Cari @ Amanz

Kemunculan Xiaomi Mi Mix mengejutkan dunia peranti mudah alih. Rekaan futuristiknya sebelum ini hanya dilihat pada rekaan konsep tetapi Xiaomi berani menzahirkannya menjadi produk sebenar. Kombinasi skrin hampir tanpa bezel dan kerangka seramik membuatkannya kelihatan amat unik. Jauh berbeza dari rekaan standard majoriti peranti di pasaran. Adakah peranti konsep ini bakal menjadi ikutan pengeluar lain? Ulasan ini akan merungkai persoalan ini.

Spesifikasi

Xiaomi Mi Mix
Skrin 6.4″ IPS LCD 1080P (362 ppi)
Pemproses Snapdragon 821
Cip Grafik Adreno 530
RAM 4/6 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 128/256 Gigabyte
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, EIS, PDAF
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.0
Kalis Air Tidak
Bateri 4400 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1 / 3 / 4 / 5 / 7 / 8 / 38 / 39 / 40 / 41
NFC Ya
Infra Merah Tiada

Skrin gergasi IPS LCD sebesar 6.4″ digunakan dengan resolusi 1080P. Ini ialah saiz yang hampir sama dengan sebuah Mi Max. Sungguhpun begitu kerana rekaan bezel yang kecil dan ketiadaan bahagian dahi, peranti ini mempunyai saiz yang sama dengan sebuah iPhone 7 Plus yang dilengkapi skrin 5.5″.

Sedikit mengecewakan pihak Xiaomi menggunakan panel IPS LCD dengan resolusi 1080P sahaja. Bagi sebuah peranti konsep masa hadapan, kami berharap panel AMOLED dengan resolusi QHD digunakan. Paparan skrin masih lagi terang dan cantik walaupun menggunakan resolusi yang rendah. Di bawah cahaya matahari yang terang ia masih boleh dibaca.

Pemproses Snapdragon 821 dengan dua teras 2.5 GHz dan dua lagi teras 1.6 GHz dipadankan dengan RAM sebesar 4/6 Gigabyte bergantung kepada saiz storan. Storan yang diberikan ialah 128 dan 256 Gigabyte. Model yang diulas ialah versi biasa RAM 4 Gigabyte dan storan 128 Gigabyte. Tiada sokongan kad MikroSD disertakan seperti pada Mi Max.

Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0 dengan sistem penstabilan EIS. Kamera selfie pula hanya sebesar 5-Megapixel. Ia mampu merakam video pada resolusi 4K ataupun 1080P 30 FPS. Ketiadaan mood 1080P 60FPS adalah mengecewakan kerana pemproses Snapdragon 821 berkemampuan merakam pada kadar yang lebih tinggi ini.

Bercakap tentang kamera selfie, ia terletak pada bucu bawah sebelah kanan. Ini adalah lokasi yang aneh untuk kamera selfie tetapi terpaksa dilakukan kerana Mi Mix tidak mempunyai bahagian “dahi” seperti peranti lain.

Bateri sebesar 4400 mAh disertakan bagi membekalkan kuasa dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C. Namun pengecas yang disertakan tidak menyokong mod ini pengguna perlu membeli pengecas QC 3.0 mereka sendiri. Tiada sokongan pengecasan tanpa wayar disokong dan ketiadaannya sekali lagi membingungkan bagi sebuah peranti yang direka untuk “masa hadapan”.

Sistem NFC disokong tetapi tidak seperti Mi 5 dan Mi Max, sistem pemancar infra merah tidak disertakan. Berita baik bagi peminat fon kepala/telinga berwayar, sebuah bicu audio 3.5mm diletakkan pada bahagian atas peranti.

xiaomi-mi-mix002

 

Rekabentuk

xiaomi-mi-mix-montage-1Seperti kami katakan pada beberapa perenggan di atas, Mi Mix ialah peranti konsep masa masa hadapan. Untuk menghasilkan rekaan futuristik, pembesar suara yang terletak pada bahagian dagu tidak lagi wujud. Sistem pembesar suara piezoelektrik di dalam kerangka digunakan. Gegaran dari piezoelektrik akan menyampaikan gelombang bunyi kepada telinga pengguna.

Dalam penggunaan selama dua minggu sistem ini boleh kami kategorikan sebagai gagal. Mi Mix menyokong sistem VoLTE tetapi kualiti bunyi panggilan telefon yang dihasilkan oleh sistem piezoelektrik adalah mengecewakan. Pada tetapan audio tertinggi ia masih tidak cukup kuat. Suara pemanggil kedengaran seperti suara robot yang bercakap di belakang dinding nipis. Melakukan panggilan telefon di tempat awam adalah mustahil kerana sukar mendengar apa yang dicakapkan.

Kerangka seramik yang digunakan adalah amat menarik, eksotik dan sedap untuk dipegang. Ini membuatkan peranti teras agak berat tetapi premium. Mi Mix kami rasakan mempunyai bahan binaan dan kemasan kerangka paling menarik sepanjang 2016. Namun penggunaan seramik sebagai kerangka adalah amat tidak praktikal di dunia sebenar.

Ia terlalu licin untuk dipegang. Gabungan permukaan adi-licin dan peranti yang berat membuatkannya amat mudah terlucut dari genggaman. Sebuah kerangka kulit disertakan dengan setiap pembelian dan kami mengesyorkan ia digunakan sepanjang masa. Kerangka ini akan membuatkan Mi Mix lebih mudah dipegang, digunakan dan mengelakkannya dari mengalami kerosakan sekiranya terjatuh. Ia turut menghalang panel belakang berkilat dari dicemari cap jari.

Kami telahpun menunjukkan ujian jatuhan Mi Mix sebelum ini. Bahan seramik mungkin seksi dan cantik tetapi ia tidak mampu menahan hentakan seperti aluminium. Kepada yang mengidamkan dunia peranti pintar kesemuanya menggunakan seramik anda perlu melupakan impian anda. Buat masa ini seramik masih belum praktikal dan tahan lasak untuk penggunaan secara meluas.

Sisi kanan peranti diletakkan butang kuasa dan suara yang turut diperbuat daripada seramik. Anjalan dari kedua-butang ini adalah amat baik. Tiada masalah kelonggaran seperti yang ditemui pada peranti Xiaomi lain sebelum ini. Slot dwi-SIM bersaiz nano pula terletak pada sisi kiri. Ia dari jenis yang memerlukan jarum untuk dikeluarkan.

Di bahagian bawah terdapat sebuah pembesar suara mono. Dua kekisi audio diletakkan tetapi hanya kekisi kanan mempunyai pembesar suara. Sebuah slot pengecasan USB-C terletak diantara kedua-dua kekisi audio ini. Akhir sekali sebuah bicu audu 3.5mm terletak di bahagian atas peranti.

Bagi yang memerlukan pengimbas cap jari, ia terletak pada panel belakang dan berbentuk bulat. Bagi sebuah peranti yang bersaiz besar, kedudukan pengimbas pada bahagian bawah adalah paling ergonomik. Adalah amat mustahil untuk melakukan imbasan jari sekiranya Xiaomi meletakkannya pada bahagian dagu seperti sebuah iPhone.

 

Antaramuka

Android 6.0.1 Marshmallow digunakan dengan ataramuka MIUI 8. Harus diingatkan peranti hadir dengan MIUI 7 tetapi kemas kini boleh dilakukan sejurus selepas ia dikeluarkan daripada kotal. Antaramuka MIUI8 adalah minimalis dan mempunyai kombinasi warna enak mata memandang. Talam notifkasi sekarang memaparkan ramalan cuaca dan menggabungkan pintasan pantas dan notifkasi. Kepada yang mahukan rekaan lama yang memisahkan dua fungsi ini, terdapat pilihan untuk melakukannya menerusi skrin tetapan

Sebuah lagi perubahan ialah aplikasi kini boleh dikunci pada skrin multi tasking. Dengan menatal thumbnail aplikasi ke bawah, terdapat pilihan untuk mengunci peranti. Ini akan menghalangnya dari ditutup apabila butang mematikan semua aplikasi pada bahagian bawah skrin ditekan.

Seperti antaramuka dari China yang lain, MIUI tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi diletakkan pada muka hadapan skrin. Xiaomi tidak menyertakan kustomasi yang banyak dengan MIUI. Kustomasi paling ketara ialah Themes yang membenarkan pengguna mengubah antaramuka dan ikon yang digunakan. Terdapat puluhan tema boleh dimuat turun oleh pengguna. Seleksi yang diberikan adalah cukup besar dan pengguna pasti menemui tema yang menepati citarasa mereka.

Sokongan dwi-tap untuk mengaktifkan skrin akhirnya disokong. Ini pada hemat kami sepatutnya menjadi fungsi default pada kesemua peranti Android. Sokongan multi-window juga masih belum disertakan sungguhpun Mi Max mempunyai skrin yang cukup besar untuk menyokongnya. Jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh peranti phablet yang lain seperti Galaxy Note 5 dan Huawei Mate 9, jumlah fungsi tambahan yang ditawarkan Xiaomi Mi Mix adalah agak terhad.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan lain yang disertakan bersama MIUI 8.

Navigation Button – Mengubah kedudukan butang multi tasking dan back. Pengguna boleh memilih meletakkan butang back pada sebelah kanan dan multi tasking pada sebelah kiri atau sebaliknya.

One-handed Mode – Mengecilkan saiz skrin kepada 3.5″, 4″ atau 4.5″ untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan

Quick Ball – Fungsi seakan Assistive Touch pada iOS. Peranti boleh dikawal dengan butang maya di atas skrin, Dengan adanya QuickBall Xiaomi cuba mengurangkan kesukaran untuk menekan butang navigasi apabila peranti digunakan sebelah tangan.

Dual Apps – Kemampuan menggunakan dua aplikasi menggunakan akaun berbeza. Amat berguna bagi mereka yang mempunyai dua akaun WhatsApp. Aplikasi lain yang disokong ialah Facebook dan Instagram.

Second Space – Membolehkan dua profil berbeza digunakan pada satu peranti misalnya satu untuk kegunaan pejabat dan satu lagi untuk kegunaan peribadi. Kandungan emel, aplikasi dan gambar misalnya tidak bercampur aduk. Profil kedua boleh dikunci bagi mengekalkan privasi pengguna

Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema yang boleh dimuat turun mengikut kehendak pengguna.

Child Mode – Mengawal akses aplikasi tertentu kepada pengguna kanak-kanak

xiaomi-mi-mix-1 xiaomi-mi-mix-2

xiaomi-mi-mix-3

 

Kamera

Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0dipadankan dengan kamera hadapan sebesar 5-Megapixel f/2.0. Kamera utama mengambil gambar pada nisbah 4:3 pada tetapan tertinggi 16-Megapixel. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi diturunkan ke 12-Megapixel.Ini ialah spesifikasi kamera yang sama yang dilihat pada Xiaomi Mi Max sebelum ini.

Tetapan rakaman video tertinggi pula ialah 4K dengan pilihan terdapat juga pilihan untuk 1080P 30 FPS dan 720P 30 FPS. Ketiadaan sokongan untuk 1080P 60FPS adalah agak aneh kerana pemproses Snapdragon 821 yang digunakan mampu mengambil video pada mod ini. Rakaman 1080P 60FPS pada hemat kami perlu ada bagi sebuah peranti utama kerana membezakannya dari peranti kelas pertengahan.

Terdapat lapan pratetapan disertakan iaitu Panorama, Timer, Audio, Straighten, Beautify, Hand Held Twilight dan Tilt Shift. Kesemua tetapan disertakan bagi memudahkan operasi kamera. Ia boleh diakses dengan menekan butang Modes yang tertera pada antaramuka kamera.

Antaramuka kamera mudah difahami dan digunakan sekiranya anda pernah menggunakan MIUI 8 sebelum ini. Pada tetapan tertinggi, HDR diaktifkan dan kualiti gambar terbaik digunakan, kami menyedari masa diambil untuk mengambil gambar adalah sedikit lama. Ini ialah perkara yang kami sedari berlaku pada Mi Max.

Pada Mi Max ia mungkin boleh dimaafkan kerana penggunaan pemproses Snapdragon 650. Bagi Mi Mix dengan pemproses yang berkuasa ia adalah tidak dapat dimaafkan. Peranti utama lain seperti S7 Edge dan iPhone 7 Plus boleh mengambil gambar HDR tanpa sebarang sela masa. Kelemahan di sini terletak pada perisian yang nampaknya tidak dioptimasikan untuk Mi Mix.

xiaomi-mi-mix-camera-1

Kemampuan kamera pada sebuah peranti utama seharusnya lebih baik berbanding kamera kelas pertengahan dan permulaan. Dari apa yang kami lihat kualiti kamera Mi Mix adalah setanding dengan kemampuan kamera Mi 5. Ia berfungsi dengan baik di alam situasi pencahayaan yang terang. Seperti yang boleh dilihat di bawah gambar yang diambil terang dengan warna yang baik.

Sungguhpun begitu sekiranya dilihat pada resolusi sebenar ia tidak setajam seperti yang mampu diambil Galaxy S7 Edge dan iPhone 7 Plus. Penghasilan warna juga kurang bermaya sekiranya dibandingkan dengan dua peranti ini.

Untuk mendapatkan gambar yang baik mod HDR harus sentiasa diaktifkan. Tanpanya gambar mempunyai masalah gelap dan warna kurang menyerlah. Aneh sekali apabila mod HDR diaktifkan kamera tidak mampu mengambil gambar dengan pantas. Ini masalah yang wujud pada Mi Max. Pada Mi Max ia kami maafkan kerana dilengkapi Snapdragon 650 yang tidak mempunyai kuasa memproses sebaik Snapdragon 821. Kami merasakan masalah aplikasi kamera Xiaomi ialah ia tidak dioptimasikan dengan betul walaupun pada peranti dengan pemproses berkuasa tinggi.

Lensa f/2.0 kamera utama menunjukkan kekurangan yang jelas apabila mengambil gambar di dalam situasi pencahayaan yang rendah. Noise mula kelihatan dan objek yang diambil kabur.

xiaomi-mi-mix010xiaomi-mi-mix009

xiaomi-mi-mix007xiaomi-mi-mix006 xiaomi-mi-mix008

 

Audio

Kami agak jarang mengulas mengenai audio kerana majoriti peranti yang diulas mempunyai kualiti yang kurang baik. Pada Mi Mix kami rasakan audio perlu diulas kerana penggunaan DAC 24 Bit terbina. Dengan adanya cip khas ini kualiti audio dapat dipertingkatkan. Apabila menstrim audio pada kadar tertinggi Spotify Premium, jelas kedengaran perbezaan sistem audio Mi Mix. Bunyi suara nyanyian lebih jelas dan gemeresik. Deruman bass juga lebih mantap dan tidak pecah terutamanya pada frekuensi pertengahan.

Output audio dari iPhone 7 Plus dan S7 Edge yang kami miliki langsung tidak dapat menyentuh Mi Mix. Pada S7 Edge bunyi bass terlalu kuat dan agak terpendam. Pada iPhone suara penyanyi kurang jelas. Apabila Mi Mix disambungkan kepada sistem audio yang berkualiti, perbezaan audionya menjadi semakin ketara.

Sekiranya anda banyak menstrim muzik pada kadar bitrate tinggi, Mi Mix akan memberikan inzal telinga. Ayat ini kedengaran agak hiperbola tetapi kualiti audio Mi Mix memang amat baik dan akan memuaskan golongan audiofil.

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 821 yang digunakan adalah yang terpantas di pasaran. Lebih pantas dari yang digunakan pada kedua-dua peranti Pixel. Apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding OnePlus 3 yang yang menggunakan Snapdragon 820. Markah yang dicatatkan ialah 33575 pada Quadrant, 142944 pada Antutu 3D dan 32356 pada Futuremark.

Peranti masih lagi berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Penukaran aplikasi dapat berlaku dengan pantas dan memainkan permainan dengan keperluan grafik yang tinggi boleh dilakukan tanpa masalah. Kesemua aplikasi juga tidak mengalami masalah terhenti secara seketika. Masalah kepanasan juga tidak kami sedari. Secara keseluruhan Mi Mix berfungsi dengan cukup lancar sepanjang tempoh ulasan.

benchies-xiaomi-mi-mix

 

Bateri

Bateri sebesar 4400 mAh yang digunakan adalah agak kecil bagi sebuah peranti dengan skrin gergasi serta pemproses yang berkuasa. Pada penggunaan biasa Mi Mix mampu bertahan hampir 18 jam dengan skrin terpasang hampir 8 jam. Ini ialah penggunaan yang agak baik. Sebagai perbandingan Mi Max dengan skrin 6.44″ mampu bertahan melebihi sehari dengan skrin terpasang melebihi 10 jam. Jika dibandingkan dengan peranti-peranti utama lain di pasaran, masa yang dicatatkan ini adalah setanding. Juara ketahanan bateri masih lagi iPhone 7 Plus yang mampu bertahan selama 27 dengan skrin terpasang hampir 11. Yang membuatkan pencapaian iPhone 7 Plus menakjubkan ialah ia hanya dilengkapi bateri sebesar 2900 mAh!

Pesaing

Pesaing terhampir bagi Mi Mix ialah dua peranti utama dari Android dan iOS. Kedua-dua Apple iPhone 7 Plus dan Google Pixel XL ialah peranti terbaik untuk iOS dan Android. Ketiga-tiganya juga dijual pada harga premium dengan tiada sokongan untuk kad MikroSd seperti Mi Mix.

Peranti Pesaing
Xiaomi Mi Mix Apple iPhone 7 Plus  Google Pixel XL
6.44″ IPS LCD FHD (362 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI) 5.5″ AMOLED QHD (534 PPI)
2.35 x 2 + 2.19 x 2 GHz Snapdragon 821 Apple A10 Fusion 2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 821
Adreno 530 Apple M10 Adreno 530
4 Gigabyte 3 Gigabyte 4 Gigabyte
128 Gigabyte 128 Gigabyte (256 GB MikroSD) 32 Gigabyte
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, PDAF Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.8+ 2.8, OIS Kamera Utama 12.3 Megapixel f/2.0, PDAF, EIS
Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan Kamera Hadapan 7 Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4
4400 mAh (Pengecasan Pantas) 2900 mAh (Pengecasan Pantas) 3450 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 3499* RM 4299 RM 3200*

Kesimpulan

Xiaomi Mi Mix ialah sebuah peranti dengan rekaan yang inovatif dan bahan binaan yang eksotik. Apabila dipadankan dengan skrin hampir tiada bezel, rekaan yang selama ini hanya dilihat dalam bentuk gambaran CG akhirnya menjadi realiti. Xiaomi harus dipuji kerana berani melakukan sesuatu yang baru di dalam dunia peranti pintar. Di atas kertas peranti ini mempunyai spesifikasi yang baik dan mampu menyanyi peranti-peranti utama yang muncul pada suku ke-4 2016.

Tetapi rekaan yang unik, skrin bezel kecil dan bahan binaan eksotik tidak mampu menutup kelemahan Mi Mix. Sistem pembesar suara piezoelektrik tidak berfungsi dengan baik. Apabila panggilan telefon diterima kualiti audio tidak memuaskan sehingga sukar mendengar apa yang diperkatakan oleh pemanggil. Kerap kali kami terpaksa menggunakan pembesar suara di bahagian bawah peranti ketika melakukan panggilan telefon.

xiaomi-mi-mix001

Bahan seramik pula tidak cukup tahan lasak untuk kegunaan seharian. Bagi insan yang agak tahan lasak, kami akui menggunakan Mi Mix sepanjang tempoh ulasan adalah agak menakutkan. Kerisauan ia akan terjatuh dan berderai sentiasa terapung di dalam kepala.

Kerangka kulit yang diberikan mengurangkan risiko kerosakan tetapi ia tidak sebaik kerangka getah yang dihasilkan oleh Otterbox atau Spigen. Setahu kami masih tiada pengeluar aksesori menghasilkan kerangka tahan hentakan untuk Mi Mix.

Kemampuan kamera juga tidak setanding peranti-peranti utama lain. Pada harga jualan melebihi RM 3000 mengikut kadar pertukaran wang semasa, kemampuan kamera sepatutnya lebih baik. Buat masa ini ia hanya setanding dengan Mi 5 yang dijual pada separuh harga Mi Mix.

Sekiranya anda mahukan peranti yang unik dengan rekaan paling inovatif di pasaran inilah peranti yang harus dibeli oleh anda. Tetapi sekiranya anda mahukan peranti yang lebih praktikal untuk kegunaan dunia sebenar serta tidak berisiko mengalami kerosakan dengan mudah, silalah mencari peranti lain.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan penuh inovasi dan futuristik. Sebuah konsep yang menjadi realiti.
  • Kemasan seramik adalah yang paling premium pernah kami lihat.
  • Peranti dengan skrin gergasi tetapi saiz fizikal yang setanding peranti lebih kecil.
  • DAC 24 Bit menghasilkan bunyi yang amat baik terutamanya apabila memainkan fail audio beresolusi tinggi.
  • Bahan binaan kurang tahan lasak.
  • Pembesar suara piezoelektrik tidak memberikan audio panggilan telefon yang memuaskan.
  • Tiada fungsi khas untuk peranti berskrin besar. Contohnya masih tiada fungsi Multi WIndow.

 

skor-xiaomi-mi-mix-2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd