Carian
Ulasan Sony Xperia XA Ultra – Phablet Untuk Penggemar Selfie
October 20, 2016 Effi Saharudin

Xperia XA Ultra 001Sony Xperia XA Ultra ialah kesinambungan kepada Xperia C5 Ultra tahun lalu. Ia masih lagi sebuah phablet yang mensasarkan mereka yang gemar mengambil gambar selfie. Penamaan peranti mesra selfie ini mungkin sudah berubah, tetapi adalah ia meneruskan tradisi C5 Ultra yang menjadi antara pelopor penggunaan kamera bersaiz sebenar pada bahagian hadapan peranti? Ulasan ini akan cuba menjawab beberapa persoalan awal mengenai kemampuan XA Ultra.

Spesifikasi

Sony Xperia XA Ultra
Skrin 6.0″ IPS LCD HD Penuh (367 ppi)
Pemproses 2.0 X 4 + 1.0 x 4 GHz MediaTek Helio P10
Cip Grafik Mali-T860MP2
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 200 GB)
Kamera Utama 21.5 Megapixel PDAF f/2.2
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.0
Bateri 2700 mAh (Pengecasan Pantas)
Kalis Air Tidak
SIM/Telefoni Dwi SIM Mikro + Nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1699

Skrin gergasi 6″ HD penuh IPS LCD yang digunakan memaparkan imej dengan cukup terang. Biasanya pada peranti berskrin besar, kekurangan resolusi HD penuh mula kelihatan tetapi tidak pada XA Ultra. Teknologi BRAVIA Engine 2 yang turut digunakan pada televisyen LED Sony digunakan pada peranti mudah alih mereka dan hasilnya cukup ketara. Menonton video pada peranti ini amat memuaskan.

Skrin ini dipadankan dengan pemproses lapan teras MediaTek Helio P10, RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 16 Gigabyte. Sokongan kad MikroSD sehingga 200 Gigbyte disertakan. Ini adalah perlu kerana keluar sahaja dari kotak sebanyak 5.93 Gigabyte telahpun digunakan oleh fail sistem Android.

Bergerak ke kemampuan optik kamera utama 21.5 Megapixel f/2.2 dengan sistem pemfokusan PDAF disertakan. Kamera hadapan pula sebesar 16 Megapixel f/2.2 dengan OIS serta sistem auto fokus. Terdapat juga flash terbina pada bahagian hadapan peranti. Dari spesifikasi ini jelas kelihatan betapa seriusnya Sony dalam penghasilan peranti mesra selfie.

Bateri 2700 mAh menjadi sumber kuasa dengan sokongan pengecasan pantas. Saiz bateri yang kecil ini sedikit merisaukan kerana peranti dengan saiz skrin gergasi biasanya hadir dengan bateri berkapasiti lebih besar. Sebagai perbandingan Galaxy A9 Pro dilengkapi bateri sebesar 5000 mAh. Oppo F1 Plus yang juga sebuah peranti mesra selfie pula dilengkapi bateri sebesar 2850 mAh. Hanya selepas tempoh ulasan penuh boleh kami lihat sama ada pengguna bateri sekecil ini akan membawa padah kepada XA Ultra.

Bagi melengkapi spesifikasi terdapat sokongan NFC pada panel belakang. Tiada sokongan untuk pengimbas cap jari ataupun pemancar infra merah. Bercakap tentang NFC kami gembira Sony mengekalkan ikon NFC pada kawasan terletaknya sensor. Ini sepatutnya menjadi rekaan standard pada kesemua peranti mudah alih. Kami bosan harus mengagak lokasi NFC ketika mahu menggunakannya.

Xperia XA Ultra 003

Rekabentuk

Xperia-XA-Ultra-Side-1Rekaan peranti mengembalikan estetik OmniBalance Xperia yang amat kami gemari. Kerangka logam digunakan pada bahagian sisi dengan panel plastik digunakan pada panel belakang. Butang kuasa berbentuk bulat dan suara rekaan rocker terletak pada sisi kanan. Lokasi butang suara kali ini lebih logik dan ergonomik. Tidak seperti yang dilihat pada Xperia X dan Z5. Kami berharap pereka di Sony mengkaji semula lokasi butang suara mereka pada dua peranti ini. Ianya tidak masuk akan dan menyukarkan pengguna. Rekaan XA Ultra dan Z3 sepatutnya menjadi paragon rekaan yang harus diteruskan. Seperti kebiasaan, sebuah butang khas kamera terletak pada bahagian bawah sisi kanan.

Sisi kiri pula terdapat pintu plastik yang menutup slot untuk talam SIM dan kad MirkoSD. Berita baik kepada mereka yang memerlukan dua SIM dan kad MikroSD berfungsi secara serentak kerana tiada perkongsian slot. Talam khas untuk dua SIM nano ini perlu ditarik keluar untuk memasukkan/mengeluarkannya. Pada bahagian atas terdapat bicu audio 3.5mm manakala pembesar suara mono dan slot pengecasan MikroUSB terletak pada bahagian bawah.

Pembesar suara ini mungkin mono dan kecil tetapi mempunyai tahap bunyi yang kuat. Apabila menonton video atau melakukan panggilan telefon bunyi yang dihasilkan dapat didengari walaupun ketika berjalan di luar. Tetapi pada tetapan bunyi tertinggi bunyi yang dihasilkan agak pecah.

Panel kaca depan menggunakan kaca 2.5D bagi memudahkan jari bergerak dari skrin ke bahagian sisi. Sisi logam juga berbentuk bulat bagi mengurangkan ketidakselesaan peranti bersaiz besar ini. Ini membuatkannya lebih selesa berbanding Z Ultra yang kami ulas tiga tahun yang lalu.

Sungguhpun begitu peranti ini masih lagi terlalu besar untuk penggunaan sebelah tangan. Kami mempunyai telapak tangan yang agak besar dan sungguhpun begitu XA Ultra masih tidak mudah dipegang. Secara ikhlas peranti dengan skrin 5.5″ ialah saiz paling optimum bagi sebuah peranti pintar. Ia cukup besar untuk melayari video tetapi masih cukup selesa dipegang serta digunakan sebelah tangan.

Sekilas pandang XA Ultra tidak ada banyak beza dengan X Performance. Perbezaan dua peranti ini ialah XA Ultra tidak kalis air. Fungsi ketahanan IP68 nampaknya eksklusif pada peranti utama Sony sahaja.

Dari segi rekaan ia sebuah peranti yang amat cantik. Skrin hampir tiada bazel dengan rekaan OmniBalance menyerlahkan kemampuan Sony dalam mereka peranti yang cantik tetapi masih tetap unik di dalam pasaran yang amat kompetitif. Tiada bonjolan kamera dan ini memastikan peranti kekal rata apabila diletakkan di atas permukaan meja. Komen negatif yang ingin kami berikan ialah panel plastik di bahagian belakang mengurangkan ke-premium-an rekaan peranti. Ketiadaan pengimbas cap jari juga mengecewakan kerana ia adalah fungsi wajib ada pada sebuah peranti kelas pertengahan. Pesaing XA Ultra kesemuanya mempunyai fungsi ini.

 

Antaramuka

Sejak dari dahulu kami meminati rekaan hampir stock yang digunakan oleh Sony. Dengan penggunaan antaramuka hampir sesuci salju ini peranti berfungsi dengan pantas dan lancar. Tidak mengejutkan peranti Xperia dinobatkan paling stabil di antara peranti Android bukan Nexus. Notifikasi, ikon dan rupa muka hadapan XA Ultra menyerupai Android Stock. Hanya beberapa penambahan dilakukan seperti menggunakan aplikasi buatan Sony. Sebagai contoh Gallery digunakan bagi menggantikan Google Photos. Disamping itu beberapa fungsi tambahan disertakan yang tidak hadir pada Android Stock.

Sedikit mengecewakan ialah tiada fungsi memaparkan dua aplikasi secara serentak. Dengan saiz skrin yang besar sepatutnya fungsi ini disertakan bagi mengoptimasikan penggunaan skrin. Kami mahukan fungsi ini pada phablet Xperia sejak Z Ultra diperkenalkan pada tahun 2013. Tiga tahun sudah berlalu tetapi Sony masih enggan memenuhi permintaan pengguna. Sokongan dwi-tap juga tidak wujud sedangkan ia disokong sejak Xperia Z3 lagi. Fungsi-fungsi kecil ini nampaknya hanya wujud pada peranti utama Xperia.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan pada Xpera XA Ultra. Jelas di sini dari segi fungsi tambahan Sony masih jauh di belakang Huawei, Oppo, Asus, Samsung dan OnePlus.

Quick Search – Melancarkan carian aplikasi pantas dari skrin utama. Tatal skrin dari atas ke bawah anda paparan carian ini akan muncul. Turut dipaparkan ialah aplikasi yang kerap digunakan oleh pengguna.

Smart Backlight Control – Skrin akan sentiasa terpasang selagi peranti mengesan pengguna sedang melihat skrin. Sama seperti mod Always On pada peranti Samsung.

Theme  – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.

One Handed Operations – Mengecilkan saiz paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan. Untuk mengaktifkan mod ini pengguna perlu menatal dari suku bawah sebelah kiri/kanan ke bahagian tengah skrin. Saiz skrin kemudian boleh diubah mengikut keperluan. Tidak seperti pengeluar lain, pengguna boleh merapatkan skrin mini ke empat-empat bucu skrin mengikut keselesaan peribadi.

Xperia-XA-Ultra-UI-1 Xperia-XA-Ultra-UI-2 Xperia-XA-Ultra-UI-3

 

Kamera

Kamera utama sebesar 21.5-Megapixel f/2.2 digunakan pada bahagian belakang dengan sistem pemfokusan PDAF. Ia mampu merakam pada resolusi maksimum 1080P 30 FPS. Kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel f/2.0 dengan sokongan flash. Dengan saiz sensor yang besar dan flash, Xperia XA Ultra jelas mensasarkan pengguna yang gemar mengambil foto selfie.

Antaramuka aplikasi kamera tidak banyak berubah dari yang kami lihat pada Xperia X sebelum ini. Ianya minimalis dan tiada butang rakaman video dan kamera pada antaramuka yang sama. Kami kurang menggemari konfigurasi ini kerana menyukarkan proses untuk mengubah dari satu mod ke mod yang lain. Pada tetapan 21.5-Megapixel, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk nisbah 16:9, resolusi dikurangkan ke 16-Megapixel.

Seperti biasa aplikasi kamera Sony mudah digunakan dengan pelbagai fungsi tambahan. Terdapat 7 pra-tetapan disertakan seperti fungsi AR, kesan khas dan pelekat. Pra tetapan tambahan boleh dimuat turun mengikut keperluan.

Xperia-XA-ultra-Camera-1

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera utama dan selfie XA Ultra. Secara keseluruhan kualiti gambar adalah baik tetapi sedikit mengecewakan walaupun menggunakan sensor yang besar. Pertama sekali ialah kelembapan ketikan mengambil gambar.

Kamera XA Ultra mengambil masa yang agak lama sebelum membenarkan gambar seterusnya diambil. Pada waktu yang sama gambar yang diambil sedikit gelap dengan masalah white balance ketika diambil di dalam keadaan pencahayaan kurang baik. Blooming juga ketara pada sumber cahaya apabila gambar diambil pada waktu malam.

Pada keadaan pencahayaan yang baik gambar yang diambil cukup baik. Bagaimana pula dengan selfie? Kualiti gambar selfie peranti ini mungkin adalah antara yang terbaik pernah kami lihat. Dengan adanya flash LED terbina pada bahagian hadapan, anda tidak perlu risau gambar selfie kelihatan kusam. Tetapi sekali lagi harus kami nyatakan seperti kamera belakang, kamera selfie juga tidak mengambil gambar dengan pantas.

xperia-xa-ultra-gambar009 xperia-xa-ultra-gambar006xperia-xa-ultra-gambar010 xperia-xa-ultra-gambar008  xperia-xa-ultra-gambar007

xperia-xa-ultra-gambar011

 

Penanda Aras

Pemproses MediaTek Helio P10 yang digunakan mempunyai lapan teras dengan empat teras pada kelajuan 2.0 GHz dan empat lagi pada 1.0 GHz. Ini dipadankan dengan cip grafik Mali-T860MP2. Apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah seperti berikut. Sebanyak 17483 markah dicatatkan pada Quadrant, 48207 markah pada Antutu dan 11003 markah pada Futuremark. Markah yang dicatatkan adalah lebih rendah dari yang dicatatkan oleh Oppo F1 Plus yang menggunakan pemproses yang sama.

Sungguhpun begitu dalam kegunaan harian kami tidak mengalami sebarang masalah. Peranti berfungsi dengan lancar tanpa sebarang sela masa ataupun pemanasan melampau. Pelancar yang digunakan oleh Sony tidak mempunyai banyak kustomasi dan menghampiri stock. Ini menyumbang kepada kelancaran peranti.

Bench-XPeria-XA-Ultra

 

Bateri

Bateri 2700 mAh yang digunakan menimbulkan kerisauan kami apabila unit ulasan tiba di makmal Amanz. Ini ialah saiz bateri yang biasanya ditemui pada peranti dengan skrin di bawah 5 inci. Kami ingin kekal positif kerana Sony mempunyai rekod yang baik dari segi ketahanan bateri peranti. Tetapi jangkaan kami jelas meleset. Pada penggunaan biasa peranti bertahan sekitar 16 jam dengan skrin terpasang selama 4 jam.

Ini adalah tahap ketahanan yang tidak memuaskan bagi sebuah peranti pada tahun 2016. Peranti sepatutnya bertahan sekurang-kurangnya 6 jam dengan penggunaan Android Marshmallow. Majoriti phablet juga dilengkapi bateri sekurang-kurangnya 4000 mAh. Kesilapan utama Sony pada XA Ultra ialah penggunaan bateri yang terlalu kecil untuk peranti dengan skrin sebesar 6 inci. Mengapa bateri kecil digunakan tidak pula diketahui.

Pesaing

Berikut ialah perbandingan spesifikasi dan harga Sony Xperia XA Ultra dengan dua pesaingnya di pasaran iaitu Samsung Galaxy A9 Pro dan Oppo F1 Plus. Galaxy A9 Pro mempunyai skrin yang setanding manakala F1 Plus ialah peranti yang turut mementingkan kemampuan selfie yang tinggi.

Peranti Pesaing
Sony Xperia XA Ultra Samsung Galaxy A9 Pro Oppo F1 Plus
6.0″ IPS LCD FHD (367 PPI) 6″ Super AMOLED FHD (367 ppi) 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI)
2.0 x 4 + 1.0 x 4 GHz MediaTek Helio P10 1.8 x 4  + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 652 2.0 x 8 GHz MediaTek Helio P10
Mali-T860MP2 Adreno 510 Mali-T860MP2
3 Gigabyte 4 Gigabyte 4 Gigabyte
16 Gigabyte (200 GB MikroSD)  32 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64 Gigabyte (128 GB MikroSD)
Kamera Utama 21.5 Megapixel f/2.2, PDAF Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9, OIS Kamera Utama Dwi 13 Megapixel f/2.2, PDAF
Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.0, OIS Kamera Hadapan 8 Megapixel, f/1.9 Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.0
2700 mAh (Pengecasan Pantas) 5000 mAh (Pengecasan Pantas) 2850 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 1699 RM 1999 RM 1898

 

Kesimpulan

Pasaran peranti dengan skrin besar (ultra phablet) dan mementingkan kemampuan selfie masih lagi kecil. Sony Xperia XA Ultra memenuhi kedua-dua kehendak pasaran ini dengan pakej yang agak menarik. Rekaan peranti adalah amat kemas dan selesa untuk dipegang. Kembalinya rekaan OmniBalance amat kami hargai kerana kami memang peminat rekaan yang jauh lebih ergonomik dari apa yang mereka gunakan sekarang. Walaupun agak besar, mod sebelum tangan memastikan ia masih boleh digunakan dengan sebelah tangan. Panel belakang yang diperbuat daripada plastik pula tidak memerangkap cap jari dengan mudah pada masa yang sama tidak menjadikannya terlalu licin.

Penggunaan pelancar yang diberikan kustomasi yang sedikit membantu operasi peranti. Walaupun menggunakan pemproses kelas pertengahan, ia berfungsi dengan amat lancar sekali. Tidak ada sela masa yang kronik kami sedari dan pada masa yang sama beberapa fungsi tambahan disertakan untuk memudahkan penggunaan. Kekurangan dari segi fungsi ialah tiadanya pengimbas cap jari yang kini hadir pada kesemua peranti di dalam kelas yang sama dengan XA Ultra.

Xperia-XA-ultra-Champ

Mari bercakap tentang kamera. Ini ialah peranti yang mementingkan kemampuan selfie dan kamera hadapannya dilengkapi sistem OIS dan flash terbina. Di atas kertas 16 Megapixel adalah amat besar untuk kamera hadapan dan sepatutnya memberikan kualiti gambar yang baik. Kualitinya gambar selfie yang diambil memang jauh lebih baik dari 90% peranti yang pernah kami uji. Di dalam situasi pencahayaan yang baik gambar amat memuaskan tetapi di dalam situasi berbeza kamera mengambil masa untuk memfokus. Gambar turut menjadi kurang tajam. Kamera belakang 21.5 Megapixel pula besar tetapi tidak sepantas yang kami mahukan. Ia mengambil sekitar satu saat untuk merakam gambar di dalam mod automatik. Seperti kamera hadapan kualiti gambar baik apabila di dalam situasi terang dan sebaliknya berlaku pada situasi gelap.

Kelemahan utama XA Ultra yang mengecewakan kami ialah ketahanan bateri. Dengan hayat penggunaan sekitar 16 jam dan skrin terpasang selama empat jam ia jauh di belakang kemampuan peranti lain di pasaran. Bateri 2700 mAh yang digunakan gagal memberikan ketahanan sepanjang hari yang sering dikaitkan dengan peranti keluarga Xperia. Sepatutnya bateri sebesar 3500 mAh disertakan. Saiz peranti cukup besar untuk bateri berkapasiti lebih tinggi.

Dengan harga RM1699 ia jauh lebih mampu milik berbanding Oppo F1 Plus dan Samsung Galaxy A9 Pro. Sekiranya anda memerlukan peranti dengan kemampuan selfie yang tinggi serta kualiti kemasan yang baik ini peranti yang harus disenarai pendek. Jangan lupa untuk membeli sebuah power bank kerana ia aksesori perlu untuk memastikan Xperia XA Ultra bertahan sepanjang hari.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang amat menarik. Mengembalikan rekaan OmniBalance yang bukan sahaja mesra pengguna tetapi cantik dilihat.
  • Kemampuan kamera yang baik bagi peranti kelas pertengahan. Kamera hadapan dilengkapi sistem flash.
  • Antaramuka yang hampir kepada Android Stock berfungsi dengan lancar tanpa sebarang sela masa.
  • Slot SIM dan kad MikroSD tidak berkongsi. Dua SIM dapat digunakan serentak dengan kad MikroSD.
  • Ketahanan bateri tidak memuaskan.
  • Tiada fungsi spesifik phablet seperti melancarkan dua aplikasi serentak.
  • Tiada pengimbas cap jari.

skor-xperia-xa-ultra

 

Komen