Carian
Ulasan Mi Max – Phablet Gergasi Berstamina Tinggi
November 14, 2016 Effi Saharudin

Xiaomi Mi Max akhirnya memasuki pasaran Malaysia bulan ini. Peranti adi-phablet ini mempunyai skrin gergasi sebesar 6.44″ HD penuh yang dipadankan dengan bateri 4850 mAh yang juga jatuh di dalam kategori yang sama. Peranti ini baru sahaja mendarat di makmal peranti Amanz. Berikut ialah pendapat kami mengenai telefon pintar terbesar yang pernah dihasilkan oleh Xiaomi ini.

Spesifikasi

Xiaomi Mi Max
Skrin 6.44″ IPS LCD 1080P (342 ppi)
Pemproses Snapdragon 650
Cip Grafik Adreno 510
RAM 3 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, PDAF
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.0
Kalis Air Tidak
Bateri 4850 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano + Mikro
Jalur LTE 1 / 3 / 5 / 7 / 38 / 39 / 40 / 41
NFC Tiada
Infra Merah Ya

Xiaomi Mi Max dilengkapi skrin sebesar 6.44″ IPS LCD dengan resolusi HD penuh. Jelas sekali phablet ini direka untuk mereka yang gemar menonton video dan menggunakan aplikasi permainan video.

Skrin ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 650 yang sebelum ini turut digunakan pada Redmi Note 3. Seperti Redmi Note 3, Mi Max turut dilengkapi RAM sebesar 3 Gigabyte dan hanya pilihan storan 32 Gigabyte. Kepada yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte disokong.

Kad MikroSD ini walaubagaimanapun berkongsi slot di dalam talam untuk SIM bersaiz Nano. Sekiranya ingin menambah kapasiti storan anda terpaksa menggunakan SIM bersaiz Mikro.

Dari segi optik pula, sekali lagi ia berkongsi spesifikasi dengan Redmi Note 3. Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0 dengan sistem pemfokusan PDAF dipadankan dengan kamera selfie 5-Megapixel. Kemampuan merakam video maksimum ialah 4K 30FPS. Apabila tetapan dikurangkan ke 1080P, tiada sokongan untuk mod 60 FPS dan ini mengecewakan kerana Snapdragon 650 mampu merakam pada tetapan ini.

Bateri sebesar 4850 mAh disertakan bagi memastikan peranti dapat berfungsi sepanjang hari. Ini ialah peningkatan sebanyak 850 mAh berbanding bateri yang digunakan pada Redmi Note 3. Dengan saiz skrin yang jauh lebih besar, sebenarnya kami berharap bateri yang lebih besar boleh disertakan. Jika anda membaca ulasan Redmi Note 3, kami memuji ketahanan bateri peranti ini. Kami berharap dengan penggunaan nama Max, Mi Max akan dapat melangkaui ketahanan bateri maksimum Redmi Note 3 di dalam ulasan penuh kelak. Sistem pengecasan pantas QuickCharge 2.0 disokong. QuickCharge 3.0 tidak disokong walaupun Snapdragon 650 ialah antara pemproses yang mampu menggunakan format pengecasan pantas ini.

Tiada sokongan NFC disertakan tetapi berita baik di sini ialah terdapat sokongan pemancar infra merah. Sebagai pemilik lebih daripada satu TV Led, dekoder TV berbayar dan sistem audio di rumah, pemancar infra merah adalah fungsi yang amat kami perlukan pada peranti pintar. Xiaomi ialah antara pengeluar yang masih menyertakan fungsi ini pada peranti-peranti mereka.

Jelas dari apa yang sudah tertulis, Xiaomi Mi Max ialah sebuah Redmi Note 3 yang dibesarkan tanpa melakukan perubahan mendadak pada spesifikasi.

xiaomi-mi-max-1

 

Rekabentuk

xiaomi-mi-max-2Spesifikasi mungkin tidak mempunyai perbezaan yang banyak dengan Redmi Note 3. Tetapi rekaan Mi Max diberikan sentuhan berbeza. Sisi bulat melengkung digantikan dengan sisi bersegi dengan chamfer. Ini membuatkan peranti sedikit kurang selesa dipegang berbanding Redmi Note 3.

Keseluruhan peranti masih lagi diperbuat daripada logam tetapi bukanlah dari jenis Unibody yang dilihat pada Redmi Pro. Kaca 2.5D digunakan pada panel hadapan bagi melancarkan pergerakan jari. Saiz “dahi” dan “dagu” peranti adalah kecil jika dibandingkan dengan saiz skrin.

Bercakap mengenai dagu, tiga butang navigasi kapasitif diletakkan pada bahagian ini. Butang home dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan back pada sebelah kanan. Ketiga-tiga butang dilengkapi lampu bagi memudahkan navigasi pada waktu malam.

Perubahan paling ketara ialah pada kedudukan kamera. Kamera utama kini terletak pada bucu atas sebelah kiri bukannya pada bahagian tengah. Lokasi pengimbas cap jari walaubagiamanpun masih dikekalkan pada panel belakang.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Butang suara adalah dari jenis rocker. Kedua-duanya diperbuat daripada logam dengan binaan yang kukuh.

Sebuah talam dwi-SIM hibrid nano+mikro diletakkan pada sisi kiri. Talam adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan. Seperti yang kami katakan di bahagian spesifikasi di atas, slot untuk SIM nano berkongsi dengan slot untuk kad MikroSD.

Sebuah bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah terletak pada bahagian atas. Slot pengecasan MikroUSB dan pembesar suara mono pula terletak pada bahagian bawah. Terdapat dua kekisi audio pada bahagian bawah tetapi hanya kekisi sebelah kanan dilengkapi pembesar suara. Kekisi kiri tidak mempunyai sebarang fungsi.

 

Antaramuka

Android 6.0.1 Marshmallow digunakan dengan ataramuka MIUI 8. Harus diingatkan peranti hadir dengan MIUI 7 tetapi kemas kini boleh dilakukan sejurus selepas ia dikeluarkan daripada kotal. Antaramuka MIUI8 adalah minimalis dan mempunyai kombinasi warna enak mata memandang. Talam notifkasi sekarang memaparkan ramalan cuaca dan menggabungkan pintasan pantas dan notifkasi. Kepada yang mahukan rekaan lama yang memisahkan dua fungsi ini, terdapat pilihan untuk melakukannya menerusi skrin tetapan

Sebuah lagi perubahan ialah aplikasi kini boleh dikunci pada skrin multi tasking. Dengan menatal thumbnail aplikasi ke bawah, terdapat pilihan untuk mengunci peranti. Ini akan menghalangnya dari ditutup apabila butang mematikan semua aplikasi pada bahagian bawah skrin ditekan.

Seperti antaramuka dari China yang lain, MIUI tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi diletakkan pada muka hadapan skrin. Xiaomi tidak menyertakan kustomasi yang banyak dengan MIUI. Kustomasi paling ketara ialah Themes yang membenarkan pengguna mengubah antaramuka dan ikon yang digunakan. Terdapat puluhan tema boleh dimuat turun oleh pengguna. Seleksi yang diberikan adalah cukup besar dan pengguna pasti menemui tema yang menepati citarasa mereka.

Sokongan dwi-tap untuk mengaktifkan skrin akhirnya disokong. Ini pada hemat kami sepatutnya menjadi fungsi default pada kesemua peranti Android. Sokongan multi-window juga masih belum disertakan sungguhpun Mi Max mempunyai skrin yang cukup besar untuk menyokongnya. Jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh peranti phablet yang lain seperti Galaxy Note 7 dan Huawei Mate 8, jumlah fungsi tambahan yang ditawarkan Redmi Note 3 adalah jauh lebih kecil.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan lain yang disertakan bersama MIUI 8.

One-handed Mode – Mengecilkan saiz skrin kepada 3.5″, 4″ atau 4.5″ untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan

Navigation Button – Mengubah kedudukan butang multi tasking dan back. Pengguna boleh memilih meletakkan butang back pada sebelah kanan dan multi tasking pada sebelah kiri atau sebaliknya.

Mi Remote – Aplikasi alat kawalan jauh Xiaomi.

Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema yang boleh dimuat turun mengikut kehendak pengguna.

Dual Apps – Kemampuan menggunakan dua aplikasi menggunakan akaun berbeza. Amat berguna bagi mereka yang mempunyai dua akaun WhatsApp. Aplikasi lain yang disokong ialah Facebook dan Instagram.

Second Space – Membolehkan dua profil berbeza digunakan pada satu peranti misalnya satu untuk kegunaan pejabat dan satu lagi untuk kegunaan peribadi. Kandungan emel, aplikasi dan gambar misalnya tidak bercampur aduk. Profil kedua boleh dikunci bagi mengekalkan privasi pengguna

Quick Ball – Fungsi seakan Assistive Touch pada iOS. Peranti boleh dikawal dengan butang maya di atas skrin

Child Mode – Mengawal akses aplikasi tertentu kepada pengguna kanak-kanak

mi-max-ui-1 mi-max-ui-2 mi-max-ui-3

Kamera

Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0dipadankan dengan kamera hadapan sebesar 5-Megapixel f/2.0. Kamera utama mengambil gambar pada nisbah 4:3 pada tetapan tertinggi 16-Megapixel. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi diturunkan ke 12-Megapixel. Tetapan rakaman video tertinggi pula ialah 4K dengan pilihan 1080P 30 FPS. Hanya lapan pratetapan disertakan iaitu Panorama, Timer, Audio, Straighten, Beautify, Hand Held Twilight dan Tilt Shift. Kesemua tetapan disertakan bagi memudahkan operasi kamera.

Antaramuka peranti mudah difahami dan digunakan. Pada tetapan tertinggi, HDR diaktifkan dan kualiti gambar terbaik digunakan, kami menyedari masa diambil untuk mengambil gambar adalah sedikit lama. Ia tidak sepantas peranti utama yang kami ulas tahun ini. Kesemua tetapan ini boleh dikurangkan tetapi gambar yang terhasil menjadi kurang memuaskan.

xiaomi-mi-max-camera-ui

Modul kamera Redmi Note 3 digunakan semula pada Mi Max. Oleh sebab itu kekurangan yang dilihat pada Redmi Note 3 muncul kembali pada peranti ini. Sebenarnya kesemua peranti keluaran Xiaomi mempunyai kekurangan dari segi optik. Penghasilan semula warna yang agak kusam, dedahan berlebihan dan masalah noise yang ketara apabila di dalam situasi pencahayaan kurang baik adalah masalah universal peranti Xiaomi.

Ini adalah sebab mengapa peranti mereka dijual pada harga yang amat mampu milik. Sekiranya anda mahukan peranti dengan kemampuan kamera yang memuaskan, Xiaomi bukanlah pilihan yang tepat. Satu-satunya cara untuk mendapatkan kualiti gambar yang sedikit memuaskan ialah mengaktifkan mod HDR sepanjang masa. Tetapi ini menyebabkan gambar tidak dapat diambil dengan pantas kerana mengambil masa untuk memproses.

xiaomi-mi-max006xiaomi-mi-max009 xiaomi-mi-max007 xiaomi-mi-max008  xiaomi-mi-max010

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 650 yang digunakan adalah pemproses kelas pertengahan paling berkuasa di pasaran sekarang. Di dalam ujian penanda aras markah yang dicatatkan adalah tinggi sedikit berbanding Redmi Note 3 yang mempunyai spesifikasi yang sama. Ini mungkin kerana pengoptimasian yang dilakukan menerusi MIUI 8 berbanding MIUI 7 pada Redmi Note 3.

Sepanjang tempoh ulasan tiada masalah yang kami temui. Aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas, lancar dan tidak terhenti secara tiba-tiba. Masalah pemanasan juga tidak ditemui walaupun ketika menggunakan aplikasi GPS seperti Waze.

xiaomi-mi-max-bench

 

Bateri

Bateri sebesar 4850 mAh yang disertakan adalah antara yang terbesar di pasaran. Hanya 850 mAh lebih besar berbanding Redmi Note 3 dan 150 mAh lebih kecil berbanding Samsung Galaxy A9 Pro. Kerana penggunaan bateri yang besar, tidak mengejutkan tahap ketahanan Mi Max adalah amat baik. Pada penggunaan paling berat sekalipun ia mampu berfungsi selama 15 jam dengan skrin terpasang selama melebihi 10 jam. Tetapi kerana penggunaan skrin yang lebih besar, tidak mengejutkan ini masih di belakang ketahanan Redmi Note 3 yang mencatatkan skrin terpasang melebihi 11 jam. Jika anda mencari peranti yang boleh bertahan sepanjang hari pada penggunaan biasa, ini ialah peranti yang boleh disenarai pendekkan. Tempoh pengecasan bateri juga hanya selama 111 minit menggunakan pengecas 5V 2A.

Pesaing

Mi Max bersaing secara terus dengan Samsung Galaxy A9 Pro dan Sony Xperia XA Ultra kerana ketiga-tiganya dilengkapi skrin bersaiz gergasi. Ketiga-tiganya juga dilengkapi pemproses kelas pertengahan tinggi yang memastikan ia boleh digunakan untuk melakukan tugasan harian dan menonton video dengan lancar.

Peranti Pesaing
Xiaomi Mi Max Samsung Galaxy A9 Pro Sony Xperia XA Ultra
6.44″ IPS LCD FHD (342 PPI) 6.0″ SAMOLED FHD (367 PPI) 6.0″ IPS LCD FHD (367 PPI)
1.8 x 2 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 650 1.8 x 4 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 652 2.0 x 4 + 1.0 x 4 GHz MediaTek Helio P10
Adreno 510 Adreno 510 Mali-T860MP2
3 Gigabyte 4 Gigabyte 3 Gigabyte
32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (256 GB MikroSD) 16 Gigabyte (200 GB MikroSD)
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, PDAF Kamera Utama 12 Megapixel f/1.9, OIS Kamera Utama 21.5 Megapixel f/2.2, PDAF
Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.9 Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.0, OIS
4850 mAh (Pengecasan Pantas) 5000 mAh (Pengecasan Pantas) 2700 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 999 RM1999 RM 1699

Kesimpulan

Peranti dengan saiz skrin gergasi seperti Xiaomi Mi Max mensasarkan golongan kecil pengguna yang banyak menghabiskan masa menggunakan peranti sebagai pemain media. Dengan skrin 6.44″, menonton video dapat dilakukan dengan selesa sekali pada peranti ini. Penggunaan pemproses Snapdragon 650 dan RAM sebesar  3 Gigabyte memastikan kelancaran peranti sepanjang hari. Fungsi terbaik Mi Max ialah bateri 4850 mAh yang boleh bertahan sepanjang hari sebelum perlu dicas. Sungguhpun bersaiz besar ia boleh dicas dalam masa kurang dua jam kerana menyokong sistem pengecasan pantas.

Kekurangan yang boleh kami katakan tentang peranti ini ialah ia amat sukar untuk digunakan dengan hanya sebelah tangan. Saiz fizikal yang besar membuatkan ini mustahil untuk dilakukan. Kedua ialah masih tiada fungsi khusus untuk peranti berskrin besar dihasilkan oleh Xiaomi. Masih tiada fungsi Multi Window yang memaksimakan penggunaan skrin. Kami telah merungut tentang ketiadaan fungsi ini sejak Redmi Note asal dan rungutan kami nampaknya masih tidak didengari pihak Xiaomi.

xiaomi-mi-max-4

Kemampuan kamera juga hanyalah sederhana dan tiada bezanya dengan apa yang lihat pada Redmi Note 3 sebelum ini. Penghasilan semula warna yang agak kusam, dedahan berlebih dan kualiti gambar kurang baik di dalam situasi pencahayaan yang rendah masih menghantui Mi Max. Kesemua peranti Xiaomi mampu milik yang pernah kami gunakan mempunyai kemampuan kamera yang kurang memuaskan.

Sungguhpun begitu pada harga RM 999, ia adalah amat mampu milik bagi sebuah peranti berskrin besar dengan pemproses kelas pertengahan yang agak terkini. Kami tidak menemui sebarang masalah sepanjang tempoh ulasan dan di akhir hari Xiaomi Mi Max memberikan nilai yang tinggi bagi sebuah peranti yang agak murah. Sekiranya anda tidak mahu berbelanja lebih tetapi mahukan peranti berskrin gergasi, Mi Max boleh dimasukkan ke dalam senarai pendek anda asalkan anda tidak terlalu mementingkan kemampuan kameranya.

Kelebihan Kekurangan
  • Peranti kelas pertengahan tetapi masih cukup berkuasa untuk kegunaan harian. Segalanya lancar tanpa sebarang sela masa.
  • Saiz skrin yang besar sesuai untuk mereka yang mahukan peranti untuk tujuan hiburan seperti menstrim video di atas talian.
  • Tahap ketahanan bateri yang baik melangkaui 10 jam skrin terpasang.
  • Harga yang amat mampu bilik jika dibandingkan dengan peranti pesaing di pasaran.
  • Tiada fungsi khas untuk peranti berskrin besar. Contohnya masih tiada fungsi Multi WIndow.
  • Sukar digunakan dengan sebelah tangan.
  • Kemampuan kamera sekadar sederhana.

 

skor-xiaomi-mi-max

Komen