Pos Malaysia Akan Memperkenalkan Peti Surat Digital Pada Pertengahan 2017 Ini

Pos Malaysia Akan Memperkenalkan Peti Surat Digital Pada Pertengahan 2017 Ini

Diterbitkan pada Jan 31, 2017 oleh .

Dengan perkembangan arena digital dan fokus kerajaan melalui Tahun Ekonomi Digital, pelbagai syarikat sedang melihat ke arena berkenaan. Pihak Pos Malaysia turut tidak ketinggalan dan sedia membuat pelaburan dalam pelbagai integrasi teknologi, dan untuk tahun 2017 ini, mereka berkongsi perancangan untuk memperkenalkan Peti Surat Digital.

Perancangan memperkenalkan Peti Surat Digital ini bukan sesuatu yang baru. Mereka telah mengumumkan perancangan untuknya pada 2013 lepas, dan mengatakan ingin memperkenalkan sekitar 2014. Tetapi, ia seperti tidak berlaku, dan kini melalui perkongsian Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Pos Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi & Mutltimedia Malaysia (SKMM) bakal memperkenalkannya pada pertengahan tahun 2017 ini.

Apakah ciri-ciri yang akan dibawakan olehnya masih menjadi tanda tanya. Daripada apa yang dikongsikan, ia secara kasar dilihat akan membolehkan pengguna menerima mel digital dalam tempoh kurang 24 jam, selain menerapkan pelbagai ciri-ciri keselamatan. Pos Malaysia sendiri merupakan pemilik Digicert, dan sekuriti dan keselamatan merupakan salah satu kepakaran mereka. Namun, bagaimanakah fungsi Peti Surat Digital ini masih menjadi tanda tanya.

Jikalau dilihat daripada perkongsian pihak Pos Malaysia pada 2013 yang lepas, perkhidmatan yang dipanggil “Peti Surat Digital” dikatakan mampu memudahkan pengguna membuat pembayaran bil secara atas-talian. Mungkin mereka akan bekerjasama dengan sejumlah pihak, memandangkan sebahagian daripada surat yang dihantar melibatkan bil dan juga penyata akaun. Berkemungkinan kita akan melihat suatu implementasi seumpama MyEG daripada pihak Pos Malaysia.

Di Australia, Australia Post telah memperkenalkan perkhidmatan yang dinamakan “MyPost Digital Mailbox”, yang membolehkan pengguna membuat pelbagai pembayaran, menyimpan dokumen penting, menerima mel komunikasi daripada mereka yang penting – selain memudahkan pengguna berhubung dengan pihak kerajaan dan pelbagai perniagaan di sana.

Apakah yang bakal ditawarkan oleh Pos Malaysia dan SKMM ini masih menjadi tanda tanya, dan mungkin terjawab pada suku kedua 2017 ini. Walaupun mempunyai peti surat digital ini, penghantaran mel seperti biasa melalui fizikal akan diteruskan oleh Pos Malaysia seperti biasa.


TIPS & ULASAN