Warna merah ialah warna yang dipercayai membawakan “ong” kepada orang berbangsa Cina. Ini ialah sebab mengapa kaum cina memakai baju berwarna merah pada hari keraian. Minggu ini iPhone 7 Product Red berwarna merah diumumkan dan mula dijual hari ini. Di China sambutan ke atas peranti edisi khas ini adalah di luar dari jangkaan.
Apple dilaporkan hanya menghasilkan 73410 unit peranti ini untuk pasaran China. Namun berdasarkan laman tunjuk minat JD.com di China, hampir 500000 individu telah menunjukkan minat untuk memilikinya. Jelas sekali iPhone dan warna yang membawakan tuah ini adalah kombinasi untuk jualan yang tinggi. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda berminat untuk memiliki iPhone dengan pilihan warna merah ini?