Cari @ Amanz

Oppo R9s Plus dilancarkan di Malaysia hari ini dan merupakan peranti yang mementingkan kemampuan mengambil selfie yang tinggi. Oleh sebab itu kamera beresolusi tinggi 16-Megapixel f/2.0 digunakan pada bahagian hadapan. Ini digabungkan dengan pemproses Snapdragon 653, RAM sebesar 6 Gigabyte dan storan 64 Gigabyte. Rekaannya juga menarik kerana mempunyai sisi bulat yang membuatkannya amat selesa dipegang. Apakah perubahan dilakukan berbanding Oppo R9s dan pendapat kami mengenai peranti ini? Teruskan membaca untuk mendapatkan jawapannya.

Spesifikasi

Oppo R9s Plus
Skrin 6.0″ IPS LCD HD Penuh
Pemproses Qualcomm Snapdragon 653
Cip Grafik Adreno 510
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel, OIS,  f/1.7
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.0
Bateri 4000 mAh (Tidak boleh tanggal)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2498

Oppo R9s Plus dilengkapi skrin 6.0″ HD penuh. Ini ialah peningkatan dari 5.5″ yang digunakan pada Oppo R9s.

Perubahan seterusnya ialah pada pemproses. Sebuah pemproses lapan teras Snapdragon 653 digunakan bagi menggantikan Snapdragon 625. RAM pula kini dipertingkatkan ke 6  Gigabyte dan tetapi storan masih lagi 64 Gigabyte.. Sokongan kad MikroSD dikekalkan dengan saiz maksimum 256 Gigabyte.

Kemampuan optik dengan kamera utama 16-Megapixel f/1.7 dengan OIS dan kamera selfie 16-Megapixel f/2.0. Kamera belakang mampu merakam video pada resolusi maksimum 4K manakala kamera hadapan merakam video pada resolusi 1080P. Bateri 4000 mAh digunakan dan ini ialah kapasiti yang aga besar. Sokongan pengecasan VOOC disertakan bagi memastikan peranti dapat dicas dengan amat pantas.

Masih tiada sokongan untuk NFC ataupun pemancar infra merah. Jelas sekali Oppo R9s Plus ialah peranti yang mensasarkan pengguna yang mementingkan kemampuan mengambil gambar yang baik.

Rekabentuk

Dari pandangan hadapan tidak ada perbezaan yang ketara di antara R9s Plus dan R9s. Masih terdapat sebuah butang home merangkap pengimbas cap jari pada bahagian dagu. Butang ini dihimpit butang navigasi kapasitif back pada sebelah kanan dan multi tasking pada sebelah kiri. Terdapat sokongan lampu pada kedua-dua butang bagi memudahkan navigasi pada waktu malam.

Sisi R9s Plus adalah dibulatkan dan membuatkannya selesa dipegang sebelah tangan walaupun mempunyai saiz tubuh yang agak besar. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan talam hibird SIM/Kad MikroSD. Talam adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan. Terdapat dua slot untuk SIM bersaiz Nano dan satu slot MikroSD. Oleh itu dua SIM tidak boleh digunakan serentak dengan sebuah kad MikroSD.

Lensa kamera utama R9s Plus sedikit terkeluar dari panel belakang. Berita baik di sini ialah Oppo menyertakan kerangka getah yang memberikan perlindungan calar kepada lensa kamera, Panel belakang mengekalkan rekaan tiga garisan antena yang kini sinonim dengan peranti di dalam keluarga R9s.

Pada sisi kiri pula terdapat dua butang suara yang diperbuat daripada logam. Bergerak ke bawah terdapat bicu audio 3.5 mm, slot pengecasan MikroUSB dan sebuah pembesar suara mono pada bahagian kanan. Tidak seperti pengeluar lain Oppo masih belum bersedia untuk berpindah kepada pengguna port USB-C.

Secara keseluruhan ini ialah sebuah peranti dengan rekaan yang sedap mata memandang dan spesifikasi yang baik dan paling penting selesa dipegang sungguhpun bersaiz agak besar.

Antaramuka

Oppo R9s Plus masih menggunakan Android 6.1.1. Ini adalah mengecewakan bagi peranti yang dilancarkan di Malaysia pada tahun 2017. Kekecewaan sedikit terubat dengan penggunaan ColorOS 3.0.0i. Kepada yang tidak pernah menggunakan ColorOS, ia adalah antara pelancar pihak ketiga yang lancar dengan pelbagai fungsi tambahan disertakan.

Color OS 3.0.0i mengikut trend semasa amat kami hargai. Ia seakan hibrid antaramuka iOS 10 dan MIUI 7. Segalanya kemas, ceria, cerah dan paling penting sekali minimalis. Tiada lagi set ikon yang menyakitkan mata. Antaramuka ColorOS adalah amat pantas walaupun peranti tidak menggunakan pemproses Snapdragon yang terpantas. Ia “selancar mentega” jika kami dibenarkan menggunakan perumpamaan Bahasa Inggeris. Masih tiada sokongan untuk talam aplikasi pada ColorOS. Bagi mereka yang memerlukan talam aplikasi, anda perlu memuat turun pelancar pihak ketiga dari Google Play.

Fungsi-fungsi standard ColorOS yang memudahkan lagi penggunaan peranti dikekalkan dan adalah sama seperti yang wujud pada R9s sebelum ini.

Theme Store – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dan set ikon boleh dimuat turun.

Screen-off Gesture – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “O” untuk melancarkan kamera.

Dwi-Tap – Menghidupkan paparan dengan menekan skrin sebanyak dua kali.

Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin panjang secara menegak. Pengguna hanya perlu menekan butang kuasa dan menaikkan suara untuk mengaktifkan fungsi ini. Fungsi ini diperkenalkan pada Oppo R7.

Smart Call – Menjawab panggilan telefon secara automatik apabila di letakkan pada bahagian telinga

Gesture Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin dengan menatal ke bawah menggunakan tiga jari.

One Handed Mode – Mengecilkan saiz paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan. Untuk mengaktifkan mod ini pengguna perlu menatal dari buku bawah sebelah kiri/kanak ke bahagian tengah skrin. Saiz skrin kemudian boleh diubah mengikut keperluan.

Eye Protection – Warna skrin berubah pada waktu malam bagi mengurangkan kesakitan mata dan tidak menghalang anda dari tidur.

Simple Mode – Mempermudahkan susunan antaramuka dengan rekaan ikon lebih besar.

 

Kesimpulan

Oppo R9s Plus ialah sebuah R9s dengan beberapa peningkatan spesifikasi bagi menjadikannya lebih berkuasa. Dari segi penggunaan kami mendapati ianya  sebuah peranti yang lancar walaupun menggunakan pemproses kelas pertengahan. Kesemua fungsi tambahan yang wujud pada R9s dikekalkan. Bateri yang digunakan juga lebih besar bagi memastikan peranti dapat berfungsi dengan lebih lama. Sistem pegecasan VOOC yang disertakan membuatkan anda tidak perlu risau menanti lama sebelum peranti dapat dicas sepenuhnya.

Oppo kini pengeluar peranti yang amat sinonim dengan kemampuan selife yang tinggi. Kedua-dua kamera sebesar 16-Megapixel memastikan gambar yang diambil akan sentiasa kelihatan baik. Sokongan OIS pada kamera utama pula mengurangkan gegaran sekaligus menghasilkan gambar yang tajam. Nantikan ulasan penuh untuk peranti ini dalam masa beberapa minggu. Sekiranya ia sebaik R9s yang kami ulas sebelum ini, ia pasti akan mendominasi pasaran peranti mesra selfie di Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd