Cari @ Amanz

2016 ialah tahun yang cukup baik bagi Oppo. Mereka mencatatkan peningkatan jualan mencecah 130% berbanding 2015 dan memecahkan dominasi iPhone sebagai peranti paling popular di China. Peranti keluarga Oppo R9 menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang cukup membanggakan ini. Di Malaysia mereka melancarkan model terkini mereka iaitu Oppo R9s Plus hari ini.

Peranti ini dilengkapi skrin 6″ HD Penuh, diperkasakan pemproses Snapdragon 653, RAM sebesar 6 Gigabyte dan storan sebesar 64 Gigabyte. Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/1.7 dengan sokongan OIS dipadankan dengan kamera selfie 16-Megapixel f/2.0. Bateri sebesar 4000 mAh membekalkan tenaga dengan sokongan sistem pengecasan pantas VOOC. Ini menjadikan Oppo R9s Plus peranti pesaing kepada Samsung C9 Pro yang juga baru memasuki pasaran Malaysia.

Perbezaan diantara Oppo R9s dan R9s Plus terletak pada saiz skrin, pemproses, RAM dan kemampuan kamera lebih tinggi. Dari segi rekaan hampir tiada perbezaan dapat dilihat. Bagi yang memerlukan kemampuan kamera yang lebih baik, sistem OIS yang disertakan akan memastikan gambar serta video yang lebih stabil. Oppo R9s Plus dijual di Malaysia pada harga RM 2498 bermula hari ini. Oppo turut menyertakan Oppo Care Screen yang memberikan gantian skrin secara percuma selama 12 bulan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd