Carian
MWC 2017 : Lenovo Moto G5 Dan G5 Plus
March 1, 2017 Nazrin

Lenovo G5 dan G5 Plus dilancarkan di MWC minggu ini dan seperti biasa peranti di dalam keluar Moto G ialah peranti kelas pertengahan yang dijual pada harga mampu milik. Seperkara lagi yang menarik tentang peranti Lenovo Moto ialah pengguna Android yang hampir kepada stock dengan beberapa kustomasi yang dibangunkan sendiri oleh pihak Lenovo. Berikut ialah pandang pertama kami untuk kedua-dua peranti ini.

Kita mulakan terlebih dahulu dengan peranti Lenovo Moto G5 yang mempunyai spesifikasi lebih rendah berbanding Moto G5+. Peranti dengan kerangka logam ini dilengkapi skrin bersaiz 5″ HD penuh, pemproses Qualcomm Snapdragon 430, RAM sebesar 2/3 Gigabyte dan storan 16/32 Gigabyte.

Kamera utama yang disertakan mempunyai sensor sebesar 13-Megapixel f/2.0 dengan sistem pemfokusan PDAF. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 5-Mengapixel f/2.2. Sebuah bateri 2800 mAh yang disertakan menyokong pengecasan pantas 10W melalui port pengecasan MikroUSB.

Salah satu ciri-ciri istimewa yang ada pada Moto G5 ini ialah cangkerang belakang peranti ini boleh dibuka, dan membolehkan pengguna mengeluarkan bateri peranti ini untuk ditukar. Menurut jurucakap Motorola, ciri ini khusus untuk peranti Moto G5 sahaja.

Peranti siri Moto G ini biasanya hadir dengan cangkerang plastik, akan tetapi semua itu bertukar dengan Moto G5 dan G5 Plus kerana peranti-peranti ini diberikan sentuhan premium dengan penggunaan cangkerang besi, yang bukan sahaja memberi reka bentuk yang menarik, tetapi juga membuat peranti ini tahan lebih lasak daripada model-model sebelum ini.

Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan peranti. Butang suara adalah dari jenis rocker dan ini adalah jauh lebih selesa dari butang yang digunakan pada Moto Z sebelum ini.

Seperti pada Moto Z, pembesar suara diletakkan pada bahagian hadapan namun tiada sokongan audio stereo. Berita baik di sini ialah bicu audio 3.5mm dikekalkan. Ia diletakkan pada bucu bawah sebelah kiri bersebelahan port pengecasan USB-C. Talam SIM dan kad MikroSD pula terletak pada buku atas sebelah kanan.

Kerana Moto G5 ialah peranti kelas permulaan, tiada sokongan sistem NFC maupun pemancar infra merah.

Moto G5 Plus pula hadir dengan skrin lebih besar 5.2″ HD penuh, pemproses Snapdragon 625, RAM sebesar 2/3/4 Gigabyte dan storan 32/64 Gigabyte. Model dengan RAM sebesar 4 Gigabyte setakat ini hanya disahkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Bagi yang memerlukan storan tambahan sekali lagi kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte disokong.

Kamera belakang Moto G5 Plus ini juga sedikit berbeza dengan Moto G5, di mana ia menggunakan kamera 12-Megapixel f/1.7 untuk prestasi mengambil gambar pada waktu malam yang baik.Sistem pemfokusan Dual Pixel digunakan dan ini kami difahamkan sapa seperti yang ditemui pada Samsung Galaxy S7. Kamera utama ini mampu merakam video pada resolusi 4K 30 FPS.

Perbezaan dapat dilihat pada kamera belakang G5 Plus dimana ianya sedikit terkeluar dan tidak rata seperti pada Moto G5. Ini mengingatkan kami kepada rekaan pada Moto Z dan Z Play sebelum ini.  Kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel f/2.2.

Bateri pada Moto G5 Plus ini pula adalah lebih besar sedikit daripada Moto G5, dan akan hadir dalam 3000mAh. Untuk mengecas bateri ini, peranti Moto G5 ini dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas TurboCharge. Menurut Lenovo peranti mampu melakukan panggilan selama enam jam selepas hanya dicas selama 15 minit. Sayangnya, tidak seperti Moto G5, cangkerang Moto G5 Plus tidak boleh dibuka, dan oleh kerana itu, bateri Moto G5 Plus tidak boleh dikeluarkan.

Tiada perbezaan dari segi konfigurasi butang kuasa serta suara berbanding Moto G. Pembesar suara mono di bahagian hadapan disertakan bersama bicu audio 3.5 mm. Masih tiada sokongan sistem NFC maupun pemancar infra merah.

Kedua-dua Peranti siri Moto G5 ini juga hadir dengan butang sesentuh di hadapan yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari.Rekaan kali ini lebih bulat sekaligus membuatkannya lebih kemas berbanding pengimbas empat segi pada Moto Z.

Jika dilihat dengan lebih dekat, anda akan perasan bahawa pengimbas cap jari ini adalah sedikit lebih besar daripada biasa. Ini kerana kedua-dua peranti ini hadir dengan fungsi Moto Action, yang membolehkan pengguna menggunakan pelbagai gerakan untuk mengaktifkan ciri-ciri pada peranti-peranti tersebut.

Sebagai contoh butang navigasi atas skrin boleh dinyahaktifkan dan segala bentuk kawalan navigasi dilakukan sepenuhnya melalui pengimbas cap jari.

Satu lagi ciri yang menarik tentang peranti siri Moto G5 ini adalah ia menggunakan antaramuka Pixel UI, yang sebelum ini hanya hadir pada peranti Google Pixel dan Pixel XL. Bukan itu sahaja, siri Moto G5 ini juga bakal mendapat khidmat Google Assistant, walaupun pada waktu kami menguji unit demo peranti tersebut, ciri tersebut masih belum sedia digunakan.

Menurut jurucakap Lenovo, peranti-peranti Moto G5 dan G5 Plus ini akan dijual di negara-negara terpilih bermula bulan Mac ini, pada harga €199 (~RM933) untuk model 2GB RAM dan storan 16GB, dan €279 Euro (~RM 1311) untuk model Moto G5 Plus, dengan 3GB RAM dan storan 32GB.

Buat masa sekarang, masih tiada berita sama ada peranti terbaru daripada Lenovo ini akan dijual di Malaysia. Apa yang pasti peranti keluarga Moto G5 Plus adalah alternatif kepada Moto Z Play sekiranya anda tidak memerlukan sokongan aksesori modular Moto Mods.

Komen