Samsung Malaysia hari ini secara rasminya mengumumkan harga jualan untuk kedua-dua telefon pintar terbaru daripada mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Galaxy S8 dan juga Galaxy S8+.
Di Malaysia, Galaxy S8 akan menawarkan harga RM3299, sementara Galaxy S8+ pula akan dijual pada harga RM3699. Kedua-duanya akan dilancarkan pada 5 Mei 2017 kelak, tetapi pengguna tempatan boleh mendapatkan ia dengan lebih awal melalui pra-tempahan bermula 11 April hingga 13 April kelak.
Selain kebolehan mendapatkannya lebih awal, Samsung Malaysia juga menawarkan beberapa ganjaran tambahan bagi mereka yang membuat pra-tempahan. Ini termasuk sebuah clear cover, pelindung skrin, pengecas tanpa-wayar, dan juga powerbank 5100mAh. Disamping itu, semua pra-tempahan Galaxy S8 dan juga Galaxy S8+ turut hadir dengan penawaran Samsung Protection Plus yang menawarkan perlindungan jaminan selama 1 tahun untuk kerosakkan skrin (screen crack) disebabkan kemalangan yang menawarkan gantian sekali selama setahun, dan juga tambahan jaminan peranti selama setahun.
Bagi anda yang berminat, boleh memulakan pra-tempahan bermula 10 pagi 11 April ini hingga 11.59 malam 13 April 2017 kelak. Pengguna akan diperlukan menyertakan deposit sebanyak RM300 melalui kad kredit atau debit untuk pra-tempahan, dan boleh mendapatkan telefon pintar mereka bermula 4 Mei 2017 kelak.
Galaxy S8 dan Galaxy S8+ menggunakan skrin “Infinity Display” yang menawarkan rekaan hampir tanpa-bezel, hadir dengan pilihan saiz skrin 5.8-inci atau 6.2-inci, serta dilengkapi kemaskini antaramuka Samsung Experience. Melengkapkan peranti ini adalah cip pemprosesan 10nm – dimana pasaran Malaysia berkemungkinan menerima variasi Exynos. Galaxy S8 dan Galaxy S8+ menggunakan memori 4GB RAM dan ruangan storan 64GB, kamera belakang 12-megapixel dan kamera hadapan 8-megapixel.
Di Malaysia, Samsung Galaxy S8 dan Galaxy S8+ ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu hitam, kelabu dan juga emas. Mungkin anda yang berminat boleh tandakan halaman pra-tempahan Samsung, dan bersedia untuk membuat pra-tempahan pada 11 April 2017 ini.