Xiaomi telah memperkenalkan Redmi Note 4 pada bulan Ogos yang lepas untuk pasaran China, yang mana hadirnya dengan cip Helio X20. Selepas beberapa bulan, hari ini Xiaomi mengumumkan peranti berkenaan untuk pasaran global, dan membawa perubahan kepada cip yang digunakan, iaitu Snapdragon 625.
Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan HD penuh, dilengkapi memori dalam pilihan antara 2GB RAM hingga 4GB RAM, serta ruangan storan antara 32GB atau 64GB. Ia menggunakan kamera belakang 13-megapixel CMOS dengan sokongan PDAF, kamera hadapan 5-megapixel, dan juga bateri berkapasiti 4100mAh.
Peranti ini turut menyertakan pengimbas cap jari dibelakang, selain menyertakan sokongan IR Blaster. Xiaomi mengatakan mereka bakal menawarkan MIUI 8 berasaskan Android Nougat untuknya tidak lama lagi.
Buat masa ini, ia hanya diumumkan untuk pasaran India sahaja, dan mungkin akan mengambil masa beberapa bulan sebelum memasuki pasaran Malaysia. Model dengan 2GB RAM + 32GB ditawarkan pada harga INR 9999 (~RM652), model 3GB RAM + 32GB pada harga INR 10999 (~RM717), dan model 4GB RAM + 64GB pada harga INR 12999 (~RM848).