Carian
Wheely247 – Kedai Runcit Layan Diri Tanpa Sebarang Pekerja Dibuka Di Shanghai
March 21, 2017 Effi Saharudin

Membeli barangan keperluan ialah kemestian bagi setiap insan. Kami melakukannya sebulan sekali dan perkara paling kurang menyenangkan ialah terpaksa beratur untuk membayar produk yang diletakkan di dalam raga. Wheely247 ialah kedai runcit layan diri yang dibuka di Shangai bagi memudahkan proses membeli belah di masa hadapan.

 Kedai yang beroperasi selama dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari seminggu ini tidak mempunyai sebarang pekerja. Pelanggan menggunakan aplikasi untuk membuka pintu kedai. Mereka kemudian mengimbas kod barang yang ingin dibeli. Usai proses mengimbas mereka boleh keluar tanpa melakukan pembayaran fizikal. Sebaliknya segala bayaran dilakukan secara automatik kepada kad kredit mereka.

Sistem kamera litar tertutup di dalam kedai akan mengawasi tingkah laku pengguna dan diharap dapat mengelakkan kecurian. Kedai Wheely247 ini dibangunkan oleh syarikat Wheelys yang berpangkalan di Sweden. Mereka membuka beberapa kedai ujian Sweden sebelum membuka kedai sebenar di Shanghai. Mereka mahu menjual sistem automasi kedai runcit ini kepada pelanggan yang berminat.

Selain Wheelys, Amazon turut mempunyai kedai layan diri Amazon Go yang tidak memerlukan pelanggan beratur untuk membayar.  Persoalannya adakah masyarakat Malaysia sudah bersedia dengan kedai seperti ini? Nampaknya kerjaya ringan bekerja di kedai runcit juga kini diancam proses automasi dan aplikasi peranti pintar.

Komen