(Ura Ura) iPhone Edisi Bersempena 10 Tahun Dijangka Berharga Melangkaui RM4500?

(Ura Ura) iPhone Edisi Bersempena 10 Tahun Dijangka Berharga Melangkaui RM4500?

Diterbitkan pada Feb 9, 2017 oleh .

Tahun 2017 ini adalah ulang tahun ke-10 sejak Apple memperkenalkan telefon pintar iPhone mereka, yang mana telah mengubah industri telefon pintar, mahupun syarikat berkenaan sendiri. Kini, iPhone menjana hampir 2/3 daripada syarikat mereka.

Terkini, Fast Company, melalui sumber-sumber dalaman mereka mengatakan bahawa iPhone 8 bakal menjadi iPhone yang termahal dalam sejarah peranti tersebut, dengan harga permulaan melangkaui $1000 (~RM4,500). Ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana saban tahun, harga iPhone memang sedikit meningkat – apatah lagi dengan edisi bersempena 10 tahun yang akan hadir kelak.

Yang menarik perhatian kami ialah ura-ura tentang spesifikasi telefon pintar edisi khas bersempena ulang-tahun 10 tahun berkenaan. Terutama sekali ialah skrin OLED 5.8 inci, yang khabarnya akan menawarkan rekaan dengan bingkai tepi sangat nipis – suatu konsep serupa seperti yang digunakan oleh Xiaomi dengan peranti Mi Mix. Ini sekaligus akan menawarkan kualiti paparan yang lebih berkali ganda berbanding penggunaan panel skrin biasa pada iPhone-iPhone sebelum ini.

Ia turut dikatakan Apple berada dalam proses mencari pembuat paparan OLED, dan buat masa ini, nampaknya hanya paparan Samsung menepati piawaian syarikat teknologi Amerika tersebut. Dari segi binaan, Apple dikatakan akan menggunakan bingkai berasaskan keluli, selain badan berasaskan kaca – lebih kurang seperti pernah hadir pada iPhone sebelum ini. Apple turut dijangka tidak menyertakan butang “Home” fizikal pada telefon pintar terbaru mereka kelak.

Dari segi harga sendiri, pada hari ini iPhone 7 Plus versi 256GB sendiri sedia dijual pada harga RM4799, maka tidak mustahil untuk kita melihat edisi khusus ditawarkan pada harga melangkaui daripadanya.

Disamping iPhone 8 ini atau mungkin turut dikenali iPhone X, Apple masih akan memperkenalkan versi biasa iPhone yang merupakan kemaskini untuk setiap tahun, iaitu berkemungkinan dipanggil iPhone 7S dan iPhone 7S Plus.

Walau apa pun, buat masa ini, semua ini adalah hanya ura-ura sahaja. Spesifikasi-spesifikasi ini boleh berubah bila-bila masa sahaja, dan kemungkinan besar banyak juga perubahan yang dapat kita lihat pada masa yang akan datang.

Apple dijangka memperkenalkan iPhone baru pada tahun ini sekitar bulan September atau Oktober.


TIPS & ULASAN