Cari @ Amanz

Kemunculan Samsung Galaxy Note pada tahun 2011 pada awalnya menjadi bahan ketawa media teknologi barat. Gizmodo pernah mengatakan peranti dengan skrin bersaiz 5.3″ adalah terlalu besar untuk digunakan dengan selesa. Penggunaan stylus S-Pen pula dianggap ketinggalan zaman di zaman peranti dengan skrin sesentuh. Mendiang Steve Jobs sendiri pernah dipetik berkata sepuluh jari pada tangan manusia adalah lebih baik dari sebatang stylus.

Masa telah berubah dan peranti dengan skrin 5.5″ kini dianggap normal. Apple sendiri akur dengan permintaan pengguna dan menghasilkan “phablet” iPhone 6 Plus pada tahun 2014. Tahun lalu stylus Apple Pencil dihasilkan untuk iPad Pro. Jelas kehendak pengguna lebih berkuasa dari apa yang pernah diucapkan oleh wartawan teknologi dan Steve Jobs.

Apple mungkin akan menghasilkan iPhone Note di masa hadapan berdasarkan paten yang dianugerahkan kepada mereka baru-baru ini. Di dalam paten ini Apple Pencil digambarkan boleh digunakan pada iPhone dan MacBook. Pelan Apple untuk iPhone menyokong Pencil pada iPhone didedahkan sendiri oleh Tim Cook Ogos lalu.

Seperti di dalam artikel 7 Peranti Alternatif Kepada Galaxy Note 7 yang kami terbitkan beberapa bulan yang lalu, pengganti gantian terbaik masih lagi sebuah Galaxy Note 5. Tiada peranti berspesifikasi tinggi lain di pasaran yang memberikan fungsi unik yang dibawakan oleh peranti Note. Tidak mengejutkan masih terdapat 300 000 Note 7 yang masih belum dipulangkan kerana pengguna tidak mempunyai alternatif lain.

Dengan paten ini mungkin akhirnya Apple akan dapat menghasilkan peranti pesaing Note pada masa hadapan. Persoalannya ialah adakah peminat Apple akan menerima kewujudannya sedangkan ia berterbangan dengan prinsip rekaan Steve Jobs.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd