Huawei sejak daripada tahun lepas telah berjaya mencuri perhatian ramai dengan bekerjasama bersama pelbagai pengeluar terkemuka yang lain. Kini, untuk EMUI 5.1 yang hadir bersama pada Huawei P10 dan Huawei P10 Plus, pihak Huawei turut bekerjasama dengan GoPro untuk mengintegrasikan penyuntingan video Quik terus ke dalam aplikasi Gallery.
Dengan integrasi ini, kini pada aplikasi Gallery, pengguna akan diperlihatkan dengan tab Discovery yang memaparkan sebuah video ringkas dijana automatik berdasarkan kepada gambar dan video yang dirakam – lengkap dengan audio latar dan sebagainya. Perkara ini boleh dikatakan seumpama pada Google Photos, tetapi ia dilakukan pada peringkat peranti tanpa perlu dimuat-naik ke storan awan. Tambahan lagi, ia turut hadir dengan lagu latar, dan tema yang bersesuaian dengan rakaman gambar dan video.
Huawei memanggil ciri ini sebagai Highlights.
Pengguna juga seperti biasa boleh menyunting video yang dihasilkan, dan ketika memulakannya, aplikasi Quik akan dijalankan. Memandangkan ia hadir terbina, pengguna tidak perlu memuat-turun sebarang aplikasi tambahan untuk tujuan berkenaan.