Carian
Kelajuan Purata Internet Malaysia Kini 8.2 Mbps – Di Tangga Ke-66 Dunia
March 10, 2017 Effi Saharudin

Kelajuan Internet yang pantas adalah perlu bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat terkini dengan pantas serta menstrim video pada kadar yang tidak menyakitkan hati. Sejak kebelakangan ini pakej Internet jalur lebar ditingkatkan dua kali oleh pembekal perkhidmatan internet kerana mengikut saranan belanjawan negara. Bagaimanakah kedudukan Malaysia di mata dunia pada suku ke-4 2016 berbanding suku yang sama 2015?

Menurut laporan Akamai, Malaysia kini berada di tempat ke-66 dengan kelajuan purata 8.2 Mbps. Ini adalah di atas purata kelajuan global iaitu 7.0 Mbps. Tahun lalu Malaysia di tangga ke-73 dengan purata kelajuan 4.9 Mbps.

Dari segi penggunaan 69% pengguna Malaysia menikmati kelajuan Internet pada kelajuan melebihi 4 Mbps. Sekiranya anda menikmati kelajuan melebihi 15 Mbps, anda adalah golongan kecil 11% rakyat Malaysia yang bertuah. Dalam kesemua kategori di atas, Malaysia menunjukkan peningkatan. Sebagai contoh tahun lalu hanya 0.9% pengguna menikmati kelajuan purata melebihi 15 Mbps.

Korea Selatan mengekalkan kedudukan sebagai negara dengan kelajuan purata Internet terpantas dunia dengan 26.1 Mbps. Di kalangan negara rantau ASEAN, Singapura adalah negara terpantas dengan purata kelajuan 20.2 Mbps diikuti pula oleh Thailand dengan purata kelajuan 13.3 Mbps. Malaysia kini di belakang Vietnam (8.3 Mbps) tetapi di hadapan Indonesia (6.7 Mbps) dan Filipina (4.5 Mbps).

Apakah pakej internet yang anda gunakan sekarang? Adakah ia lebih pantas dari purata kelajuan tempatan dan dunia? Kami bernasib baik kerana di dalam kedua-dua kategori menikmati kelajuan yang lebih tinggi dari purata. Tanpa kelajuan internet yang pantas adalah mustahil untuk melakukan kerja di Amanz.

Komen