Carian
Samsung Kekal Sebagai Pengeluar Peranti Peranti Nombor Satu Dunia Sepanjang 2016
February 1, 2017 Effi Saharudin

Samsung mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar peranti pintar nombor satu di dunia untuk tahun 2016 menurut angka yang dikongsi oleh Strategy Analytics. Tahun lalu Samsung berjaya menjual 309.4 Juta peranti. Ini adalah jauh di hadapan Apple di tangga kedua dengan 215.4 Juta peranti. Sungguhpun begitu pada suku ke-empat 2016, Apple menjual 78.3 Juta peranti berbanding Samsung yang menjual 77.5 Juta  peranti. Ketiadaan Samsung Note 7 di pasaran dipercayai menjadi sebab mengapa Apple berjaya memintas gergasi Korea Selatan ini pada suku yang lalu.

Huawei mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga dengan 138.8 Juta peranti diikuti Oppo (84.6 Juta) dan Vivo (71.9 Juta). Secara keseluruhan hampir 1.5 Billion peranti terjual sepanjang tahun lalu. Dari segi peratusan pasaran Samsung memegang 20.8% diikuti oleh Apple (14.5%), Huawei (9.3%), Oppo (5.7%) dan Vivo (4.8%).

Berita buruk bagi Samsung ialah mereka mencatatkan pengurangan sebanyak 10.3 Juta peranti tahun lalu. Nasib yang lebih buruk melanda Apple dengan pengurangan jualan sebanyak 16.1 Juta unit berbanding 2015. Dua kuasa besar pengeluaran peranti pintar ini akan terus menerima saingan dari pengeluar dari China. Jangan terkejut sekiranya Huawei akan berjaya memintas Apple seperti yang disasarkan mereka menjelang 2018.

Komen