernah kami gunakan. Tiada masalah tali mencengkam kulit kerana terlalu keras seperti yang dialami pada Galaxy Gear. Ianya juga tidak terlalu berat sehingga menyukarkan kami untuk menaip. Seperti individu yang tidak berapa menggemari memakai jam tangan, kami cukup selesa dengan rekaan keseluruhan Gear S2.

Jika ada satu kekurangan yang ingin kami sentuh ialah dari segi rekaan bazel berputar. Bazel ini terasa agak longgar jika dibandingkan dengan Gear S2 Classic. Pada edisi Classic bazel berputar diperbuat daripada logam dan lebih tebal. Penggunaan bahan plastik dan binaan yang longgar ini membuatkan Gear S2 terasa kurang premium berbanding Gear S2 Classic. Ini membuatkan kami risau tentang ketahanan jangka panjangnya.

Tizen

Sistem operasi Tizen yang digunakan mempunyai rekaan antaramuka minimalis dan mudah difahami. Ketika kali pertama Gear S2 dipasang, anda perlu memuat turun aplikasi Gear Manager menerusi laman web khas. Aplikasi ini tidak boleh ditemui di Google Play Store. Menerusi laman khas ini anda akan mengetahui sama ada peranti anda disokong oleh Gear S2. Menurut Samsung, Gear S2 boleh digunakan oleh mana-mana peranti Android 4.2 keatas dengan RAM 1.5 Gigabyte. Ini adalah berbeza dengan jam tangan pintar mereka yang sebelum ini hanya boleh digunakan bersama peranti keluarga Galaxy sahaja.

Kami menggunakan sebuah Galaxy S6 Edge+ sepanjang tempoh ulasan. Ia berfungsi dengan cukup baik sekali tanpa sebarang masalah. Tetapi apabila kami cuba menggunakan Gear S2 dengan peranti Xiaomi, Sony, Asus dan HTC yang kami miliki kami diberitahu aplikasi Gear Manager tidak menyokong peranti yang kami miliki. Sokongan untuk iOS hanya akan dilakukan pada penghujung 2015. Ketidakserasian aplikasi Gear Manager untuk digunakan oleh peranti keluaran pengeluar lain adalah mengecewakan kerana ianya dijanjikan oleh pihak Samsung ketika ianya diperlihatkan September lalu. Pada majlis pelancarannya semalam, mereka berjanji akan memberikan senarai penuh peranti Android yang boleh menggunakan Gear S2. Kami rasakan senarai ini sepatutnya dikeluarkan sebelum peranti dilancarkan di Malaysia.

Gear-S2-Gear-Manager-1

Penggunaan

Sekiranya peranti anda disokong, Gear Manager akan menjadi hub anda boleh mengawal Gear S2 anda. Terdapat pelbagai tetapan boleh dilakukan menerusi aplikasi ini. Penukaran muka jam, tetapan notifikasi dan fungsi mencari Gear S2 ialah antara tetapan yang diberikan. Rekaan antaramuka aplikasi mudah difahami dan tidak mendatangkan sebarang masalah. Kami mendapati majoriti notifikasi untuk aplikasi popular seperti Twitter, Facebook. WhatsApp dan GMail disokong. Kesemua tetapan yang kami katakan tadi turut boleh dilakukan menerusi Gear S2.

Jadi bagaimanakah anda menggunakan Gear S2? Kesemua notifikasi pada jam boleh dibaca dengan memusingkan bazel melawan arah jam ataupun melakukan tatalan skrin ke kiri. Untuk mengakses tetapan peranti dan aplikasi terpasang pula bazel diputarkan mengikut arah jam ataupun tatalan ke kanan. Tatalan dari atas ke bawah pula akan memperlihatkan status bateri, sambungan Bluetooth, tetapan keterangan skrin dan juga tahap bunyi Gear S2. Skrin akan terpasang secara automatik apabila pergelangan tangan diputarkan dengan pantas. Skrin akan terpadam dengan sendiri selepas beberapa saat ataupun dengan menutupnya dengan telapak tangan.

Rekaan antaramuka adalah amat mudah difahami dan cukup mesra pengguna. Ianya tidak memerlukan masa yang lama untuk dipelajari. Apabila notifikasi diterima pada telefon pintar, ia serta merta muncul pada Gear S2 kurang sesaat selepas itu. Jadi dari pengalaman penggunaan setakat ini kami tidak lagi menemui sebarang masalah.

Gear-S2-UI-1 Gear-S2-UI-2 Gear-S2-UI-3

Telefoni Dan SMS

Gear S2 tidak menyokong panggilan telefon secara terus. Apabila panggilan diterima, notifikasi panggilan akan terpapar pada muka jam. Anda kemudian boleh menekan butang menjawab panggilan pada skrin tetapi anda masih perlu bercakap menggunakan peranti pintar yang ditambat. Tiada sokongan menggunakan Gear S2 sebagai gagang telefon seperti pada Galaxy Gear suatu ketika dahulu.

Sokongan SMS wujud pada Gear S2 tetapi adalah sukar untuk menaip mesej menggunakan papan kekunci T9 yang disertakan. Saiz kekunci terlalu kecil dan setelah sekian lama tidak menggunakan kekunci T9 masa diambil untuk menulis SMS adalah agak lama.Sekiranya anda mahu membalas menggunakan emoji, papan kekunci khas hanya memaparkan emoji. Menaip menggunakan S Voice juga boleh anda lakukan tetapi mesej yang ditaip kerap kali berlainan dari apa yang diucapkan kerana perisian pengenalan suara yang masih belum sempurna.

Cara terbaik membalas SMS menggunakan Gear S2 ialah dengan menggunakan mesej yang sudah di pra-tulis. Mesej pra-tulis perlu dikarang terlebih dahulu menggunakan aplikasi Gear Manager. Kesemua mesej yang telah disimpan kemudian boleh diakses pada Gear S2 apabila diperlukan. Secara keseluruhan fungsi SMS dan Telefoni pada Gear S2 adakah tidak mesra pengguna. Ini adalah fungsi yang jarang kami gunakan kerana terlalu leceh.

Gear-S2-SMS-Phone

Kustomasi

Sebanyak 13 muka jam disertakan pertama kali peranti dihidupkan. Rekaan yang diberikan adalah terdiri daripada rekaan seakan jam analog klasik dan juga rekaan digital moden. Lebih banyak muka jam boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Gear Manager. Beberapa muka jam yang disertakan mempunyai pilihan untuk mengubah tetapan warna, reka huruf dan paparan tarikh.

Gear-S2-Watch-Face-1

Aplikasi Pihak Ketiga

Dua sistem operasi jam tangan yang popular sekarang ialah WatchOS dan Android Wear. Sokongan aplikasi dari pihak ketiga pada sistem operasi ini amat menggalakkan. Perkara yang sama tidak boleh kami katakan mengenai Tizen pada Gear S2. Jumlah aplikasi popular yang boleh dijalankan secara terus pada jam tangan pintar ini terlalu sedikit. Boleh dikatakan 80% aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Galaxy Apps adalah aplikasi muka jam dan jam randik. Selebihnya adalah aplikasi kurang berguna dengan markah ulasan yang rendah. Tambah menyedihkan apabila pencarian dilakukan menggunakan kategori, aplikasi tidak disenaraikan dengan betul. Sebagai contoh apabila carian aplikasi media sosial dilakukan, carian teratas memaparkan muka jam yang tiada kena mengena langsung dengan media sosial. Sokongan untuk Tizen adalah sangat kecil dan dengan rekaan skrin bulat Gear S2, jumlah aplikasi yang boleh digunakan pada jam tangan pintar ini semakin kecil. Jika Samsung mahu terus menggunakan Tizen sebagai sistem operasi jam tangan pintar, mereka harus meningkatkan pembangunan aplikasi yang lebih baik, berguna dan disenaraikan dengan lebih sistematik.

Gear-S2-Galaxy-Shop

Bateri & Pengecasan

Bateri 250 mAh yang digunakan adalah agak kecil namun ini ialah saiz piawai kebanyakan jam tangan pintar di pasaran. Samsung menjanjikan penggunaan sehingga dua hari. Pada penggunaan berat dengan kesemua notifikasi dihantar pada peranti kami berjaya mendapatkan hayat penggunaan sehingga 41 jam. Pada penggunaan paling ringan pula ia bertahan hampir tiga hari. Ini kami rasakan adalah hayat bateri yang baik bagi sebuah jam tangan pintar dengan skrin sesentuh berwarna.

Pengecasan dilakukan menerusi pengecas tanpa wayar magnetik. Masa pengecasan adalah hampir satu jam dan boleh dianggap perlahan. Ketika peranti dicas paparan skrin akan berputar 90 darjah dan ini membuatkannya kelihatan seperti sebuah jam meja. Sistem pengecasan yang digunakan adalah kecil dan mudah dibawa kemana-mana. Ini berbeza dengan pengecas Galaxy Gear, Gear 2 dan Gear Neo  yang diperbuat daripada plastik yang kelihatan amat rapuh.

Kesimpulan

Samsung Gear S2 ialah jam tangan pintar pertama yang berjaya menambat hati kami. Sepanjang tiga minggu penggunaan ia berfungsi dengan cukup baik tanpa sebarang masalah. Jika dibandingkan dengan Galaxy Gear yang kami gunakan beberapa tahun yang lalu, perbezaannya adalah seperti langit dan bumi. Antaramuka peranti amat mudah digunakan dan dipelajari tanpa memerlukan kami membaca manual. Sistem beroperasi dengan lancar dan notifikasi dihantar dengan pantas. Penggunaan bazel berputar mempercepatkan proses navigasi. Kesemua fungsi asas yang disertakan dari kotak adalah cukup baik tanpa anda perlu memuat turun aplikasi tambahan. Kepada yang mahu mengesan tahap kesihatan, Gear S2 dengan mudah mengesan nadi anda sepanjang hari. Sekiranya anda malas bersenam, jam tangan pintar ini akan sentiasa mengingatkan anda untuk bersenam. Pendek kata sebagai sebuah jam pintar, Gear S2 berfungsi seperti yang diiklankan.

Paling menakjubkan bagi kami ialah hayat bateri yang mampu bertahan melangkaui dua hari. Pada penggunaan paling berat dengan kesemua notifikasi dipaparkan kami mampu menggunakannya selama 41 jam. Pada penggunaan paling ringan pula hampir tiga hari. Sistem pengecasan magnetik yang digunakan juga kompak.

Tetapi tidak semuanya indah. Produk generasi keempat ini masih dihantui masalah lama jam tangan pintar Samsung. Pertama sekali ia tidak boleh digunakan oleh kesemua peranti Android. Ini berlainan dari apa yang dijanjikan Samsung. Kami cuba menambatnya pada peranti Sony, Huawei,Oppo, HTC dan Xiaomi yang kami miliki. Apabila cuba dilakukan aplikasi Gear Manager yang mengawal sistem tambatan tidak boleh dimuat turun kerana dikatakan tidak sesuai digunakan. Sokongan untuk iOS pula hanya akan muncul pada penghujung tahun. Sokongan aplikasi pihak ketiga juga masih kecil jika dibandingkan pada platform Android Wear and WatchOS.

Masalah kedua ialah harga. Pada harga jualan RM1399 ianya adalah amat mahal bagi sebuah peranti pintar yang berspesifikasi lebih rendah dari sebuah Motorola Moto G. Moto G boleh dimiliki oleh anda hari ini pada harga di bawah RM900 sebuah. Jam tangan pintar pada tahun 2015 masih lagi jatuh di dalam kategori aksesori mewah.

Adakah GearS2 jam tang pintar yang harus anda miliki? Sekiranya anda sudahpun memiliki sebuah peranti Samsung Galaxy jawapannya ialah ya. Ianya jam tangan pintar paling sesuai dipadankan dengan peranti pintar yang anda gunakan sekarang. Sepanjang tempoh ulasan ia berfungsi dengan cukup baik sekali. Jika anda memiliki peranti pintar jenama lain pula anda perlu memeriksa terlebih dahulu sama ada S2 boleh digunakan dengan peranti ini. Gear S2 ialah jam tangan pintar terbaik yang pernah dihasilkan Samsung. Mereka hanya perlu memastikan jam tangan pintar ini menyokong lebih banyak peranti sebelum kami boleh katakan ianya juga tara jam tangan pintar terbaik di pasaran sekarang.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang selesa dan bahan binaan yang baik. Tidak mendatangkan sebarang kerengsaan kulit  tangan.
  • Sistem navigasi menggunakan bazel berputar amat mesra pengguna.
  • Perisian Tizen yang lancar digunakan serta mudah difahami.
  • Pelbagai fungsi asas berjalan dengan cukup lancar.
  • Hayat bateri yang baik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tidak menyokong kesemua peranti Android walaupun Samsung mengatakan ia boleh digunakan.
  • Harga yang masih mahal bagi sebuah peranti dengan spesifikasi rendah.
  • Sokongan aplikasi pihak ketiga masih rendah.

 

Skor-Samsung-Gear-S2

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd